Skip to main content

Majlis Penutup Sambutan Hari Kebangsaan Ke-68 dan Hari Malaysia 2025 peringkat UMPSA meriah

PEKAN, 17 September 2025 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) hari ini mengadakan Majlis Penutup Sambutan Hari Kebangsaan Ke-68 dan Hari Malaysia 2025 peringkat universiti bertempat di Dewan Bankuet, UMPSA Pekan. 

Hadir merasmikan majlis penutup, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha yang mewakili Naib Canselor, Profesor Dr. Yatimah Alias.

Majlis Penutup Sambutan Hari Kebangsaan Ke-68 dan Hari Malaysia 2025 peringkat UMPSA meriah

Sepanjang lebih sebulan, pelbagai aktiviti dijalankan bagi menyenarakkan sambutan di UMPSA ini yang melibatkan 13 program di bawah lima kluster utama dengan penyertaan lebih 400 peserta, 200 sekretariat dengan kerjasama 17 buah agensi. 

Antara program yang dianjurkan adalah termasuk Merdeka Night Run, Kembara Merdeka Jejak Alumni, Khutbah Merdeka, Pameran Kemerdekaan, Ceramah Merdeka, Program Alun Puisi 8 Jam dan penyertaan perbarisan peringkat negeri dan daerah.

UMPSA turut menzahirkan penghargaan kepada pelbagai pihak termasuk Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Pahang, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Pejabat Setiausaha KerajaanNegeri Pahang, Pejabat Daerah dan Tanah Pekan, serta rakan strategik daripada sekolah, persatuan dan universiti awam lain.

Majlis turut menyaksikan penyampaian sijil penghargaan, hadiah pertandingan, cabutan bertuah serta sesi simbolik penyerahan Jalur Gemilang sebagai tanda penutup rasmi sambutan. 

Profesor Ts. Dr. Aida turut menekankan kepentingan menghayati sejarah perjuangan negara serta merekodkan warisan institusi agar menjadi rujukan generasi akan datang. 

Beliau berharap agar pendekatan penganjuran sambutan pada tahun hadapan lebih inklusif dengan penglibatan terus anak syarikat dan persatuan di samping menerapkan elemen inovasi dengan melihat kepada pelaksanaan galeri maya, dokumentari pendek dan portal khas untuk merekodkan sambutan merdeka di UMPSA pada setiap tahun.

Disediakan Oleh: Mohd Izzat Shafie@Mohd Alias, Jabatan Pendaftar dan Siti Nur Azwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri