Skip to main content

UMPSA perkenal Student-OSC mudahkan urusan pelajar di satu lokasi

PEKAN, 7 Oktober 2026 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) memperkenalkan Pusat Hentian Setempat Pelajar atau Student One Stop Centre (Student-OSC) bagi memudahkan pelajar dalam dan luar negara mendapatkan pelbagai perkhidmatan universiti di satu lokasi.

Student-OSC mula beroperasi di Kompleks Aspirasi Siswa (KAS), dahulunya Pusat Aktiviti Pelajar (PAP) di Pekan, mulai hari ini, manakala kaunter yang sama di Kompleks Perkhidmatan Akademik (dahulu Canseleri) di Kampus Paya Besar sudah beroperasi dan menyediakan perkhidmatan kepada pelajar.

Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias, hari ini turun padang bagi meninjau pengoperasian Student-OSC UMPSA bagi melihat sendiri kemudahan, kelancaran operasi serta kualiti penyampaian perkhidmatan yang disediakan sebagai pusat sehenti untuk warga pelajar.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Kamal Yusoh dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed.

Menurut Profesor Ts. Dr. Yatimah, kewujudan Student-OSC merupakan antara usaha universiti untuk memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan kepada pelajar melalui pendekatan yang lebih mudah, tersusun dan mesra pelanggan.

“Student-OSC menghimpunkan pelbagai perkhidmatan utama universiti di satu lokasi bagi memudahkan pelajar mendapatkan maklumat, khidmat nasihat serta menyelesaikan urusan berkaitan akademik, kewangan dan kebajikan dengan lebih cekap.

“Inisiatif ini juga mencerminkan komitmen UMPSA untuk memastikan kebajikan dan pengalaman pelajar sentiasa diberi perhatian melalui penyampaian perkhidmatan yang lebih dekat dengan keperluan mereka. 

“Penyediaan perkhidmatan pelbagai jabatan di satu lokasi dapat membantu mengurangkan keperluan pelajar untuk bergerak ke beberapa pejabat berasingan bagi mendapatkan perkhidmatan yang diperlukan,” ujarnya.

Katanya lagi, pelajar juga boleh mendapat akses kepada perkhidmatan universiti dengan mudah dan cepat. 

“Dalam masa yang sama, pengalaman mereka ketika berurusan juga perlu diberi perhatian supaya setiap perkhidmatan yang disediakan benar-benar memberi manfaat,” jelasnya. 

Selain kaunter perkhidmatan fizikal, Student-OSC turut menyediakan kemudahan Virtual Helpdesk bagi membolehkan pelajar mendapatkan konsultasi bersama pegawai atau staf jabatan berkaitan.

UMPSA perkenal Student-OSC mudahkan urusan pelajar di satu lokasi

Pelajar juga boleh menggunakan sistem slot janji temu sebelum hadir ke kaunter fizikal bagi membant mereka mengurus masa dengan lebih baik.

Malah, beliau juga berharap agar Student-OSC dapat terus diperkasakan sebagai pusat perkhidmatan yang responsif terhadap keperluan pelajar serta menjadi penghubung yang lebih dekatantara pelajar dengan jabatan-jabatan berkaitan di universiti.

“Matlamat akhirnya adalah untuk memastikan pelajar mendapat pengalaman perkhidmatan yang baik sepanjang berada di UMPSA.

“Saya juga berharap semua pihak yang terlibat dapat terus bekerjasama, menambah baik perkhidmatan dan mendengar maklum balas pelajar supaya Student-OSC ini benar-benar berfungsi sebagai pusat sehenti yang memberi nilai kepadawarga mahasiswa,” ujarnya. 

Pusat sehenti itu menggabungkan perkhidmatan tiga jabatan utama universiti iaitu Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa (JHEAA), Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) serta Jabatan Bendahari.

Melalui pendekatan itu, pelajar tidak lagi perlu berulang-alik ke lokasi berbeza bagi mendapatkan maklumat atau menyelesaikan urusan berkaitan akademik, kebajikan, hal ehwal pelajar dan kewangan.

Antara kemudahan yang disediakan termasuk perkhidmatan kaunter, khidmat pegawai dan staf jabatan berkaitan secara tetap atau mengikut giliran serta Virtual Helpdesk bagi urusan yang memerlukan konsultasi bersama pegawai.

Pelajar turut boleh membuat temu janji sebelum hadir ke kaunter.

Student-OSC turut menyediakan paparan maklumat, hebahan dan pengumuman berkaitan perkhidmatan pelajar serta kemudahan sokongan lain bagi meningkatkan pengalaman dan kualiti penyampaian perkhidmatan.

Usaha itu selaras dengan komitmen UMPSA untuk memastikan penyampaian perkhidmatan kepada pelajar lebih mudah, cepat dan berpusat, selain mengurangkan keperluan mereka berurusan di beberapa lokasi berbeza.

Dengan pengoperasian Student-OSC di kedua-dua kampus, pelajar dan warga universiti kini mempunyai saluran sehenti yang lebih tersusun untuk mendapatkan bantuan serta menyelesaikan urusan berkaitan perkhidmatan pelajar.

Dalam lawatan sama, beliau turut meninjau Campus Pantry UMPSA yang menjadi salah satu inisiatif kebajikan pelajar di bawah Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA). 

Pengurusan Campus Pantry merupakan antara perkhidmatan berkaitan kebajikan pelajar yang disediakan oleh jabatan tersebut.

Beliau turut melawat Push Trolley bagi Program Sumbangan Nasi Lemak yang menyediakan sumbangan makanan kepada pelajar.

Ujarnya, inisiatif kebajikan seperti Campus Pantry dan sumbangan makanan memainkan peranan dalam membantu pelajar khususnya mereka yang memerlukan sokongan sepanjang berada di kampus.

“Universiti bukan sahaja memberi perhatian kepada aspek akademik, malah kebajikan dan kesejahteraan pelajar juga perlu dipelihara.

“Program berbentuk sumbangan makanan seperti ini mungkin boleh memberi manfaat secara langsung kepada pelajar yang memerlukan,” katanya.

Penyediaan kemudahan berkenaan juga selari dengan konsep Student-OSC yang menyediakan kemudahan self-service free flow refreshment seperti kopi dan teh selain membuka ruang kepada pelaksanaan program sumbangan makanan atau minuman kepada pelajar.

Turut berlangsung semasa lawatan ialah sesi penyerahan Kad Siswa RHB kepada pelajar.

Student-OSC di Pekan mula beroperasi bagi Sesi Akademik 2026/2027 selepas kerja naik taraf dan ubah suai selesai dilaksanakan.

Disediakan Oleh:  Muhammad Zufli Zuhari, Pusat Perkhidmatan Akademik (PPA)

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri