Skip to main content

UMPSA agih kira-kira 691 kilogram daging korban santuni fakir, miskin dan komuniti

PEKAN, 29 Mei 2026 – Program Korban/Akikah Peringkat Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) bagi tahun 1447H/2026M telah berlangsung dengan meriah dan lancar di Masjid Al-Jazari UMPSA Pekan bermula seawal jam 7.30 pagi hingga 4.30 petang.

Program tahunan ini melibatkan pelaksanaan ibadah korban dan akikah dengan keseluruhan sebanyak tujuh ekor lembu korban peserta, tiga ekor lembu sumbangan korporat, empat ekor kambing korban serta empat ekor kambing akikah.

Sumbangan lembu korban korporat diterima daripada Maybank dan RHB Bank sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam menyokong komuniti universiti serta usaha kebajikan masyarakat.

UMPSA agih kira-kira 691 kilogram daging korban santuni fakir, miskin dan komuniti

Menurut pihak penganjur, hasil sembelihan daripada tujuh ekor lembu sumbangan peserta berjaya menghasilkan kira-kira 691 kilogram daging yang telah diagihkan kepada golongan fakir, miskin dan komuniti yang memerlukan melalui lebih kurang 350 bungkusan agihan.

Sementara itu, tiga ekor lembu sumbangan korporat pula menghasilkan anggaran sekitar 400 kilogram daging yang memberi manfaat kepada kira-kira 150 penerima.

Program kali ini turut mencatat satu lagi perkembangan positif apabila penggunaan rumah sembelihan baharu UMPSA yang siap dibina dan dirasmikan pada hari yang sama berjaya meningkatkan aspek kecekapan, kebersihan dan kelancaran proses penyembelihan serta agihan daging korban.

Dalam pada itu, pihak masjid turut menyediakan jamuan makan tengah hari kepada kira-kira 300 jemaah Solat Jumaat yang dimasak menggunakan hasil sumbangan akikah, sekali gus menyemarakkan lagi semangat kebersamaan dan mengimarahkan institusi masjid.

Pengarah Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN), Dr. Haji Ahmad Irfan bin Ikmal Hisham berkata, program ini bukan sahaja menzahirkan penghayatan ibadah korban dan akikah dalam kalangan warga universiti, malah menjadi platform memperkukuh ukhuwah serta budaya saling membantu antara komuniti kampus dan masyarakat setempat.

“Program seperti ini mencerminkan semangat kebersamaan dan nilai ihsan yang sentiasa diterapkan di UMPSA. 
“Kami amat menghargai sokongan semua pihak termasuk peserta, penaja korporat dan para sukarelawan yang berganding bahu menjayakan program ini,” ujarnya.

Beliau turut berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai salah satu medium memperkukuh hubungan silaturahim dan menyemai semangat kebajikan dalam kalangan warga universiti.

Secara keseluruhannya, program ini bukan sahaja berjaya mencapai objektif pelaksanaan ibadah korban dan akikah, malah turut mengeratkan hubungan silaturahim antara warga UMPSA, para penyumbang dan sukarelawan yang terlibat.

Pihak penganjur turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peserta, penaja, sukarelawan serta pihak pengurusan masjid atas komitmen dan kerjasama dalam menjayakan program ini dengan penuh semangat kebersamaan.

Disediakan Oleh: Muhammad Sallehudin Bin Md Derus, Pusat Islam dan Pembangunan Insan dan Siti Nur Azwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri