Pengurusan UMPSA turun padang dalam Program Ziarah dan Komuniti di Kampung Kiwatu
TUARAN, 2 Mac 2024- Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin bersama barisan pengurusan universiti turun padang bertemu masyarakat dalam Program Ziarah dan Komuniti Tuaran sempena Program Kembara Prihatin UMPSA@Negeri di bawah Bayu 2.0.
Turut berlangsung program rewang menyediakan makanan tengah hari bersama isteri Ketua Menteri Sabah, Datin Seri Panglima Hajah Juliah Salag dengan para pelajar dan keluarga angkat di sekitar kampung berdekatan.
Dalam ucapannya, Datin Seri Panglima Hajah Juliah menghargai komitmen UMPSA dalam menyantuni komuniti di Tuaran dan amat mengalu-alukan program anak angkat bersama keluarga dan penduduk di sini.
Manakala menurut Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie, program menyantuni masyarakat di sini seiring dengan hasrat universiti dalam menyebar luas akses ke arah penjenamaan dan pengantarabangsaa UMPSA selain berkongsi kepakaran.
“Program ini juga turut menekankan kepada pentingnya memperkasa pendidikan dan teknologi sebagai asas untuk pembangunan yang mampan.
“Dengan memberi tumpuan kepada aspek pendidikan dan teknologi, Yayasan UMPSA berharap untuk memberikan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan kepada masyarakat setempat,” katanya.
Turut berlangsung Program Komuniti, Kursus Pendek, Penyelenggaraan Kenderaan (motosikal 150cc dan ke bawah), pameran, pemeriksaan kesihatan, sukaneka dan aktiviti Program Kelestarian termasuk Program Kebersihan Diri (Berus Gigi/Tuala Wanita).
Selain itu, penduduk di sini juga telah menerima produk baja menggunakan formulasi baharu iaitu produk cecair baja organik dengan prebiotik yang dinamakan Pre-Pecto untuk tanaman pokok pisang dan jagung yang diberikan secara percuma.
Turut berlangsung Ziarah Prihatin bersama keluarga di Kampung Selupoh dan Kampung Serusop.
Bagi penerima manfaat, Abdul Rais Azamkhan, 41, yang tinggal bersama lima orang anaknya, beliau amat menghargai sumbangan yang diterima dari UMPSA.
Beliau yang mengusahakan penanaman cili dan jagung serta berkebun teruja dengan perkongsian kepakaran penyelidik UMPSA terutamanya dalam teknologi IoT yang mampu meningkatkan hasil kualiti tanaman.
Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie juga menghargai kerjasama rakan-rakan strategik yang menjayakan program kali ini iaitu Kerajaan Negeri Sabah, Tuaran Youth Town Club, Yayasan Prihatin Nasional, Raudhah Rizq, Samaiden, Dana Kita, UMPSA Holdings, UMPSA Advanced, Muslim Care Global, Kota Kinabalu Industrial Park, Mr. Solar, dan YADIM dalam meningkatkan kualiti bantuan yang diberikan kepada komuniti, dan memberikan kesan yang lebih besar kepada masyarakat.
Program itu turut melibatkan seramai 55 sukarelawan UMPSA Kilau daripada Skuad Yayasan UMPSA bersama rakan kerjasama iaitu Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) dan Politeknik Kota Kinabalu bagi menyantuni masyarakat di Tuaran dengan program berkaitan teknologi, program pendidikan dan program komuniti.
Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Pusat Konunikasi Korporat
- 129 views