Larian Amal Warrior Challenge Yayasan UMPSA x Mamee berjaya kumpul dana RM121,250 bantu kebajikan pelajar
PEKAN, 6 Jun 2026 - Program Larian Amal Warrior Challenge Yayasan UMPSA x Mamee berjaya mencatatkan kejayaan membanggakan apabila menarik penyertaan seramai 1,500 peserta yang terdiri daripada pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), staf universiti, pelajar sekolah dan orang awam dari pelbagai latar belakang.
Program yang berlangsung di UMPSA Kampus Pekan itu dianjurkan dengan matlamat utama mengumpul dana bagi menyokong pelbagai inisiatif kebajikan, pendidikan dan pembangunan holistik pelajar UMPSA di samping mempromosikan gaya hidup sihat serta memupuk semangat kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan masyarakat.
Hadir merasmikan acara, Yang Berhormat ADUN Peramu Jaya merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, Dato’ Mohammad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib.
Turut sama Ahli Pemegang Amanah Yayasan UMPSA, Datin Nur Sharmila Shaheen, Pengarah Hal Ehwal Islam dan Hubungan Kerajaan Mamee-Double Decker (M) Sdn. Bhd., Ahmad Syukry Ibrahim, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Kamal Yusoh, Ketua Eksekutif Yayasan UMPSA, Mohd. Jamil Ja'afar dan Pengurus Program Warrior Challenge Yayasan UMPSA X MAMEE 2026, Meor Iskandar Fahmi Meor Shamshul Baharin.
Menurut Dato’ Mohammad Nizar, pihaknya mengucapkan tahniah atas penganjuran program melalui konsep ‘Lari Sambil Menderma’ ini bagi mengumpul dana yang memberi manfaat buat pelajar.
“Saya amat berbangga dengan pencapaian UMPSA yang banyak memberi manfaat kepada pembangunan di Pekan terutamanya dalam pendidikan robotik melibatkan pelajar sekolah, tuisyen dan teknologi ternakan dan lain-lain untuk komuniti,” ujarnya.
Sementara itu menurut Datin Nur Sharmila pula, melalui penganjuran ini, Yayasan UMPSA berjaya mengumpulkan dana sebanyak RM121,250.00 hasil sumbangan pelbagai agensi dan rakan strategik yang sentiasa komited menyokong pembangunan pendidikan negara.
“Antara penyumbang yang terlibat ialah Takaful Malaysia, Public Islamic Bank, UMPSA Advanced, Malaysia-China Kuantan Industrial Park (MCKIP), Pelabuhan Kuantan Malaysia, Lembaga Kemajuan Pertanian Pahang (LKPP), Yakult, CT Cafe, Cafe Zul dan Rozita Cafe.
“Dana yang berjaya dikumpulkan akan disalurkan kepada pelbagai program kebajikan pelajar termasuk bantuan kewangan kepada pelajar yang memerlukan, sokongan sara hidup dan pembiayaan program pembangunan akademik serta sahsiah pelajar.
“Setiap langkah, setiap titisan keringat dan setiap penyertaan menyumbang secara langsung kepada usaha memperkukuh tabung kebajikan mahasiswa serta dana wakaf pendidikan Yayasan UMPSA,” katanya.
Sebagai rekod, pada tahun 2025 yang lalu sahaja, Yayasan UMPSA telah pun mengagihkan sebanyak RM2.2 Juta demi memelihara kebajikan para pelajar UMPSA.
Sebagai tanda komitmen dalam memastikan akses pendidikan tinggi yang lebih inklusif, UMPSA memperuntukkan sebanyak RM200,000.00 bagi membantu pelajar baharu daripada keluarga B40 yang memerlukan.
Bantuan ini diharap dapat mengurangkan tekanan kewangan yang dihadapi oleh pelajar dan keluarga mereka ketika memulakan perjalanan akademik di universiti.
Dalam pada itu, program ini turut melibatkan penyertaan aktif pelajar penerima biasiswa Yayasan UMPSA yang berperanan sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) pelaksana program.
Penglibatan mereka ini memberi peluang kepada mereka untuk memperoleh pengalaman secara langsung dalam aspek pengurusan acara, kepimpinan, komunikasi dan kerja berpasukan.
Program ini juga menerima sambutan memberangsangkan daripada sekolah-sekolah di sekitar Pekan apabila penyertaan pelajar sekolah diberikan sijil pengiktirafan peringkat negeri, sekali gus mengukuhkan hubungan strategik antara UMPSA dan institusi pendidikan serta menggalakkan penglibatan generasi muda dalam aktiviti berteraskan sukan dan amal.
Keunikan penganjuran kali ini terserlah menerusi kerjasama strategik bersama Mamee, salah sebuah jenama produk tempatan terkemuka di Malaysia.
Kolaborasi tersebut membuktikan komitmen sektor industri dalam menyokong agenda pendidikan tinggi dan kebajikan mahasiswa melalui sumbangan dana serta penajaan pelbagai keperluan program.

Selain itu, konsep Warrior Challenge yang diperkenalkan berjaya memberikan pengalaman berbeza kepada para peserta apabila mereka bukan sahaja menyertai larian, malah perlu melepasi enam checkpoint cabaran yang menguji ketahanan fizikal, kecergasan dan daya tahan mental.
Para peserta turut menerima pelbagai barangan cenderamata dan produk tajaan daripada Mamee yang menambah kemeriahan acara.
Kejayaan penganjuran Larian Amal Warrior Challenge Yayasan UMPSA x Mamee membuktikan bahawa kerjasama erat antara Yayasan UMPSA, pihak industri, pelajar dan masyarakat mampu menghasilkan impak yang signifikan kepada pembangunan pendidikan dan kebajikan pelajar.
Turut berlangsung acara pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Yayasan UMPSA dan Mamee-Double Decker (M) Sdn. Bhd. bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam pelbagai bidang yang memberi manfaat kepada pelajar serta komuniti.
Disediakan Oleh: Siti Nurazwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat
- 39 views
Reports by: