UMPSA sambut pelajar baharu menerusi Hari Suai Kenal secara dalam talian
PEKAN, 7 Mac 2026 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menyambut kehadiran pelajar baharu ambilan Mac 2025/2026 menerusi penganjuran Hari Suai Kenal (HSK) yang dilaksanakan secara dalam talian.
Program ini bertujuan memperkenalkan pelajar baharu kepada ekosistem universiti, sistem pembelajaran serta kehidupan kampus sebelum memulakan pengajian secara rasmi.
Hari pertama HSK menampilkan pelbagai slot pengenalan termasuk sesi bersama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang diketuai oleh Yang Di-Pertua MPP, Adam Al-Wafiy Muhammad Zailani yang berkongsi peranan MPP sebagai suara mahasiswa dan rakan strategik kepada pihak pengurusan universiti dalam memperjuangkan kebajikan pelajar.
Selain itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed turut berkongsi mengenai peranan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMPSA (JHEPA) dalam memastikan kebajikan serta pembangunan pelajar sentiasa terpelihara sepanjang tempoh pengajian mereka di universiti.
Sementara itu, Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias dalam amanat khasnya mengalu-alukan kehadiran pelajar baharu serta mengucapkan tahniah kerana berjaya melanjutkan pengajian di universiti yang merupakan antara institusi terbaik dalam rangkaian Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN) dan kehadiran pelajar baharu merupakan satu amanah besar kepada universiti dalam melahirkan generasi pemimpin, penyelidik, jurutera, teknokrat dan profesional yang berwibawa pada masa hadapan.
“Penghayatan DNA pembangunan pelajar UMPSA iaitu A.D.A.B. (Aspire, Dynamic, Agile, Balanced) sebagai panduan dalam membentuk mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik malah beradab, beretika dan seimbang.
“Di universiti, pensyarah bertindak sebagai fasilitator yang membimbing, namun mahasiswa sendiri perlu berusaha mencari dan menguasai ilmu.
“Kejayaan bergantung kepada disiplin diri serta kebijaksanaan mengurus masa,” katanya.
HSK pada kali ini turut mencatat sejarah dengan kehadiran kumpulan pertama pelajar Program Pesisir TVET Borneo UMPSA–UMS yang akan mengikuti pengajian di Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi program Teknologi Penyelenggaraan Sistem Elektrik serta Teknologi Penyelenggaraan Fasiliti Minyak dan Gas.

Bagi memeriahkan suasana, pelajar baharu turut menyertai beberapa sesi interaktif seperti kuiz dan cabutan bertuah yang diadakan sepanjang program berlangsung.
Program HSK akan diteruskan pada 8 Mac 2026 dengan pengisian berkaitan urusan akademik serta sesi pengenalan bersama fakulti bagi membantu pelajar memahami struktur pengajian dan perancangan akademik sepanjang berada di universiti.
Penganjuran program ini diharap dapat membantu pelajar baharu menyesuaikan diri dengan persekitaran universiti serta memulakan perjalanan sebagai mahasiswa dengan lebih yakin dan bersedia.
Disediakan Oleh : Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 13 views
Reports by: