Know Your Library (KYL) 2026 memperkasakan pengetahuan dan dekatkan pelajar dengan perkhidmatan Perpustakaan UMPSA
PEKAN, 10 Jun 2026 – Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menganjurkan program Know Your Library (KYL) 2026 secara serentak di Lobi Perpustakaan UMPSA Pekan dan Kampus Gambang bagi memperkenalkan pelbagai kemudahan, koleksi dan perkhidmatan perpustakaan kepada warga kampus, khususnya mahasiswa.
Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran pelajar dan memperkukuh budaya literasi terhadap peranan perpustakaan sebagai pusat rujukan utama dalam menyokong pembelajaran, penyelidikan dan pembangunan akademik sepanjang tempoh pengajian di universiti.
Bagi memeriahkan program, pihak perpustakaan mengadakan kuiz interaktif secara dalam talian dan aktiviti word search yang menguji pengetahuan pelajar mengenai perkhidmatan dan kemudahan perpustakaan.

Aktiviti tersebut berjaya menarik perhatian pengunjung yang hadir, di samping memberi peluang kepada mereka untuk memenangi pelbagai cenderamata menarik yang disediakan.
Selain itu, pelajar turut terlibat dalam aktiviti kreatif melukis doodle bagi menggambarkan ekspresi dan pengalaman mereka ketika berada di perpustakaan.
Pelajar Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Amy Hiong Yu Xuan menyifatkan aktiviti yang dijalankan sebagai menyeronokkan dan fresh.
“Aktiviti word search dan doodle sangat kreatif.
“Ia menjadikan sesi hari ini lebih santai dan mudah difahami.
“Cadangan saya, teruskan aktiviti interaktif kerana ia mewujudkan komunikasi dua hala antara pelajar dan staf,” katanya.
Menurut pelajar Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), Elandventhan a/l Mohanasundram, program tersebut telah memberi pendedahan yang berguna mengenai perkhidmatan perpustakaan yang boleh dimanfaatkan sepanjang pengajian.
"Pada pendapat saya, program ini memberi kesedaran dan kefahaman kepada pelajar UMPSA tentang perpustakaan seperti kaedah peminjaman buku melalui aplikasi, Temi dan juga eFind," katanya.
Pelbagai aktiviti menarik juga telah diadakan sepanjang program berlangsung, antaranya sesi promosi LibGO App, aplikasi mudah alih perpustakaan yang membolehkan pengguna mengakses maklumat dan perkhidmatan perpustakaan dengan lebih mudah.
Sebagai galakan kepada penggunaan aplikasi LibGO, pelajar dan staf yang aktif sehingga Disember 2026 berpeluang memenangi sebuah iPad Air.
Pelajar FTKMA, We Xin Yi berpendapat program tersebut membantu mahasiswa mengenali perpustakaan dengan lebih dekat.
"Program ini memberi pendedahan kepada pelajar berkenaan kemudahan dan aplikasi yang disediakan oleh perpustakaan seperti penggunaan aplikasi LibGO yang boleh digunakan untuk peminjaman buku dengan mudah," ujarnya.
Penganjuran KYL 2026 membuktikan komitmen Perpustakaan UMPSA dalam menyediakan perkhidmatan yang mesra pengguna dan memperkasakan literasi maklumat dalam kalangan warga universiti, sejajar dengan usaha universiti melahirkan graduan yang berilmu, berdaya saing dan celik maklumat.
Disediakan Oleh: Nor Ashikin Ahmad dan Affida Abu Bakar, Perpustakaan UMPSA
- 23 views
Reports by: