UMPSA Innovatech Challenge 2026 serlah potensi keusahawanan teknologi pelajar
PAYA BESAR, 18 Oktober 2026 – Penganjuran UMPSA Innovatech Challenge 2026 menjadi antara pengisian menarik bersempena dengan Hari Terbuka Mahasiswa x Bizz Fest UMPSA 2026 yang membuka ruang kepada mahasiswa mengetengahkan kreativiti, inovasi dan potensi keusahawanan berasaskan teknologi.
Program anjuran Pusat Pembangunan Usahawan Kreatif (PUPUK), Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang berlangsung pada 17 hingga 18 Oktober 2026 itu berjaya menghimpunkan 28 penyertaan daripada syarikat pelajar yang mewakili lapan fakulti dan satu pusat di UMPSA.
Menurut Pengarah PUPUK, Dr. Nurul Ashykin Abd Aziz, program ini turut menjadi platform strategik untuk mengenal pasti bakat baharu dalam kalangan usahawan siswa yang berpotensi dibimbing dan dibangunkan sebagai usahawan teknologi masa hadapan.

“Pertandingan ini bertujuan menggalakkan pembangunan produk dan perkhidmatan berasaskan teknologi yang inovatif, berdaya saing serta berpotensi untuk dikomersialkan.
“Penilaian dibuat oleh juri industri berdasarkan aspek kreativiti, inovasi, kebolehlaksanaan, potensi pasaran dan prospek pengkomersialan.
“Penganjuran program seumpama ini bukan sahaja memperkukuh ekosistem keusahawanan pelajar, malah memupuk budaya inovasi serta menggalakkan penglibatan mahasiswa dalam aktiviti keusahawanan berimpak tinggi,” ujarnya.
Tambah beliau, inisiatif ini juga selaras dengan aspirasi Pelan Strategik UMPSA30 dalam melahirkan mahasiswa yang kreatif, inovatif dan berdaya saing, sekali gus memperkukuh peranan universiti dalam membangunkan ekosistem keusahawanan berasaskan teknologi.
Kumpulan Ecobuild Team daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA) muncul sebagai juara, manakala tempat kedua dimenangi oleh Nextgen Hydraulic System daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Pemprosesan (FTKKP).
Tempat ketiga pula menjadi milik Rootrevive daripada Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI).
Hadiah sagu hati dimenangi oleh Xync dan Titiktiga Labs daripada Fakulti Komputeran (FK), serta Aeronyx daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA).
Ecobuild Team turut meraih Anugerah Pitching Terbaik, manakala Very Cool Group daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) memenangi Anugerah Produk Inovasi Terbaik.
Anugerah Teamwork Terbaik pula dimenangi oleh Syntech Smart Socket daripada FTKEE, sementara Anugerah Reruai Terbaik menjadi milik Biominds daripada FSTI.
Penyampaian hadiah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed.
Disediakan Oleh: Dr. Nurul Ashykin Abd Aziz, Pusat Pembangunan Usahawan Kreatif (PUPUK) dan Siti Nurfarmy Ibrahim, Pusat Komunikasi Korporat
- 29 views
Reports by: