Pasar Percuma UMP Agih Baju Raya
Kuantan, 4 Jun- Inisiatif Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Malaysia Pahang ( UMP) dan Persatuan Wanita UMP ( Matahari) mendapatkan sumbangan baju raya daripada warga kampus dan orang awam berjaya mengumpulkan hampir dua kontena pakaian kanak-kanak sehingga dewasa dalam program Pasar Percuma Raya@ UMP hari ini.
Program ini dihadiri hampir 1000 pelajar Universiti Malaysia Pahang dan masyarakat setempat hadir bagi mendapat pakaian secara percuma bertempat di Dataran Pelajar KK3, UMP Gambang.
Pengarah program, Paridah Mohd Ali yang juga Pegawai Psikologi Kanan UMP berkata, Inisiatif Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni UMP untuk membuat projek ini adalah salah satu usaha menggembirakan hati para pelajar yang sedang bergelut dengan peperiksaan akhir.
“Ini kerana mungkin ada yang tidak mempunyai kewangan yang mencukupi untuk membeli persediaan raya malahan tarikh akhir peperiksaan adalah sangat hampir dengan hari perayaan kelak,” katanya.
Tambah beliau dengan pengumpulan barang-barang yang disumbangkan oleh orang ramai bukan sahaja dapat menggembirakan perasaan sayu kerana sibuk dengan peperiksaan malahan dapat menjimatkan wang ringgit untuk berbelanja dengan mengambil barangan yang disediakan oleh pihak orang ramai.
Pihaknya hanya mengambil masa dua minggu mengumpulkan keseluruhan pakaian ini.Antara sumbangan yang diterima 600 baju kurung,50 pasang baju melayu pelbagai saiz, 30 kotak seluar,baju t-shirt,tudung dan blouse.
Manakala bagi Presiden Persatuan Wanita UMP (Matahari),Prof.Datin Dr.Mimi Sakinah Abd Munaim berkata, pihaknya amat bersyukur program ini mendapat sambutan yang menggalakkan samada dari pelajar dan masyarakat setempat dan berharap program ini dapat diteruskan pada masa akan datang.
Ujarnya, seawal jam 9.30 pagi lagi orang ramai dan pelajar memenuhi dataran Asrama Pelajar UMP Gambang. Program yang berlangsung bermula jam 10.30 pagi,namun dalam tempoh 1 jam sahaja pakaian tersebut habis.
Sementara itu, pelajar UMP yang mengikuti pengajian Diploma Kejuruteraan Kimia dan Sumber Asli, Siti Khadijah Hamzah ,20 melahirkan perasaan amat gembira pada hari ini kerana memperolehi pakaian yang sesuai untuk dipakai pada hari raya nanti.
Selain itu menurut pengunjung, Azhar Abdul Aziz,52,Pengawal Keselamatan Kilang Sawit Gambang yang hadir bersama isteri dan anaknya,mengucapkan terima kasih kepada UMP di atas penganjuran program ini. Sebaik sahaja menerima hebahan tentang program ini beliau bergegas ke UMP. Beliau bersyukur masih ramai yang prihatin menderma pakaian serta barangan lain bagi membantu golongan yang memerlukan.
Disediakan Nor Salwana Mohd. Idris dari Bahagian Komunikasi Korporat PNC
- 93 views