Skip to main content

UMPSA perkukuh jaminan kualiti akademik menerusi inisiatif bersama SIRIM

PEKAN, 4 September 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh jaminan kualiti akademik menerusi inisiatif program pendedahan profesional bersama SIRIM Berhad selama empat hari bermula 1 hingga 4 September 2026.

Program itu melibatkan Eksekutif Kanan, Pusat Jaminan Kualiti Akademik (PJKA) UMPSA, Zahiruddin Mohd Zain, membolehkan beliau mengikuti secara langsung pelaksanaan audit pemantauan serta memahami proses pensijilan sistem pengurusan kualiti daripada perspektif badan pensijilan.

Sepanjang program, Zahiruddin mengikuti dua komponen utama, iaitu pemerhatian terhadap pelaksanaan audit pemantauan sebenar di organisasi yang diaudit serta sesi perkongsian dan penanda aras profesional bersama pegawai Management System Certification Department, SIRIM QAS International Sdn. Bhd.

 

UMPSA perkukuh jaminan kualiti akademik menerusi inisiatif bersama SIRIM

Menurut Zahiruddin, pengalaman tersebut memberikan perspektif yang lebih menyeluruh tentang proses pensijilan.

“Pengalaman ini membolehkan saya memahami proses pensijilan bukan sahaja daripada perspektif organisasi yang diaudit, malah daripada perspektif badan pensijilan. 

“Pendedahan ini juga boleh dijadikan penanda aras mengikut kesesuaian konteks jaminan kualiti akademik di UMPSA,” ujarnya. 

UMPSA perkukuh jaminan kualiti akademik menerusi inisiatif bersama SIRIM

 
Sementara itu, Ketua Seksyen Komersial, Perkhidmatan & IT (CSI), Jabatan Pensijilan Sistem Pengurusan, SIRIM QAS International Sdn. Bhd., Mohammad Hamidi Yusop berkata, program seumpama ini mencerminkan pendekatan strategik dalam memperluas jaringan kerjasama dan perkongsian kepakaran antara industri dengan institusi pendidikan tinggi. 

“Pendedahan secara langsung kepada proses audit dan pensijilan dapat meningkatkan pemahaman peserta terhadap keperluan standard, amalan pengurusan kualiti dan pematuhan. 

“Inisiatif ini turut menyokong usaha SIRIM QAS dalam membangunkan kompetensi serta memperkukuh budaya kualiti dalam kalangan warga akademik yang boleh menyumbang kepada peningkatan keupayaan dan kecemerlangan pengurusan UMPSA,” katanya. 

Beliau turut memaklumkan bahawa program ini merupakan kali pertama SIRIM QAS menerima penyertaan staf universiti, berbeza dengan penglibatan sebelum ini yang lebih tertumpu kepada pelajar melalui penempatan dan latihan industri.

Sementara itu, menurut Eksekutif Kanan, Seksyen Komersial, Perkhidmatan & IT (CSI), Jabatan Pensijilan Sistem Pengurusan, SIRIM QAS International Sdn. Bhd., Mohd Sabri Mohd Sidek, pemerhatian secara langsung terhadap proses audit memberi peluang kepada peserta untuk memahami dengan lebih jelas bagaimana keperluan sistem dilaksanakan dalam situasi sebenar. 

“Melalui pemerhatian terhadap proses audit, peserta dapat memahami pelaksanaan keperluan sistem secara praktikal serta mengenal pasti pendekatan yang sesuai untuk disesuaikan dengan keperluan dan konteks organisasi,” katanya. 
 

UMPSA perkukuh jaminan kualiti akademik menerusi inisiatif bersama SIRIM

Sementara itu, Penolong Naib Canselor (Strategik Korporat), Pusat Pengurusan Strategik dan Kualiti, Profesor Ts. Dr. Che Ku Mohammad Faizal Che Ku Yahya berkata, program tersebut selari dengan aspirasi Pelan Strategik UMPSA 2026–2030 (UMPSA30) dalam memperkasakan bakat dan membangunkan kompetensi warga universiti.

“Inisiatif seperti ini memberi ruang kepada warga universiti memperluas kemahiran dan perspektif melalui pendedahan kepada amalan organisasi profesional. 

“Pengetahuan yang diperoleh perlu dikongsi dan disesuaikan bagi memperkukuh jaminan kualiti akademik di UMPSA. 
 

UMPSA perkukuh jaminan kualiti akademik menerusi inisiatif bersama SIRIM

“Pengalaman mengikuti audit sebenar dan sesi perkongsian bersama SIRIM diharapkan dapat memberi nilai tambah kepada amalan jaminan kualiti akademik UMPSA, selain memperluas ruang kerjasama antara kedua-dua pihak dalam perkongsian kepakaran dan pembangunan profesional,” ujarnya. 

Disediakan Oleh: Jamilah Bebe Mohamad, Pusat Bahasa Moden (PBM)

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri