SAFEKSA 2026 perkukuh budaya keselamatan dan kesihatan warga UMPSA
PEKAN, 13 Ogos 2026 - Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh komitmen terhadap pembudayaan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan warga kerja melalui penganjuran program selama dua hari yang menggabungkan Kursus ‘ERT Preparedness’ pada 12 Ogos dan Program SAFEKSA 2026 pada 13 Ogos 2026.
Program anjuran Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP), PBM dengan kerjasama Unit Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA), PBM ini dirangka bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan warga kerja dalam menghadapi situasi kecemasan, di samping memperkukuh kesedaran terhadap aspek keselamatan dan kesihatan di tempat kerja serta dalam kehidupan seharian.
Pengisian pada hari pertama, 12 Ogos 2026, dimulakan dengan ‘Kursus ERT Preparedness’ yang memberi penekanan kepada aspek kesiapsiagaan Emergency Response Team (ERT) dalam menghadapi insiden atau situasi kecemasan.
Kursus ini memberikan pendedahan kepada peserta berkaitan peranan dan tanggungjawab pasukan tindak balas kecemasan, persediaan menghadapi insiden, prosedur tindakan ketika kecemasan serta kepentingan koordinasi dan komunikasi yang berkesan bagi memastikan tindakan dapat dilaksanakan secara pantas, teratur dan selamat.
Penganjuran kursus ini juga selari dengan usaha PBM untuk memastikan warga kerja bukan sahaja mengetahui prosedur keselamatan, malah mempunyai kesedaran dan keupayaan untuk bertindak dengan tepat sekiranya berlaku kecemasan.
Manakala pada 13 Ogos 2026, Program SAFEKSA 2026 diteruskan dengan pelbagai aktiviti yang melibatkan aspek keselamatan dan kesihatan secara lebih menyeluruh.

Antara pengisian utama ialah Ceramah Keselamatan di Air yang disampaikan oleh wakil Balai Bomba dan Penyelamat Peramu, Pegawai Bomba Kanan 1, Badaruddin Mohd Hussin di Bilik Mesyuarat Utama PBM.
Ceramah tersebut memberikan pengetahuan kepada peserta mengenai risiko berkaitan aktiviti di air, langkah-langkah pencegahan dan tindakan yang wajar diambil sekiranya berlaku kecemasan.
Program kemudiannya diteruskan dengan Demonstrasi Menyelamat di Air yang diadakan di tasik berhadapan Perpustakaan PBM Pekan.
Demonstrasi secara praktikal ini memberikan gambaran kepada peserta mengenai kaedah dan tindakan menyelamat mangsa di air serta kepentingan mengutamakan keselamatan penyelamat ketika melaksanakan operasi menyelamat.
Dalam masa yang sama, Pameran Keselamatan oleh Balai Bomba dan Penyelamat Peramu turut diadakan bagi memberi peluang kepada warga kerja mendapatkan maklumat dan pengetahuan secara lebih dekat berkaitan keselamatan serta kesiapsiagaan menghadapi situasi kecemasan.
Selain aspek keselamatan, SAFEKSA 2026 turut memberikan penekanan terhadap penjagaan kesihatan warga kerja melalui kerjasama dengan Pusat Kesihatan UMPSA (PKU).
Pemeriksaan kesihatan yang diadakan di BK100, Bangunan PBM Pekan merangkumi pemeriksaan tinggi dan berat, pemeriksaan tekanan darah serta konsultasi bersama doktor.
Pengisian ini memberikan peluang kepada warga kerja untuk mengetahui status asas kesihatan masing-masing dan mendapatkan nasihat pakar berkaitan penjagaan kesihatan.
Inisiatif tersebut turut memperlihatkan bahawa aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan perlu dilihat secara menyeluruh, merangkumi keselamatan fizikal, kesihatan dan kesejahteraan warga kerja.
Program SAFEKSA 2026 turut mengetengahkan elemen EKSA melalui Pameran EKSA PBM yang berlangsung di ruang legar PBM Pekan.
Pameran tersebut memberikan pendedahan mengenai amalan EKSA serta usaha PBM dalam mewujudkan persekitaran tempat kerja yang kondusif, tersusun, bersih dan selamat.
Turut diadakan ialah ‘Thrift Pop-Up Sale’ yang mengetengahkan konsep penggunaan semula barangan dan secara tidak langsung menyokong usaha ke arah kelestarian serta pengurangan pembaziran.
Dekan PBM, Profesor Madya Dr. Zuraina Ali, menegaskan bahawa aspek keselamatan dan kesihatan perlu menjadi sebahagian daripada budaya kerja warga PBM dan tidak seharusnya dilihat sebagai tanggungjawab pihak tertentu sahaja.
“Keselamatan dan kesihatan merupakan tanggungjawab bersama.
“Melalui program seperti SAFEKSA 2026, warga kerja bukan sahaja memperoleh pengetahuan, tetapi turut diberi peluang untuk melihat dan mengalami sendiri aspek keselamatan melalui demonstrasi, pemeriksaan kesihatan dan aktiviti yang dilaksanakan.
“Pendekatan yang menggabungkan latihan, pendedahan praktikal dan aktiviti kesedaran mampu membantu membentuk warga kerja yang lebih peka terhadap risiko serta bersedia menghadapi situasi kecemasan,” ujarnya.
Sementara itu, menurut Pengarah Program, Mohd Shafeirul Zaman Abd Majid, penganjuran SAFEKSA 2026 merupakan kesinambungan usaha Unit KKP PBM untuk meningkatkan tahap kesedaran dan kesiapsiagaan warga kerja secara berterusan.
“Kami mahu memastikan keselamatan bukan sekadar satu prosedur yang perlu dipatuhi, tetapi menjadi satu budaya yang diamalkan dalam kehidupan seharian.
“Sebab itu program ini dirancang dengan pengisian yang merangkumi latihan ERT, keselamatan di air, demonstrasi menyelamat, pemeriksaan kesihatan dan elemen EKSA.
“Penglibatan pihak luar seperti Balai Bomba dan Penyelamat Peramu serta Pusat Kesihatan UMPSA turut memberikan nilai tambah kepada program kerana peserta mendapat pendedahan terus daripada pihak yang mempunyai kepakaran dalam bidang keselamatan dan kesihatan,” katanya.
Peserta program turut menyambut baik penganjuran SAFEKSA 2026 yang dilihat memberikan pengalaman pembelajaran yang praktikal dan relevan dengan situasi sebenar.
Salah seorang peserta, Guru Bahasa, Mohd Shafiq Abdul Jabar berkata, demonstrasi menyelamat di air memberikan perspektif yang berbeza kerana peserta dapat melihat secara langsung bagaimana tindakan menyelamat perlu dilaksanakan dengan mengambil kira keselamatan mangsa dan penyelamat.
“Pengisian seperti demonstrasi menyelamat dan pemeriksaan kesihatan sangat bermanfaat kerana perkara yang dipelajari boleh digunakan dalam kehidupan seharian.
“Program ini juga turut meningkatkan kesedaran kami bahawa tindakan yang betul ketika kecemasan boleh membantu mengurangkan risiko yang lebih serius,” katanya.
Secara keseluruhannya, penganjuran Kursus ‘ERT Preparedness’ dan SAFEKSA 2026 selama dua hari membentuk satu rangkaian program yang saling melengkapi dalam usaha memperkukuh budaya keselamatan dan kesihatan di PBM.
Kursus ‘ERT Preparedness’ memberi tumpuan kepada kesiapsiagaan dan keupayaan bertindak ketika kecemasan, manakala SAFEKSA 2026 memperluas kesedaran warga kerja melalui pendidikan keselamatan, demonstrasi praktikal, pemeriksaan kesihatan, pameran, amalan EKSA dan elemen kelestarian.
Pendekatan menyeluruh ini selaras dengan aspirasi UMPSA untuk melahirkan warga kerja yang bukan sahaja produktif dan kompeten, malah peka terhadap risiko, mengutamakan keselamatan serta bertanggungjawab terhadap kesihatan dan kesejahteraan diri serta komuniti.
Penganjuran program ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada usaha berterusan Unit KKP dan Unit EKSA PBM dalam membudayakan amalan keselamatan, kesihatan dan persekitaran kerja yang kondusif, sekali gus menjadikan keselamatan sebagai sebahagian daripada identiti dan amalan warga PBM.
Disediakan Oleh: Mohd Shafeirul Zaman Abd Majid, Pusat Bahasa Moden (PBM)
- 15 views
Reports by: