UMPSA sasar lebih banyak peluang inovasi bagi pembangunan industri sukan negara
KUALA LUMPUR, 20 April 2026 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus mengorak langkah memperkasa sukan negara melalui pembangunan teknologi sukan berimpak tinggi.
Naib Canselor, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias bersama Pengarah Pusat Inovasi Teknologi Sukan, Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Hasnun Arif Hassan berkongsi tentang inovasi terkini iaitu RimauStrike dan Spike Trainer iaitu mesin latihan pintar yang direka untuk meningkatkan kecekapan, konsistensi dan prestasi atlet sepak takraw dalam Bernama Radio di Wisma Bernama, Kuala Lumpur.
Istimewanya RimauStrike, ia mampu melancarkan bola dengan kelajuan boleh laras dan trajektori konsisten, membantu atlet meningkatkan refleks, kawalan bola dan kesiapsiagaan permainan.
Manakala Spike Trainer pula menyokong latihan teknik lipat secara lebih sistematik.
Turut dibangunkan inovasi keselamatan seperti bandana ProB bagi mengurangkan risiko kecederaan.
Lebih membanggakan, inovasi ini telah mendapat perhatian apabila dipamerkan kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim dan menjadi sebahagian daripada usaha memperkasa pembangunan sepak takraw negara.
Pembangunan teknologi ini turut melibatkan kerjasama strategik bersama Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) dan Majlis Sukan Pahang (MSP), membuktikan kekuatan sinergi antara universiti dan industri sukan.

Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias, UMPSA komited untuk terus menjadi peneraju dalam teknologi kejuruteraan dan TVET termaju, sekali gus melahirkan inovasi yang memberi impak nyata kepada pembangunan negara.
“Saya berharap inovasi ini dapat dimanfaatkan oleh institusi sukan, sekolah, universiti dan persatuan sukan bagi meningkatkan kualiti latihan atlet sepak takraw.
“Dalam jangka masa panjang, teknologi ini juga berpotensi untuk dikomersialkan sebagai produk teknologi sukan tempatan yang dapat menyokong pembangunan industri sukan di Malaysia.
“Pada masa akan datang, UMPSA merancang untuk menambah beberapa ciri baharu seperti kawalan arah pelancaran bola, variasi kelajuan dan putaran bola, sistem kawalan menggunakan aplikasi mudah alih dan integrasi sistem analisis data latihan atlet,” katanya.
Ujarnya, penambahbaikan ini dijangka dapat menjadikan RimauStrike sebagai sistem latihan pintar untuk sukan sepak takraw.
“UMPSA juga mengharapkan dapat mencipta lebih banyak inovasi dalam meningkatkan prestasi mutu sukan negara termasuklah sukan Paralimpik Malaysia,” katanya memandangkan UMPSA juga mempunyai Pusat Perkhidmatan Inklusif (PPI).
Dalam pada itu katanya, sebagai universiti dalam Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN), UMPSA berhasrat menjadi sebagai hab TVET Termaju tempat berkumpulnya bakat muda terbaik dari seluruh rantau dalam membangunkan teknologi baharu dan mencipta penyelesaian nyata kepada isu-isu strategik yang dihadapi bukan sahaja di Malaysia, malahan antara negara ASEAN.
“Dengan pengalaman luas dalam bidang kejuruteraan, jaringan industri global, dan ekosistem penyelidikan berfokus teknologi, kita yakin UMPSA mampu memainkan peranan ini.
“Malahan Advanced TVET atau TVET Termaju bukan lagi tentang kemahiran asas semata-mata.
“Ia tentang menyediakan generasi akan datang dengan keupayaan tinggi dalam pemikiran kritikal, kecekapan teknologi dan keberanian untuk menerajui industri masa depan,” ujarnya.
Beliau turut berkongsi kejayaan UMPSA mencipta Tactical Utility Autonomous Hybrid (TUAH) yang merupakan platform autonomi maju yang menampilkan kecerdasan (edge intelligence) dan sistem kawalan berpusat hasil kerjasama UMPSA dengan DRB-HICOM Defence Technologies Sdn. Bhd. (DEFTECH) yang dipamer di reruai Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan DEFTECH sempena Defence Services Asia 2026 (DSA 2026) yang berlangsung di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC).
Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
Foto: Khairu Aidilnishah Rizan Jalil, Pusat Komunikasi Korporat
- 2 views