Skip to main content

Kursus Amali Umrah dan Fiqh Wanita perkukuh persediaan jemaah UMPSA ke Tanah Suci

GAMBANG, 10 Ogos 2025 – Suasana penuh semangat dan kesyukuran mewarnai Kursus Amali Umrah dan Fiqh Wanita dalam Ibadah Umrah anjuran Pusat Sains Kemanusiaan (PSK) dan SEJAHTERA, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang berlangsung di WDKU 1, Kampus Gambang.

Program separuh hari yang bermula seawal jam 8.30 pagi itu menghimpunkan 84 peserta yang terdiri daripada warga UMPSA serta ahli keluarga yang bakal menunaikan ibadah umrah pada bulan September ini. 

Penganjuran ini bertujuan memperkukuh pengetahuan dan kefahaman peserta mengenai tatacara ibadah umrah mengikut panduan syariah, khususnya dalam aspek fiqh wanita yang sering menjadi persoalan.

Pengisian kursus merangkumi penerangan terperinci tentang rukun, wajib dan sunat umrah, kupasan isu-isu fiqh yang kerap dihadapi jemaah wanita, serta sesi amali praktikal yang membimbing peserta mengikut tertib pelaksanaan umrah dengan betul.

Dekan PSK, Dr. Mohamad Hilmi Mat Said berkata penganjuran kursus ini adalah sebahagian daripada komitmen UMPSA untuk memberi bimbingan holistik kepada warga universiti yang akan menunaikan ibadah umrah.

“Selain persediaan fizikal, jemaah memerlukan panduan rohani yang tepat supaya ibadah dapat dilaksanakan dengan sempurna. 

“Kursus ini memberi peluang kepada peserta untuk bertanya, berlatih dan memahami dengan jelas setiap rukun dan syarat yang perlu dipenuhi. 

“Penekanan kepada isu fiqh wanita amat penting kerana ia melibatkan situasi khusus yang memerlukan kefahaman mendalam dan panduan yang sahih,” ujarnya.

Kursus Amali Umrah dan Fiqh Wanita perkukuh persediaan jemaah UMPSA ke Tanah Suci

Bagi salah seorang peserta, Pensyarah Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Dr. Abdul Hadi Samsi, kursus ini memberikan keyakinan untuk mengerjakan ibadah umrah dengan tertib.

“Penerangan yang diberikan sangat jelas, malah sesi amali membantu kami membayangkan suasana sebenar di Tanah Suci. 

“Ia membuatkan kami lebih bersedia dari segi mental dan rohani untuk menunaikan ibadah umrah,” katanya. 

Sepanjang kursus, para peserta juga berpeluang melihat demonstrasi cara memakai ihram dengan betul, melakukan tawaf dan sa’ie secara simulasi, serta memahami larangan-larangan ketika berada dalam ihram. 

Suasana interaktif jelas dirasai apabila peserta bebas mengajukan soalan dan berkongsi pengalaman.

Maklum balas yang diterima menunjukkan hampir semua peserta berpuas hati dengan pendekatan kursus yang bersifat praktikal dan mesra peserta. 

Malah, para peserta juga menyifatkan ia bukan sahaja menambah ilmu, malah memupuk semangat untuk menunaikan ibadah umrah dengan lebih khusyuk dan sempurna.

Penganjuran ini turut memperkukuh usaha UMPSA dalam memartabatkan pembelajaran sepanjang hayat dan membudayakan nilai-nilai Islam dalam kalangan komuniti kampus.

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri