UMPSA bakal anjur tayangan dokumentari ‘The Tun Razak Story’, angkat legasi kepimpinan negarawan ulung
PEKAN, 23 November 2026 – Warga Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) bakal berpeluang menyaksikan tayangan eksklusif ‘Man Who Walked the Talk: The Tun Razak Story’ dan Dialog Kepimpinan Tun Razak anjuran UMPSA dengan kerjasama Yayasan Tun Razak pada 26 November 2026 ini yang akan berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, UMPSA Pekan.
Dokumentari istimewa ini disediakan khas sempena memperingati 50 tahun pemergian Tun Abdul Razak Hussein selain mengenang jasa beliau yang memainkan peranan penting dalam membentuk landskap pembangunan negara.
Pada masa yang sama program yang dianjurkan ini diadakan menjelang Sambutan Jubli Perak UMPSA pada 16 Februari tahun hadapan.
Program ini memberikan ruang kepada warga universiti untuk menghayati perjalanan kehidupan, sumbangan serta legasi kepimpinan Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, tokoh negarawan yang memainkan peranan penting dalam sejarah pembangunan negara.
Naib Canselor, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias berkata, tayangan ini mengingatkan kita betapa pentingnya menghargai jasa, pengorbanan dan asas pembangunan negara yang telah diletakkan oleh Perdana Menteri Malaysia Kedua, Tun Abdul Razak Hussein.
“Penganjuran program seumpama ini amat signifikan dalam memberikan pendedahan kepada generasi muda mengenai sejarah kepimpinan negara, selain menyemai nilai integriti, keberanian, dedikasi dan komitmen dalam melaksanakan amanah serta tanggungjawab.
"Legasi kepimpinan Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein wajar terus dihayati dan dijadikan sumber inspirasi, khususnya dalam kalangan generasi muda,” katanya.
Ketokohan beliau bukan sahaja terpancar melalui sumbangan terhadap pembangunan negara, malah melalui visi, kesungguhan dan keupayaan menterjemahkan aspirasi kepada tindakan yang membawa perubahan.
Justeru, katanya platform seperti tayangan dokumentari dan dialog kepimpinan ini penting bagi menghubungkan generasi masa kini dengan sejarah serta nilai kepimpinan tokoh negara, sekali gus membentuk generasi yang mempunyai jati diri, berintegriti dan berpandangan jauh.
Menerusi tayangan dokumentari dan dialog kepimpinan ini, para peserta berpeluang mendalami legasi kepimpinan tokoh berkenaan serta menghayati prinsip perjuangan dan sumbangannya dalam pembangunan negara.
Program yang dijadualkan berlangsung dari pukul 9.00 pagi hingga 1.00 tengah hari itu terbuka kepada seluruh mahasiswa dan warga kerja UMPSA.
Penganjuran program ini diharap dapat menyemarakkan penghayatan sejarah dan nilai kepimpinan dalam kalangan warga universiti, selaras dengan aspirasi Sambutan Jubli Perak UMPSA yang bukan sahaja meraikan perjalanan 25 tahun penubuhan universiti, malah memperkukuh nilai, kecemerlangan dan sumbangan universiti kepada masyarakat serta negara.
Oleh: NAQIAH PUAD, PUSAT KOMUNIKASI KORPORAT
- 7 views