Skip to main content

UMPSA perkukuh jalinan alumni beri inspirasi buat mahasiswa melalui  perkongsian pengalaman industri

PEKAN, 10 Oktober 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh hubungan antara alumni dengan universiti menerusi penganjuran Program Alumni Back to Campus (ABC) 2026 yang menghimpunkan alumni daripada pelbagai bidang profesional untuk berkongsi pengalaman, kepakaran dan inspirasi bersama mahasiswa, khususnya pelajar tahun akhir.

Program yang berlangsung di Dewan Cendekia Siswa, UMPSA Pekan itu turut menyertai program secara hibrid dalam Majlis Peluncuran Program Alumni Back to Campus Peringkat Kebangsaan 2026 yang disiarkan secara langsung dari Universiti Malaya (UM), bertemakan ‘Menggapai ke Langit, Mengakar ke Bumi.

Program peringkat kebangsaan itu turut dianjurkan bersama oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Majlis Alumni Universiti Awam Malaysia (MALUMNI) bagi menghimpunkan alumni universiti awam (UA) dari seluruh negara, selain mengukuhkan peranan alumni sebagai rakan strategik dalam pembangunan institusi dan generasi mahasiswa.

UMPSA perkukuh jalinan alumni beri inspirasi buat mahasiswa melalui  perkongsian pengalaman industri

Majlis peluncuran disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir. 

Hadir sama Pengerusi MALUMNI, Profesor Madya Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif.

Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias turut hadir menyantuni para alumni yang hadir di kampus. 

Turut sama Penolong Timbalan Naib Canselor (Pembangunan Pelajar), Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Razali Daud dan Pengarah Pusat Perhubungan Alumni, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Ts. Dr. Azizul Helmi Sofian. 

Ujar Profesor Ts. Dr. Yatimah, sesi perkongsian alumni bersama pelajar yang menampilkan alumni UMPSA daripada pelbagai fakulti dan latar belakang kerjaya memberi peluang buat alumni terus berbakti dan menyumbang kepada universiti.

“Kehadiran alumni daripada pelbagai sektor ini memberikan peluang kepada mahasiswa untuk memahami realiti pekerjaan, mengenal pasti kompetensi yang diperlukan oleh majikan serta mendapatkan pandangan berharga berkaitan perkembangan kerjaya selepas tamat pengajian,” katanya.

Malahan hubungan alumni dan universiti bukan sekadar terjalin ketika tempoh pengajian, malah berpotensi berkembang menjadi kerjasama jangka panjang yang memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak.

Penglibatan alumni dalam program seperti ini turut membuka ruang kepada mahasiswa untuk membina rangkaian profesional serta memperoleh inspirasi daripada perjalanan kerjaya graduan terdahulu.

Penganjuran Program Alumni Back to Campus 2026 mencerminkan kepentingan jaringan alumni sebagai penghubung antara institusi pendidikan tinggi dengan industri.

Sesi pertama menampilkan alumni Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), Mohamad Abdul Fattah Ahmad, yang berkhidmat sebagai Senior Shift Superintendent di Kaneka Malaysia Sdn. Bhd.

UMPSA perkukuh jalinan alumni beri inspirasi buat mahasiswa melalui  perkongsian pengalaman industri

Beliau berkongsi pengalaman profesional dalam industri dan memberikan gambaran kepada mahasiswa tentang cabaran dan keperluan dunia pekerjaan.

Seterusnya, sesi perkongsian kedua menampilkan alumni Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), Rabiyatul Salwa Tarmizi, yang merupakan Assistant Manager, Supplier Management di Mercedes-Benz Malaysia Sdn. Bhd.

Perkongsian beliau memberi pendedahan mengenai pengurusan pembekal dan kepentingan kemahiran profesional dalam sektor industri automotif.

Program turut menampilkan alumni Fakulti Komputeran (FK), Mohammad Syarifuddin Mohammad Yusof yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Data Brain Sdn. Bhd., yang berkongsi pengalaman dalam bidang teknologi dan keusahawanan.

Turut serta perkongsian alumni Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Mohamad Nazlemin Mat Hassan, yang bertugas sebagai HSE Manager bagi ECRL – Section 2 di China Communications Construction (ECRL) Sdn. Bhd.

Perkongsian beliau memberi pendedahan tentang aspek keselamatan, kesihatan dan alam sekitar dalam pelaksanaan projek infrastruktur berskala besar.

Salah satu pengisian utama program ialah forum alumni bertajuk ‘Alumni dan Alma Mater: Membina Legasi, Menyemai Budaya Memberi’ yang berlangsung di Dewan Cendekia Siswa.

Forum ini dikendalikan oleh Muhammad Nur Aqmal Nazri, alumni universiti, dengan menampilkan dua orang panel jemputan, iaitu Pensyarah Kanan, Jabatan Pengurusan Sumber Manusia, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Luqman Mahmud dan usahawan daripada SKYBO Resources Sdn. Bhd., Datin Rohaizan Zanudin.

Forum ini mengangkat kepentingan hubungan berterusan antara alumni dengan alma mater, selain menggalakkan budaya menyumbang semula kepada universiti melalui perkongsian kepakaran, bimbingan kerjaya, jaringan industri dan sokongan terhadap pembangunan mahasiswa.

Program ini juga bertepatan dengan aspirasi untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja memiliki pengetahuan akademik dan kemahiran teknikal, malah mempunyai daya saing, kepimpinan, nilai profesional serta kesediaan menghadapi perubahan landskap pekerjaan.

Melalui penglibatan aktif alumni, UMPSA juga berpeluang memperluas jaringan kerjasama industri, memperkukuh ekosistem pembangunan bakat dan menyemai semangat untuk terus menyumbang kepada universiti serta masyarakat.

Melalui semangat ‘Menggapai ke Langit, Mengakar ke Bumi’, program ini  diharap terus menjadi platform bermakna untuk menyatukan alumni, memperkasa mahasiswa dan mengukuhkan legasi universiti demi manfaat generasi akan datang.

Oleh: Wallid Wahidi Hamzah, Pusat Komunikasi Korporat

Foto: Zaffaruddin Hamzah, Pejabat Naib Canselor
 

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim