UMPSA garis 5 Agenda Tranformasi, 17 Anjakan Strategik lonjak kecemerlangan
PEKAN, 14 April 2025 - Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Profesor Dr. Yatimah Alias telah mengetengahkan tema ‘Minda Perkasa, Kekal Relevan’ dalam Amanat Naib Canselor UMPSA 2025 hari ini.
Beliau telah menggariskan lima Agenda Transformasi (AT) dan 17 Anjakan Strategik, dalam melonjakkan kecemerlangan universiti.
Menurutnya, lima agenda transformasi utama yang akan memacu UMPSA ke arah pencapaian visi sebagai universiti teknikal unggul dan peneraju Advanced TVET di rantau ASEAN ini yang pertama adalah ‘Memperkukuh dan Memajukan Potensi Individu’ dengan menyasarkan peningkatan keupayaan staf akademik, bukan akademik dan pelajar melalui pelan latihan, pemerkasaan kerjaya dan pensijilan profesional.
“Agenda Transformasi kedua ialah ‘Menawarkan Program Akademik Yang Kompetitif’ iaitu dengan menstrukturkan semula kurikulum, pemantapan TVET, pembangunan program rentas disiplin dan pemerkasaan bahasa Inggeris melalui pendekatan global serta industri,” katanya.
Agenda Transformasi ketiga pula iaitu ‘Kewangan: Pengoptimuman Hasil dan Penjimatan Ko’s dengan menekankan pengurusan aset, penjanaan pendapatan melalui penyelidikan dan pelaburan, serta kecekapan perbelanjaan melalui pendekatan Outcome-Based Budgeting.
Manakala Agenda Transformasi keempat ialah ‘Memperkukuh Penyelidikan, Industri dan Masyaraka’t dengan penghasilan penyelidikan yang aplikatif dan penyelesaian kepada komuniti dan industri, serta galakan kepada kolaborasi berimpak tinggi.
Agenda Transformasi kelima pula ialah ‘Membangun Ekosistem Kampus’ dengan membina persekitaran kampus yang lestari dan inklusif merangkumi digitalisasi, keusahawanan pelajar, mobiliti antarabangsa serta penglibatan alumni strategik.
Selain itu, agenda transformasi ini juga berteraskan kepada kerangka pembangunan strategik ‘SPIROS’ yang menjadi asas kepada perancangan dan tindakan warga UMPSA iaitu ‘S (Skills) – Pemerkasaan kurikulum dan pembangunan bakat’, ‘P’ (Perfection) – Pembudayaan nilai kerja yang unggul’, ‘I’ (Impact) – Pemerkasaan kerjasama komuniti, industri dan penyelidikan’, ‘R’ (Resilience) – Pembinaan ketahanan modal insan’, ‘O’ (Optimise) – Pengoptimuman infrastruktur dan sistem kampus dan ‘S’ (Sustainability) – Kelestarian kewangan dan operasi universiti.
Justeru, katanya bagi menjayakan keseluruhan pelan tindakan dan pelaksanaan inisiatif strategik tersebut, UMPSA memperuntukkan RM9.2 juta meliputi geran latihan dan pembangunan profesional staf, program pensijilan pelajar dan pengantarabangsaan, penambahbaikan infrastruktur TVET dan digitalisasi, peningkatan ekosistem penyelidikan dan inovasi serta pengukuhan strategi pemasaran dan kebajikan pelajar.
Dalam pada itu, UMPSA membuktikan kecemerlangan dalam melahirkan graduan yang berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran dunia kerjaya apabila mencapai 99.1 % Kadar Bekerja Graduan (GE) bagi tahun 2024.
Kadar GE ini merujuk kepada perkadaran graduan bekerja kepada bilangan graduan dalam tenaga buruh meliputi graduan berstatus bekerja.
Manakala Kadar Kebolehpasaran Graduan (GM) pada tahun 2024 mencapai sebanyak 99.0 peratus melepasi Kadar GM nasional tahun 2024 yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi pada 86.4 peratus.
Turut berlangsung Majlis Sambutan Aidilfitri Peringkat UMPSA 2025 yang turut diserikan dengan kehadiran Pengerusi Lembaga Pengarah UMPSA, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar, Pengerusi Lembaga Pengarah UMPSA Advanced, Dato' Hamdan Hussin, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha bersama barisan pengurusan tertinggi universiti serta warga kampus.
Pelbagai juadah tradisional disediakan oleh fakulti dan pusat tanggungjawab, selain persembahan kebudayaan daripada Pusat Kebudayaan UMPSA, penyampaian sumbangan, penyampaian hadiah pertandingan hiasan gerai tercantik dan video kreatif ‘Syoknya Raya UMPSA’ yang memeriahkan suasana sambutan.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
Foto: Khairu Aidilnishah Rizan Jalil, Pusat Komunikasi Korporat dan Zaffaruddin Hamzah, Pejabat Naib Canselor
- 66 views