Kembara Lestari UMPSA santuni komuniti orang asli di Permatang Keledang
PEKAN, 14 Februari 2026 - Seramai 60 sukarelawan Yayasan UMPSA berkampung di Permatang Keledang, Pekan bagi menjayakan Program Kembara Lestari@Permatang Keledang 2026 yang merupakan inisiatif khidmat masyarakat UMPSA yang memberi tumpuan kepada pembangunan komuniti orang asli melalui pendekatan kelestarian, pemindahan ilmu dan penggunaan teknologi.
Program yang masuk kali ke-13 lokasi jelajah sejak diperkenalkan empat tahun lalu melibatkan pelbagai modul merangkumi teknologi, pendidikan, kelestarian dan khidmat komuniti termasuk inisiatif pertanian lestari, penambahbaikan kemudahan asas, projek inovasi berskala kecil serta pembangunan pendidikan dan sahsiah golongan muda.
Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias yang juga Timbalan Pengerusi Yayasan UMPSA berkata, program kembara ini bukan sahaja menyebar luas pendidikan namun mampu menaik taraf hidup dan kemampanan komuniti secara holistik.
“Program ini juga menggabungkan kepakaran ilmu dari universiti dengan keperluan komuniti untuk mencipta penyelesaian yang mapan terhadap masalah yang dihadapi.
“Malahan ia mampu mendidik pelajar berjiwa sukarelawan untuk menabur bakti di lapangan bersama komuniti setempat,” katanya.
Turut sama ahli pemegang amanah Yayasan UMPSA, Datin Nur Sharmila Shaheen dan
Wakil dari Public Islamic Bank Berhad (PIBB) yang terdiri daripada Pengurus Besar, Hairil Nizam Hamzah, Pengurus, Pengurusan Zakat dan Kewangan Sosial, Izwan Mohd Ali Wasi dan Pengurus, Pembangunan Perniagaan, Amir Zulhaqeem Zakaria.

Profesor Ts. Dr. Yatimah turut hadir menyertai aktiviti penanaman pokok dan Program Ziarah Prihatin dalam menyampaikan sumbangan kit bantuan makanan buat keluarga B40 sekitar kampung.
Turut berlangsung Kelas Masakan Orang Asli, Pertandingan Mewarna, Kelas Dandanan Diri, Khidmat Gunting Rambut dan Kelas Kraf Tangan.
Pelbagai aktiviti telah berlangsung di sekolah antaranya Modul Inovasi, STEM Kit DIY, Pameran STEM and Street Science untuk memperkasa murid-murid dengan ilmu dan kemahiran berfikir, di samping merangsang minat para murid dalam bidang Sains, Teknologi, dan Matematik sejak di bangku sekolah lagi.
Dalam masa yang sama, Kluster Teknologi meneruskan projek pemasangan solar dan vertical farming di sekitar kawasan Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Keledang manakala Kluster Komuniti berlangsung dengan aktiviti mural.
Lain-lain program adalah Bacaan Yasin, Tahlil dan solat berjemaah yang diadakan bersama murid-murid SK Permatang Keledang dan SK Sri Terentang.
Program ini dilaksanakan melalui kerjasama bersama GIATMARA Pekan, Yayasan MR. DIY, Public Islamic Bank Berhad (PIBB), Adabi dan lain-lain.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 13 views
Reports by: