Kuantan Arts Festival (KuArts) buka peluang Kelab Senandika UMPSA bersama komuniti seni
KUANTAN, 14 Jun 2026 – Bandar Kuantan mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi tuan rumah penganjuran sulung Kuantan Arts Festival (KuArts) iaitu sebuah festival seni yang menghimpunkan pelbagai disiplin kreatif dalam usaha memperkukuh ekosistem seni dan budaya di Pantai Timur.
Festival yang berlangsung selama tiga hari itu berjaya menarik kehadiran ratusan pengunjung terdiri daripada penggiat seni, mahasiswa, komuniti kreatif dan masyarakat untuk menikmati pelbagai pengisian menarik seperti persembahan teater dan monolog, muzik, pameran seni visual, projek mapping dan seni digital, bazar kreatif dan kraftangan, tayangan filem, bengkel kreatif serta forum seni.
Menurut pihak penganjur, KuArts diwujudkan sebagai platform untuk mengetengahkan bakat-bakat seni tempatan di samping memperluaskan akses masyarakat terhadap aktiviti kesenian dan kebudayaan.
Festival ini bukan sekadar acara hiburan, tetapi satu gerakan komuniti yang bertujuan menghubungkan seniman, pengkarya dan masyarakat dalam ruang yang lebih inklusif serta merancakkan pembangunan seni di Pantai Timur.
Kelab Senandika Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah dijemput membuat persembahan monolog dalam segmen ‘Secotek Cerita’ bertempat di Kafe Blok56, Kuantan.

Senandika membawa naskhah monolog bertajuk ‘Aku Bukan Parewa’ karya Yusuf Bakar.
Kisah ini menceritakan tentang watak ‘Aku’ yang menjadi buruan polis dan tekad untuk tidak menyerah kalah demi menuntut keadilan.
Menurut pelajar tahun dua, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM), Mohamad Faris Zami Mohamad Azmi, yang merupakan pelakon monolog tersebut menyifatkan penglibatannya dalam program ini adalah satu pengalaman berharga selama bergiat aktif dalam aktiviti teater di kampus.
“Saya rasa seronok dan bangga kerana dapat bekerjasama dengan insan-insan yang berkongsi minat seni yang sama.
“Ini adalah kali pertama saya membuat persembahan monolog dan di luar universiti.
“Ia merupakan satu pengalaman yang mencabar,” ujarnya.
Selain Senandika, segmen ini turut menampilkan persembahan kreatif dari Mosyuki Borhan, Dee Alhadi dan Namme Medai.
Mosyuki Borhan membawa naskhah ‘Melar Bersemi’ iaitu sebuah persembahan gabungan bacaan puisi dan seni tubuh (metafora tumbuhan/bunga) yang menyentuh tentang emosi, ketabahan, dan survival dalam mengharungi ujian hidup.
Manakala Dee Alhadi mempersembahkan monolog hebat bertajuk ‘Balada Sumarah’ yang memaparkan kisah tragis seorang wanita (TKW Indonesia) bernama Sumarah yang dituduh membunuh majikannya, sambil menyingkap kisah silam keluarganya yang penuh dengan konflik sejarah.
Segmen diakhiri oleh Kumpulan Namme Medai dengan persembahan bertajuk ‘I'm OKay yoU’, sebuah kisah menyentuh hati tentang kekuatan dan kebanggaan seorang gadis Orang Kurang Upaya (OKU) yang menyertai acara maraton sekolahnya secara rahsia untuk melawan stigma masyarakat.
Menurut pelajar tahun tiga, Fakulti Komputeran (FK) yang juga merupakan pengarah pementasan dan pengurus pentas monolog ‘Aku Bukan Parewa’, kerjasama dan komunikasi adalah kunci utama dalam memastikan pengurusan program berjalan lancar terutama apabila berurusan dengan dengan pihak luar.
“Pengalaman mengendalikan produksi teater di UMPSA telah membantu saya lebih mudah memahami aliran kerja dan membantu penganjur dalam tugasan produksi.
“Komunikasi yang jelas dan kerjasama yang baik antara semua pihak memainkan peranan penting dalam memastikan program berjalan lancar.
“Pengalaman ini mengajar saya untuk lebih bertanggungjawab, peka terhadap keadaan sekeliling dan sentiasa bersedia membantu apabila berdepan dengan sebarang cabaran sepanjang program berlangsung,” ujarnya.
KuArts menjadikan pelbagai lokasi di sekitar Jalan Besar, Kuantan sebagai ruang pementasan dan pameran sepanjang festival berlangsung, sekali gus menghidupkan semula kawasan bandar lama melalui aktiviti seni dan budaya.
Antara tarikan utama festival ialah persembahan teater alternatif, persembahan muzik indie, pameran seni kontemporari, seni digital serta projek pencahayaan kreatif yang berjaya menarik perhatian pengunjung.
Festival ini telah menjadi satu inisiatif positif yang mampu memperkaya landskap budaya negeri Pahang dan membuka lebih banyak peluang kepada pengkarya muda untuk berkarya serta memperkenalkan hasil seni mereka kepada khalayak yang lebih luas.
Penganjuran KuArts turut dilihat berpotensi menjadi pemangkin kepada sektor pelancongan budaya di Kuantan dengan menjadi sebuah destinasi seni baharu di Pantai Timur.
Sambutan yang menggalakkan pada edisi sulung ini, KuArts dijangka terus berkembang sebagai acara tahunan yang mampu mengangkat kedudukan Kuantan sebagai hab seni dan kreativiti yang dinamik di Malaysia.
Disediakan Oleh: Noor Afiza Mohd Asmi, Pusat Kebudayaan
- 32 views
Reports by: