UMPSA, JPJ Pahang memperkasa budaya pemanduan berhemah, 450 mahasiswa terima bantuan petrol
GAMBANG, 20 Mac 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang terus memperkukuh agenda keselamatan jalan raya dalam kalangan mahasiswa menerusi penganjuran Kempen Keselamatan Jalan Raya 2026, sekali gus menyemai budaya pemanduan berhemah dan bertanggungjawab dalam kalangan generasi muda.
Program yang berlangsung di Bilik Seminar Pusat Industri dan Masyarakat, UMPSA Kampus Gambang itu menjadi platform penting dalam meningkatkan kesedaran mahasiswa mengenai kepentingan mematuhi peraturan jalan raya serta mengamalkan sikap berhemah ketika berada di jalan raya.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Pengarah JPJ Pahang, Ahmad Sallehhuddin Mat Nasir dan turut dihadiri Ketua Unit Keselamatan Jalan Raya dan Korporat JPJ Pahang, Lai Kah Seng, Penolong Timbalan Naib Canselor (Pembangunan Pelajar), Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMPSA, Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Razali Daud serta Yang di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMPSA Sesi 2025/2026, Adam Al Wafiy.

Program itu mendapat sambutan menggalakkan apabila menghimpunkan kira-kira 100 pelajar yang berpeluang mengikuti pelbagai aktiviti dan pengisian berkaitan keselamatan jalan raya serta tanggungjawab sebagai pengguna jalan raya yang beretika.
Menariknya, kempen tersebut turut menyaksikan pelaksanaan inisiatif bantuan petrol kepada pelajar yang memiliki kenderaan berdaftar di bawah Bahagian Keselamatan Universiti (BKES) UMPSA.
Seramai 450 mahasiswa berjaya menerima baucar petrol percuma yang disediakan bagi membantu meringankan kos perjalanan pulang ke kampung halaman dan urusan harian mereka.
Bagi menjayakan inisiatif berkenaan, sebanyak RM9,000 diperuntukkan melibatkan pemilik kereta dan motosikal yang berdaftar dengan universiti.
Selain membantu mengurangkan beban kewangan mahasiswa, pemberian baucar itu juga dilihat mampu menggalakkan pemilik kenderaan mematuhi prosedur pendaftaran dan memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat untuk digunakan.
Penganjuran kempen ini mencerminkan komitmen berterusan UMPSA dan JPJ Pahang dalam memperkasakan kesedaran keselamatan jalan raya, sekali gus melahirkan pengguna jalan raya yang lebih berdisiplin, bertanggungjawab dan sentiasa mengutamakan aspek keselamatan.
Kerjasama strategik antara UMPSA, JPJ Pahang dan MPP turut membuktikan bahawa sinergi antara institusi pendidikan, agensi kerajaan dan kepimpinan mahasiswa mampu memberi impak signifikan dalam membentuk budaya keselamatan jalan raya yang lebih mampan dalam kalangan generasi muda.
Disediakan Oleh: Nurul Adlina A'zmi, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), UMPSA
- 59 views
Reports by: