Skip to main content

Tengku Mahkota Pahang masyhur Masjid Al-Jazari dan Iftar Jama'ie bersama 2000 warga UMPSA

PEKAN, 17 Mac 2025 - Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang juga Pro-Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) berkenan memasyhurkan masjid UMPSA di sini sebagai Masjid Al-Jazari sempena nama seorang ahli sains dan tokoh jurutera Muslim terkemuka pada abad ke-12.

Majlis penuh bermakna itu turut disertai Pengerusi Lembaga Pengarah UMPSA, Dato' Seri Abdul Razak Jaafar, Naib Canselor, Profesor Dr. Yatimah Alias, barisan Lembaga Pengarah Universiti dan Lembaga Psmegang Amanah Yayasan UMPSA serta warga UMPSA bersama masyarakat setempat.

Menurut Profesor Dr. Yatimah, Keberangkatan Kebawah Duli Paduka Mulia Tuanku jelas mencerminkan keprihatinan dan kecintaan Baginda terhadap pengembangan pendidikan serta pemartabatan syiar Islam di Negeri Pahang. 

Tengku Mahkota Pahang masyhur Masjid Al-Jazari dan Iftar Jama'ie bersama 2000 warga UMPSA

 
“Masjid UMPSA yang dibina di atas tanah seluas 7.5 ekar telah siap dibangunkan selepas tujuh tahun pembinaan.

“Masjid ini telah mula beroperasi dengan pelaksanaan solat Jumaat yang pertama pada 5 Julai 2024.

“Ia juga mampu menampung sehingga 3,500 jemaah dalam satu masa,” ujarnya. 
  
Selain ruang solat utama, masjid ini turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti ruang solat wanita, bilik pengurusan jenazah, bilik seminar, pejabat Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN), serta kawasan parkir yang luas.
  
Profesor Dr. Yatimah Alias berharap agar masjid ini bukan sahaja menjadi pusat ibadah bagi warga UMPSA tetapi turut dimanfaatkan oleh komuniti setempat sebagai pusat penyatuan ummah.

“Semoga semangat inovasi Al-Jazari dapat menjadi inspirasi bagi pelajar dan staf UMPSA dalam meneruskan pencapaian dalam bidang Kejuruteraan dan Teknologi,” katanya. 

Beliau juga menzahirkan penghargaan kepada Kebawah Duli Paduka Mulia Tuanku atas perkenan berangkat ke majlis tersebut serta sokongan berterusan terhadap pembangunan UMPSA.  

Tengku Hassanal turut berkenan mengurniakan sumbangan duit raya dari Yayasan UMPSA kepada 100 pelajar UMPSA yang berkeperluan.

Baginda turut menyaksikan kurniaan sumbangan daripada Yayasan UMPSA dalam memperkasa pendidikan dan kebajikan pelajar dengan mengagihkan sebanyak RM6.206 juta bagi pelbagai inisiatif sokongan akademik dan kebajikan.

Tengku Mahkota Pahang masyhur Masjid Al-Jazari dan Iftar Jama'ie bersama 2000 warga UMPSA

Dana ini disalurkan melalui pelbagai bentuk bantuan, termasuk Penajaan Biasiswa, Bantuan Zakat, Bantuan Sara Diri, Kupon Makanan serta pelaksanaan program pembangunan pelajar yang bertujuan meningkatkan nilai tambah dan daya saing pelajar.

Baginda turut menyaksikan serahan sumbangan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Lembaga Tabung Haji, Maybank Islamic Berhad dan UMPSA Holdings Sdn. Bhd. untuk diagihkan kepada pelajar miskin, asnaf serta pelajar dari keluarga B40.

Dalam pada itu, cakna terhadap nasib rakyat Palestin, Persatuan Kebajikan dan Kesejahteraan Staf (SEJAHTERA) UMPSA juga tampil menghulurkan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada rakyat Palestin yang sedang menghadapi krisis kemanusiaan.

Majlis diakhiri dengan Iftar Jama’ie bersama 2,000 warga UMPSA dengan Tengku Mahkota Pahang, yang menandakan semangat ukhuwah dan kebersamaan antara institusi akademik dan masyarakat dalam menyemarakkan keberkatan bulan Ramadan.  

Disediakan oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim