52 anak-anak terima kelengkapan sekolah baharu
PEKAN, 9 Januari 2021 - “Kami amat terharu apabila anak-anak berpeluang dapat kelengkapan pakaian sekolah baharu menerusi sumbangan ini,” luah ibu kepada tujuh cahaya mata, Nur Shahidah Adizan, 39 yang hadir bersama anaknya memilih kelengkapan sekolah dalam program Back to School di Pasar Raya Mydin Kuantan baru-baru ini.
Program itu dianjurkan bersama Persatuan Wanita UMP (MATAHARI), UMP Advanced Education, Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat (ICoN) dan Pusat Penyelidikan Biosains Tropika Termaju (Pusat Biotropik) UMP.
Menurut Nur Shahidah yang menetap di Kampung Tengah, Kuantan, desakan hidup dan kesempitan wang menyebabkan dia dan suaminya Amizan Awang, 43 perlu berjimat cermat untuk menyediakan keperluan bagi enam orang anak-anaknya untuk memulakan sesi persekolahan baharu.
“Setiap tahun kami akan memastikan pakaian anak-anak sentiasa dijaga dalam keadaan baik untuk digunakan semula oleh adik-adiknya nanti.
“Anak-anak biasanya akan memakai kelengkapan pakaian sekolah tahun lalu milik kakak dan abang mereka.
“Jadi mereka jarang berpeluang mengenakan pakaian sekolah baharu setiap kali memulakan sesi persekolahan akibat kekangan wang untuk berbelanja,” katanya.
Ujarnya lagi, memang sukar untuk membeli kelengkapan secara serentak kerana pendapatan suami tidak seberapa.
“Suami saya hanya bekerja sebagai buruh dan saya pula hanyalah seorang suri rumah sepenuh masa.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada UMP yang prihatin dengan masyarakat setempat yang kurang berkemampuan,” katanya.
Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Manis, Dato’ Haji Khairuddin Haji Mahmud, Pemangku Presiden Persatuan Wanita UMP (MATAHARI), Datin Sri Fazia Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif UMP Advanced, Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohammad.
Datin Sri Fazia mengucapkan terima kasih kepada semua penyumbang yang menjayakan program ini.
“Kerjasama ini memberi manfaat kepada 52 orang anak-anak dan usaha ini akan diteruskan bagi membantu keluarga yang memerlukan.
“Tambahan pula ramai antara mereka yang terjejas dengan keadaan ekonomi selepas pandemik COVID-19 melanda negara,” ujarnya.
Manakala Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Rusllim pula berkata, program ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada masyarakat setempat.
“Kami juga berhasrat untuk berkongsi rezeki seperti ini dengan menjadikan program ini sebagai program tahunan.
“Semoga sumbangan ini dapat menyuntik semangat anak-anak untuk memulakan sesi persekolahan tidak lama lagi dan dapat belajar bersungguh-sungguh sehingga meraih kejayaan suatu hari nanti, insya-Allah,” ujarnya.
Program tersebut diadakan dalam dua sesi sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan pandemik COVID-19.
Saban tahun, Persatuan MATAHARI sentiasa cakna untuk membantu golongan yang memerlukan dalam apa jua situasi menerusi kutipan dana.
Dalam program hari ini, mereka diberi kebebasan merasai pengalaman memilih pakaian sekolah, kasut dan barangan kelengkapan sekolah dengan nilai RM150 bagi setiap penerima.
Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohd Idris, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)
- 91 views