UMPSA anjur Knowledge Sharing Session 5.0: Perkongsian ilmu, inspirasi dan inovasi dalam pengajaran bahasa
PEKAN, 3 Oktober 2025 – Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh budaya ilmu dan kolaborasi dalam kalangan tenaga pengajarnya melalui penganjuran Knowledge Sharing Session 5.0 yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Fakulti, Kampus Pekan.
Program yang bermula pada pukul 10.00 pagi hingga 12.00 tengah hari itu menghimpunkan para pendidik daripada pelbagai bidang untuk berkongsi pandangan, pengalaman serta amalan terbaik dalam dunia pengajaran dan pembelajaran bahasa.
Sesi kali ini menampilkan sembilan pembentang berpengalaman daripada PBM yang membentangkan topik menarik merangkumi pelbagai dimensi bahasa, emosi, budaya dan pedagogi.
Antara pembentangan tersebut termasuklah Growing in Emotional Intelligence oleh Dr. Ruhil Amal Azmuddin, Abdul Jalil Abdul Rahim dan Amy Zulaikha Mohd Ali; Empowering Learning: Alternative Assessments for A New Generation oleh Nurkarimah Yusof, Rosnani Ismail dan Noraisah Nurul Fatwa Mohd Razali; Healing Aku Punya Style! Kesan Positif Konsert oleh Shamsul Harbi dan Leong Hui Theng; Penggunaan Drinking Games (술게임 sul-gae-im) Korea dalam Pembelajaran Bahasa Korea oleh Zatul Amrah dan Mahzaton Aqma; serta Error Analysis In Arabic Language Among Engineering Students at UMPSA oleh Mohammad Baihaqi Hasni.
Sesi ini bukan sekadar medan ilmiah, tetapi turut menjadi platform untuk mencetus idea baharu dalam memperkaya kaedah pengajaran bahasa melalui pendekatan emosi, budaya dan linguistik yang lebih berkesan.
Antara fokus utama yang diketengahkan termasuklah kepentingan kecerdasan emosi dalam pengajaran, penerapan penilaian alternatif bagi generasi baharu, serta penggunaan aktiviti budaya dan hiburan sebagai alat pembelajaran bahasa.
Dalam pada itu, perkongsian oleh Guru Bahasa Kanan, Mohammad Baihaqi Hasni mengenai analisis kesilapan pelajar kejuruteraan dalam bahasa Arab telah menarik perhatian hadirin kerana menyentuh isu sebenar yang dihadapi pelajar kejuruteraan dalam menguasai bahasa asing pada peringkat universiti teknikal.
Dekan PBM, Profesor Madya Dr. Zuraina Ali turut merakamkan penghargaan kepada semua pembentang dan peserta atas komitmen serta semangat perkongsian ilmu yang tinggi.
“Program seperti ini diharapkan dapat diteruskan sebagai salah satu inisiatif PBM dalam menyemai budaya Lifelong Learning dan memperkukuh peranan UMPSA sebagai universiti teknologi yang berteraskan masyarakat.
“Ia menjadi ruang penting bagi tenaga pengajar untuk terus memperkukuh semangat profesionalisme dan pembangunan berterusan dalam kerjaya akademik masing-masing.
“Program ini bukan sahaja menggalakkan perkongsian ilmu, tetapi juga menanam semangat untuk sentiasa belajar, menyesuaikan diri dengan keperluan pelajar masa kini, dan memperkaya pendekatan pengajaran agar lebih berkesan serta bermakna,” ujarnya.
Disediakan Oleh: Mohammad Baihaqi Hasni, Pusat Bahasa Moden (PBM)
- 90 views
Reports by: