Perpustakaan UMPSA jadi destinasi persinggahan pertama Konvoi Kembara Merdeka PPAP 2025
GAMBANG, 11 September 2025 - Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Kampus Gambang menjadi destinasi persinggahan pertama Konvoi Kembara Merdeka anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang (PPAP) baru-baru ini.
Konvoi itu disertai seramai 32 peserta yang terdiri daripada ahli Kelab Warga Emas Sahabat Perpustakaan Awam Pahang bersama kakitangan PPAP.
Ketibaan rombongan disambut mesra oleh staf Perpustakaan Gambang sebagai simbolik sokongan terhadap program ini.
Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang, Nor Zahira Muhammad Azmi telah menyerahkan Jalur Gemilang kepada Timbalan Ketua Pustakawan UMPSA, Ahmad Nurudin Abdul Nasir.
Selain mengedarkan Jalur Gemilang kepada warga perpustakaan, sumbangan buku turut diterima sebagai tanda penghargaan dan usaha memperkasa budaya membaca.
Menurut Ahmad Nurudin, perpustakaan amat berbesar hati menjadi destinasi persinggahan konvoi yang bukan sahaja menyemarakkan semangat patriotisme, malah memperlihatkan peranan perpustakaan sebagai pusat ilmu kepada komuniti.
“Konvoi ini bukan sekadar acara simbolik, tetapi bukti bahawa perpustakaan mampu menjadi jambatan ilmu dan ruang penyatuan komuniti.
“Semangat kemerdekaan perlu sentiasa dipupuk dan perpustakaan berfungsi sebagai wadah menggerakkan aktiviti berteraskan ilmu,” ujarnya.
Beliau menambah, program seperti ini juga memberi nilai tambah dengan memperkukuh kerjasama antara perpustakaan serta memperluas penglibatan komuniti dalam pelbagai aktiviti bermanfaat.
Selepas persinggahan di UMPSA Gambang, konvoi meneruskan siri jelajah ke beberapa lokasi lain termasuk daerah Maran, Temerloh sebelum berakhir di Janda Baik sebagai penutup program.
Disediakan oleh: Affida Abu Bakar, Perpustakaan UMPSA
- 56 views