Skip to main content

Kerjasama UMPSA dan MRL lonjak Aspirasi Smart and Green Campus

PEKAN, 30 September 2025 – Kerjasama antara Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dengan Malaysia Rail Link (MRL) Sdn. Bhd. sebagai rakan kolaborasi industri dalam projek Electric Smart Light Rail Transit (eSLRT) di UMPSA Pekan bakal merealisasikan aspirasi universiti untuk muncul sebagai Smart and Green Campus.

Ia sekali gus memperkukuh kedudukan UMPSA sebagai universiti pertama di Malaysia yang menerima pengiktirafan antarabangsa Eco-Campus Green Flag baru-baru ini. 

Projek itu diterajui oleh pasukan penyelidik UMPSA yang diketuai oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed. 

MRL telah memainkan peranan penting melalui nasihat teknikal dalam aspek reka bentuk prasarana rel di samping bertindak sebagai pemudah cara dengan agensi berkaitan termasuk APAD. 

ECRL

Lebih signifikan, MRL turut menyumbang secara in-kind sebanyak 10 kilometer landasan ECRL terpakai yang dianggarkan bernilai RM19 juta untuk kegunaan ujian prototaip dan demonstrasi sistem eSLRT di dalam kampus. 

Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias, sumbangan dan kerjasama strategik bersama MRL membuktikan kepercayaan industri terhadap keupayaan UMPSA dalam melaksanakan penyelidikan yang bersifat praktikal serta memberi impak nyata kepada negara. 

“Kerjasama ini mencerminkan komitmen MRL dalam mendukung kelestarian, pemindahan ilmu dan memperkasakan UMPSA sebagai perintis pembangunan sistem rel pintar berasaskan tenaga hijau di peringkat kampus dan negara. 

“Kolaborasi ini bukan sahaja mengangkat nama UMPSA sebagai universiti teknologi yang berpaksikan inovasi hijau, malah turut memberi peluang kepada warga penyelidik dan pelajar untuk terlibat dalam pembangunan sistem rel pintar yang bakal menjadi pemacu kepada transformasi mobiliti lestari di Malaysia,” ujarnya.

Majlis menyaksikan penyampaian cek cura kepada Naib Canselor UMPSA dalam Majlis Jamuan Teh Tuanku Canselor UMPSA Bersama-sama Industri yang disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah, merangkap Tuanku Canselor UMPSA. 

Dalam majlis yang turut dihadiri Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj, UMPSA turut mengumumkan kejayaan mengumpul lebih RM80 juta nilai endowmen terkumpul hasil sumbangan pelbagai pihak industri, komuniti dan alumni, di samping pelancaran Endowmen Tuanku Canselor yang akan menyokong pendidikan, penyelidikan dan kebajikan universiti.

Kerjasama UMPSA dan MRL lonjak Aspirasi Smart and Green Campus

Majlis tersebut yang turut dihadiri lebih 200 tetamu industri termasuk wakil daripada 49 syarikat antarabangsa, GLC dan tempatan menyerlahkan komitmen berterusan UMPSA dalam memperkukuh hubungan strategik bersama industri demi membangunkan ekosistem pendidikan tinggi, penyelidikan dan inovasi yang mampan serta memberi impak positif kepada masyarakat dan negara.

Disediakan Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri