Skip to main content

Semangat Sarong, Semangat Merdeka meriahkan komuniti Bukit Naga

SHAH ALAM, 9 Ogos 2025 – Suasana Dewan Tulip Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Bukit Naga pagi tadi dipenuhi keceriaan dan gelak tawa apabila ratusan penduduk setempat menyertai Program Semangat Sarong, Semangat Merdeka yang diadakan bersempena sambutan Bulan Kebangsaan 2025. 

Program itu merupakan sebahagian daripada inisiatif Perintis X Komuniti 2025 anjuran Team Selangor dengan kerjasama pelbagai pihak yang berlangsung serentak di tujuh lokasi seluruh Selangor. 

Program ini disokong oleh sukarelawan dari pelbagai universiti di seluruh Malaysia. 

Melalui inisiatif dan kerjasama Persatuan Mahasiswa Selangor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (PERMAS-UMPSA), seramai 50 sukarelawan berjaya digerakkan bagi  menyokong pelaksanaan program, sekali gus mengangkat peranan mahasiswa dalam menghubungkan universiti dan komuniti.

Dengan tema unik 'Satu Orang, Satu Sarong!‘, program bermula seawal jam 8.00 pagi sehingga 2.00 petang itu menampilkan pelbagai pengisian yang menggabungkan elemen kecergasan, tradisi, kesihatan dan hiburan rakyat. 

Aktiviti seperti senamrobik Zumba memanaskan suasana pagi, diikuti dengan Rewang Perdana yang menghidupkan kembali budaya gotong-royong masyarakat.

Semangat Sarong, Semangat Merdeka meriahkan komuniti Bukit Naga

Antara tarikan utama ialah sukan rakyat yang berlangsung di Padang Sekolah Kebangsaan Bukit Naga, termasuk pertandingan Kupas Kelapa, Imbang Sarong, Silang Sarong, Tarik Tali, Lumba Kaki Tiga, Rebut Kerusi, Bola Beracun, dan Futsal. 

Kesemua acara ini berjaya menarik penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat iaitu  kanak-kanak hingga warga emas.

Ia sekali gus mencerminkan semangat kekitaan dan perpaduan yang menjadi teras penganjuran program. 

Selain itu, pihak penganjur turut menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan percuma yang mendapat sambutan baik, terutama dalam kalangan warga emas dan keluarga muda yang prihatin terhadap tahap kesihatan mereka.

Majlis perasmian turut dimeriahkan dengan kehadiran tokoh-tokoh setempat yang memberi sokongan penuh, antaranya Ahli Majlis MBSA MPP Zon 13,  Nathindran Raj Baskaran; Penyelaras DUN Sungai Kandis, Ustaz Zawawi Mughni; serta Pegawai Khas Parlimen Kota Raja, Mohd Azmi Jusoh.

Dalam ucapannya, Nathindran berkata program seperti ini bukan sahaja meraikan kemerdekaan, malah mengukuhkan hubungan kejiranan. 

"Apabila kita dapat berkumpul, bermain bersama dan bergotong-royong, itulah sebenarnya semangat merdeka yang kita mahu pupuk,“ ujarnya. 

Sementara itu, Ustaz Zawawi turut menegaskan bahawa perpaduan masyarakat adalah kunci kekuatan negara. 

"Semoga inisiatif ini menjadi contoh bagaimana kita boleh merayakan kemerdekaan dengan cara yang inklusif, meriah dan bermakna,“ katanya.

Lebih istimewa, program ini turut melibatkan peranan aktif mahasiswa PERMAS-UMPSA yang berjaya menggerakkan seramai 50 sukarelawan untuk membantu kelancaran acara. 

Sokongan ini melengkapkan penyertaan sukarelawan daripada universiti-universiti seluruh Malaysia.

Bendahari Kehormat PERMAS-UMPSA, Irdina Fatihah Zul Helmi berkata, saya berasa gembira kerana dapat turun padang membantu komuniti. 

"Selain menimba pengalaman baharu, kami juga dapat melihat sendiri bagaimana semangat gotong-royong dan sukarelawan menyatukan semua lapisan masyarakat,“ ujarnya.

Penganjuran serentak di tujuh zon seluruh Selangor kali ini membuktikan bahawa semangat kemerdekaan bukan sekadar slogan tetapi mampu dizahirkan melalui aktiviti berteraskan kebudayaan, kesukanan dan kerjasama masyarakat. 

Program  ini menjadi cerminan bagaimana inisiatif inklusif mampu menghubungkan rakyat tanpa mengira latar belakang, seterusnya memupuk rasa bangga terhadap identiti dan warisan negara.

Disediakan Oleh: Irdina Fatihah Zul Helmi, Persatuan Mahasiswa Selangor (Permas) dan Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri