Muhammad Ameen Sukarelawan Terbaik Misi Kesukarelawanan YSS
Minat dalam bidang kesukarelawanan dan kerja amal yang dilakukan mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP), Muhammad Ameen Abdul Azis, pelajar tahun 4, Fakulti Sistem Komputer dan Kejuruteraan Perisian (FSKKP) diiktiraf apabila dinobatkan sukarelawan Malaysia terbaik dalam Misi Sukarelawan Siswa “Green Summer Volunteer Campaign” anjuran Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) dan Ho Chi Minh City Youth Union (HCMCYU) di Vietnam baru-baru ini.
Program membabitkan seramai 50 orang siswa Malaysia dari universiti awam, universiti swasta, politeknik, Kolej Komuniti dan Guru Pelatih Institusi Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) bersama mahasiswa dari Vietnam.
Bagi Ameen, pelbagai aktiviti kesukarelawan yang berimpak tinggi yang diadakan memberikannya peluang menimba pengalaman yang tidak akan dilupakan. Ini termasuklah membina jalan raya, melukis gambar mural yang melambangkan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara, mengajar Bahasa Inggeris dan komputer kepada pelajar sekolah rendah dan menanam pokok di kawasan sekitar sekolah.
“Sebagai sukarelawan, kesemua aktiviti ini adalah pengalaman pertama yang dilalui dirinya selama bergelar graduan di UMP. Dia berasa sangat teruja untk bekerja di samping rakan-rakan dari pelbagai universiti. Selain itu, mereka juga dibimbing oleh pelajar dari Vietnam yang menggelarkan diri mereka sebagai “counterpart” sepanjang keberadaan mereka di sana,” katanya.
Ujar Ameen, beliau tidak menyangka terpilih sebagai sukarelawan terbaik apatah lagi sejak awalnya sukar untuk berkomunikasi dengan mereka kerana rata-ratanya dari kalangan mereka yang tidak fasih berbahasa Inggeris. Namun, salah satu alternatif yang digunakan ialah menggunakan bahasa isyarat bagi memastikan penduduk di sana faham akan apa yang yang dilakukan.
Selain daripada aktiviti kesukarelawan, mereka juga berkesempatan menziarahi Cu Chi Tunnel. Pengalaman ini membawa sukarelawan merasai sendiri kehidupan tentera Vietnam ketika mereka berperang dengan Amerika Syarikat suatu ketika dahulu.
Lebih meriah pelajar Malaysia dan Vietnam juga telah ditugaskan untuk membuka gerai makanan dan permainan tradisional untuk diperkenalkan kepada penduduk setempat melalui festival “Culture Festival Malaysia-Vietnam”. Beliau juga berterima kasih kepada pihak UMP kerana telah memberi peluang kepada saya untuk berkhidmat sebagai sukarelawan sekaligus mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa.
Beliau berharap kejayaan ini dapat menunjukkan satu tauladan yang baik kepada semua mahasiswa dan program ini dapat diperluaskan agar lebih ramai mahasiswa mampu terlibat dalam program kesukarelawanan seperti ini.
Disediakan oleh Nur Laila Afandi dari Bahagian Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor.
- 143 views