UMPSA perkasa pembangunan kepimpinan melalui Latihan Berterusan Skuadron 183 Tahun 2026
PEKAN, 16 Julai 2026 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus komited melahirkan graduan yang berdisiplin, berintegriti dan berjiwa patriotik menerusi penganjuran Majlis Pembukaan Latihan Berterusan Skuadron 183 Tahun 2026 yang berlangsung di Padang Kawad Akademi A.D.A.B, Pekan.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Komandan PALAPES UMPSA, Yang Berbahagia Kolonel (K) Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias PSSTUDM.
Turut hadir Timbalan Komandan PALAPES UMPSA, Leftenan Kolonel (K) Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed PSSTUDM, Ketua Skuadron 183, Kapten Mohd Rizqin Tuan Ab Aziz TUDM, para pegawai sukarela PSSTUDM, barisan jurulatih dan pegawai kadet.
Menurut Kolonel (K) Profesor Ts. Dr. Yatimah, latihan berterusan yang berlangsung selama 14 hari itu merupakan latihan wajib tahunan bagi melatih dan membimbing pegawai kadet PALAPES Udara serta pegawai sukarela PSSTUDM dalam aspek ilmu ketenteraan, kepimpinan dan pengurusan latihan.
“Latihan tersebut bukan sekadar memberi pendedahan kepada latihan asas ketenteraan, malah turut merangkumi latihan fizikal, kepimpinan, taktikal dan teori ketenteraan yang mampu membentuk individu yang berdisiplin, berdaya tahan serta sentiasa bersedia menyumbang kepada negara.
“Setiap latihan yang dilalui bukan sekadar memenuhi tuntutan program, malah menjadi medan membentuk peribadi pemimpin yang berintegriti, berani dan bertanggungjawab.
“Setiap cabaran yang ditempuhi akan menjadi pengalaman berharga dalam membina jati diri pegawai kadet,” ujarnya.

Beliau turut menyeru agar semua pegawai kadet menanam semangat kesukarelawanan, ketahanan mental serta mengukuhkan kerjasama berpasukan sepanjang latihan berlangsung.
“Disiplin diri perlu diterapkan dalam setiap aspek termasuk ketepatan masa, pemakaian seragam yang kemas serta menghormati pegawai atasan dan jurulatih kerana disiplin merupakan asas kepada kejayaan sesebuah pasukan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pegawai, jurulatih dan pegawai kadet yang sanggup mengorbankan cuti semester demi menjayakan latihan berkenaan.
Beliau berharap Latihan Berterusan Skuadron 183 Tahun 2026 dapat dilaksanakan dengan lancar, selamat dan memberi impak yang besar dalam melahirkan pegawai kadet yang berkualiti, berwibawa dan sentiasa bersedia berbakti kepada agama, bangsa dan negara.
Pada majlis itu, beliau secara rasminya mengisytiharkan pembukaan Latihan Berterusan Skuadron 183 Tahun 2026.
Disedikan Oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat
- 20 views
Reports by: