UMPSA buka ruang pengenalan seni muzik tradisional kepada pelajar antarabangsa
KUANTAN, 3 Julai 2026 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menerima kunjungan pelajar mobiliti antarabangsa, Abdullah, Barca, dari Institute of Living Languages, Bingöl University, Türkiye bagi menjalankan penyelidikan akademik berkaitan muzik tradisional sebagai sebahagian daripada kajian beliau di peringkat Doktor Falsafah (PhD).
Program mobiliti penyelidikan ini berlangsung selama tiga minggu bermula 29 Jun hingga 18 Julai 2026 yang bertujuan memberi peluang kepada beliau untuk meneroka khazanah muzik tradisional di Alam Melayu sebagai salah satu komponen kajian PhD beliau dalam bidang instrumen tradisional di seluruh Asia.
Sepanjang berada di UMPSA, Abdullah memberi tumpuan kepada kajian berkaitan muzik asli Alam Melayu, termasuk aspek sejarah, budaya, penggunaan instrumen tradisional serta peranannya dalam masyarakat tempatan.
Kajian ini merupakan sebahagian daripada usaha beliau untuk memahami kepelbagaian warisan muzik Asia dan hubungan antara instrumen tradisional dengan identiti budaya sesebuah masyarakat.

Kehadiran pelajar mobiliti antarabangsa ini turut membuka ruang perkongsian ilmu dan kepakaran antara institusi pengajian tinggi (IPT), selain memperkukuh hubungan akademik antara Bingöl University dan UMPSA dalam bidang penyelidikan serta pertukaran budaya.
Di samping itu, pelajar turut diperkenalkan kepada instrumen utama dalam set gamelan seperti gong, kenong, saron, bonang dan gendang, termasuk peranan setiap alat dalam membentuk struktur melodi, rentak dan dinamika persembahan.
Pendedahan ini memberikan perspektif baharu kepada pelajar tentang nilai estetika, falsafah dan keunikan muzik tradisional Alam Melayu sebagai satu bentuk warisan budaya yang terus berkembang.
Beliau turut diberi peluang mendalami seni muzik tradisional menerusi sesi praktikal bersama staf di Unit Muzik, Pusat Kebudayaan.
Dalam sesi tersebut, pelajar diajar cara memainkan alat-alat muzik yang terdapat dalam set gamelan, selain diberi pengalaman mencuba sendiri permainan setiap instrumen yang digunakan dalam persembahan gamelan.
Pendedahan ini bukan sahaja memperkaya pengalaman pelajar dalam bidang seni persembahan tradisional, malah membantu meningkatkan apresiasi terhadap warisan budaya tempatan.
Menurut Pengarah Pusat Kebudayaan, Mohd Zaki Ahmad, program mobiliti penyelidikan yang disertai pelajar tersebut bukan sahaja memberi pendedahan kepada keunikan muzik tradisional Alam Melayu, malah membuka ruang kepada pertukaran ilmu, pengalaman dan budaya antara Malaysia dengan Turkiye.
"Pusat Kebudayaan mengalu-alukan kehadiran pelajar dan penyelidik antarabangsa untuk meneroka kekayaan warisan seni dan budaya negara.
“Melalui program seperti ini, mereka bukan sahaja berpeluang mendalami aspek teori, malah memperoleh pengalaman secara langsung melalui latihan praktikal bersama tenaga pengajar dan pemuzik di Pusat Kebudayaan.
"Kami berharap pengalaman yang diperoleh sepanjang menjalani mobiliti penyelidikan di UMPSA dapat dimanfaatkan dalam penyelidikan beliau, selain menjadi pemangkin kepada usaha mempromosikan keunikan muzik tradisional Alam Melayu di peringkat antarabangsa,” ujarnya.
Abdullah Barca yang turut menunjukkan minat terhadap permainan kompang memaklumkan bahawa di negara asalnya, Turkiye terdapat alat muzik tradisional yang hampir menyerupai kompang.
“Ia dikenali sebagai def (daf) atau tef, yang lazim dimainkan dalam majlis keraian serta acara kebudayaan.
“Pengalaman mempelajari permainan kompang memberi peluang untuk saya membandingkan persamaan warisan muzik tradisional antara Malaysia dan Turkiye, sekali gus mengukuhkan penghargaan terhadap kepelbagaian budaya kedua-dua negara.
“Saya ingin menzahirkan penghargaan atas sokongan dan kerjasama yang diberikan oleh Pusat Kebudayaan UMPSA dalam memberi peluang kepada saya untuk mengenali serta mencuba alat muzik tradisional Melayu,” katanya.
Menurutnya, pengalaman tersebut merupakan satu peluang berharga untuk mendalami keunikan warisan muzik Malaysia secara lebih dekat melalui sesi pengenalan dan praktikal bersama warga Pusat Kebudayaan.
"Minat saya terhadap muzik bermula sejak kecil, dan saya telah bermain alat muzik sejak zaman kanak-kanak.
“Saya juga sentiasa berminat untuk meneroka alat muzik tradisional dari pelbagai negara kerana ia memberi peluang kepada saya mengenali serta menghargai kepelbagaian budaya dan warisan muzik masyarakat di seluruh dunia,” kata Abdullah.
Beliau turut memaklumkan bahawa di negara asalnya, Turkiye, beliau merupakan seorang pemain profesional Bağlama, iaitu alat muzik tradisional bertali yang menjadi simbol penting dalam warisan muzik masyarakat Turkiye.
Menurutnya, penglibatan aktif dalam permainan alat muzik tersebut sejak sekian lama telah memupuk minat dan penghayatan yang mendalam terhadap seni muzik tradisional.
“Pengalaman mempelajari alat muzik di Malaysia bukan sahaja membolehkan saya berkongsi pengetahuan mengenai warisan muzik Turkiye, malah membuka ruang untuk memahami persamaan dan keunikan tradisi muzik kedua-dua negara,” tambahnya.
Sesi pengenalan alat muzik tradisional ini merupakan usaha yang baik dalam memperkenalkan kekayaan warisan seni dan budaya Malaysia kepada pelajar antarabangsa.
Melalui pendekatan yang menggabungkan penerangan teori dan latihan praktikal, peserta didedahkan kepada sejarah, fungsi serta teknik permainan pelbagai instrumen tradisional, sekali gus meningkatkan pemahaman dan apresiasi terhadap keunikan muzik asli Alam Melayu.
Disediakan Oleh: Adibah Shaharom, Pusat Kebudayaan
- 30 views
Reports by: