Persembahan seni dan budaya warnai Asian University Table Tennis Championship 2026 di UMPSA
PAYA BESAR, 6 September 2026 – Penganjuran Asian University Table Tennis Championship 2026 di Kompleks Sukan Universiti, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Kampus Paya Besar mencerminkan peranan UMPSA dalam menyediakan kemudahan dan platform bagi penganjuran acara sukan bertaraf antarabangsa.
Majlis pembukaan kejohanan telah berlangsung dengan rasmi dan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Ekonomi Malaysia, Yang Berhormat Dato' Indera Mohd Shahar Abdullah.
Beliau turut menyampaikan ucapan perasmian sebelum secara rasmi menyempurnakan pembukaan kejohanan tersebut.
Majlis turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim bin Mohamed, serta barisan pengurusan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) UMPSA yang bersama-sama memeriahkan acara pembukaan berkenaan.
Di samping itu, Pusat Kebudayaan mengambil tanggungjawab dalam menyerikan majlis dengan persembahan kebudayaan sebagai pembuka tirai, menerusi Tarian Sewang yang diusahakan oleh pelajar UMPSA daripada Kelab Kencana Pawana dengan kerjasama pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chini.
Menurut Pengarah Pusat Kebudayaan, Mohd Zaki Ahmad, persembahan tersebut mengetengahkan keunikan seni dan budaya tempatan kepada para peserta serta delegasi antarabangsa yang hadir, sekali gus memberikan pengalaman budaya Malaysia dalam suasana kejohanan yang menghimpunkan komuniti universiti dari rantau Asia.
“Persembahan tarian ini bukan sahaja menjadi medium untuk memperkenalkan kepelbagaian budaya dan kesenian yang terdapat di Malaysia, malah turut menjadi ruang untuk berkongsi warisan dan identiti negara dengan para peserta serta tetamu dari luar negara.
“Kekayaan seni dan budaya yang dimiliki wajar dibanggakan kerana melalui persembahan seperti ini, para tetamu dari luar negara berpeluang mengenali, menghayati dan menghargai keunikan kesenian yang menjadi sebahagian daripada identiti Malaysia,” ujarnya.
Selain itu, acara diteruskan dengan persembahan nyanyian oleh pelajar Tahun 3, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia & Proses (FTKKP), UMPSA, Mohammad Azhar Jailani.
Beliau mempersembahkan dua buah lagu iaitu Yue Liang Dai Biao Wo De Xin dan Sway yang turut memeriahkan suasana majlis serta memberikan sentuhan persembahan seni dalam acara berprestij tersebut.
“Saya berasa sangat seronok dan bersyukur kerana diberi peluang oleh Pusat Kebudayaan untuk membuat persembahan.
“Peluang ini juga menjadi satu platform buat saya untuk terus mengembangkan bakat dalam bidang seni dan persembahan,” katanya.
Sebagai penutup segmen persembahan, para hadirin disajikan dengan lagu dan tarian Joget Pahang yang berlangsung dalam suasana meriah.

Persembahan tersebut bukan sahaja menceriakan majlis, malah menjadi simbol pengenalan budaya dan identiti negeri Pahang kepada para tetamu serta delegasi antarabangsa yang berkunjung ke UMPSA.
Penganjuran Asian University Table Tennis Championship 2026 di UMPSA turut menjadi platform penting dalam memperluas jaringan kerjasama dan hubungan antara institusi pengajian tinggi di rantau Asia menerusi medium sukan.
Malah, ia turut mengangkat UMPSA sebagai salah satu destinasi penganjuran acara sukan universiti bertaraf antarabangsa, di samping memperkenalkan kemudahan serta kepakaran universiti kepada komuniti sukan di peringkat Asia.
Disediakan Oleh: Adibah Shaharom, Pusat Kebudayaan
- 33 views
Reports by: