Profesor Turun Padang: Teknologi dan inovasi bersama kaum asal Batik
HULU TEMBELING, 13 Disember 2023 – Dalam usaha meningkatkan taraf kehidupan masyarakat Orang Asal Batik di Kampung Bengoi, Ulu Tembeling, Pahang, pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Profesor Madya Ts. Dr. Amir Abdul Razak bersama Muslim Care Malaysia Society (MCM) dan Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) telah mengadakan Program Celik Teknologi bersama masyarakat di sana.
Program ini telah berlangsung pada 3, 4, 5, dan 17 November yang lalu dan melibatkan 25 buah keluarga dan 35 orang kanak-kanak dari komuniti setempat.
Program itu bertujuan untuk memberi peluang kepada profesor dan para pensyarah dari FTKMA untuk berkongsi kepakaran dan kemahiran mereka dalam bidang tenaga solar dan penyelenggaraan enjin bot kepada masyarakat Orang Asal ‘BATIK’ di Kampung Bengoi.
Selain itu, ia juga dapat memberi peluang kepada para pelajar FTKMA untuk menyumbang dan mempraktikkan ilmu teknologi yang telah dipelajari di universiti kepada masyarakat di sana.
Kampung Bengoi merupakan sebuah kampung terpencil yang terletak di kawasan sungai Ulu Tembeling dan didiami oleh komuniti yang dikenali sebagai kaum asal Batik.
Kaum asal Batik ini masih hidup dalam serba kekurangan dari segi keperluan asas seperti ketiadaan bekalan elektrik, kebergantungan sepenuhnya kepada air sungai sebagai sumber air, komunikasi yang terbatas kerana ketiadaan tempat pengecasan telefon bimbit, dan juga kurang pendidikan asas sekolah di kalangan anak-anak di atas faktor jarak dan kesukaran pengangkutan ke sekolah.
Terdapat juga kesulitan untuk mendapatkan minyak petrol dan diesel bagi penggunaan generator elektrik dan penyelenggaraan enjin bot yang mahal kerana kedudukan kampung yang terpencil.
Menurut Profesor Madya Ts. Dr. Amir, untuk mengatasi cabaran dan membantu penduduk kampung di sini, pasukan FTKMA bersama MCM dan MGTC telah melancarkan beberapa inisiatif awal yang dapat dimanfaatkan penduduk kaum asal Batik dari segi teknologi, akses kepada bekalan elektrik dari sumber tenaga keterbaharuan secara percuma, dan membantu meningkatkan taraf sosioekonomi mereka.
“Inisiatif pertama adalah pemasangan sistem tenaga solar fotovoltaik di surau dan pusat komuniti,
“Ia dapat membantu mengurangkan kebergantungan pada generator konvensional yang menggunakan petrol, dan juga menyediakan bekalan elektrik yang stabil untuk aktiviti keagamaan dan pendidikan di situ.
“Lampu LED cekap tenaga ‘Rediac’, inovasi pensyarah UMPSA, Ts. Muhammad Ikram Mohd Rashid telah digunakan sepenuhnya untuk sistem pencahayaan di surau tersebut.
“Sistem tenaga solar yang telah dibangunkan berfungsi sebagai pusat pengecasan telefon bimbit bagi penduduk kampung, lampu cekap tenaga mudah alih dan juga peranti elektronik asas, di mana akses kepada kemudahan tersebut adalah tanpa kos tambahan kepada mereka,” katanya.
Manakala inisiatif yang kedua pula katanya adalah program penyelenggaraan ringan enjin bot kepada penduduk kampung yang menggunakan bot sebagai kenderaan utama.
“Mereka tidak hanya diberikan peluang untuk belajar dan mempraktikkan penyelenggaraan enjin bot mereka sendiri tetapi juga diberikan bahan-bahan keperluan pakai habis seperti minyak enjin dan alat ganti yang diperlukan untuk membolehkan penyelenggaraan berterusan dapat dijalankan.
“Ini tidak hanya meningkatkan kebolehan teknikal mereka tetapi juga turut mengurangkan beban kos penyelenggaraan yang perlu ditanggung.
“Hasil pendapatan penduduk kaum asal Batik adalah bergantung sepenuhnya kepada hasil hutan dan sumber semula jadi di sekeliling penempatan mereka,” ujarnya.
Tanbah beliau lagi, inisiatif yang ketiga adalah melibatkan kesedaran pendidikan awal sekolah yang secara tidak langsung dapat meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk secara jangka masa yang panjang.
Seramai 35 orang kanak-kanak kaum Batik di Kampung Bengoi telah didedahkan kepada pengetahuan asas robotik secara praktikal.
“Mereka juga buat pertama kalinya berpeluang melihat dan merasai teknologi terkini serta seterusnnya menimbulkan minat untuk belajar terutamanya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan and Matematik (STEM).
“Selain daripada aspek teknikal, pasukan kami turut beramah mesra secara langsung dengan penduduk untuk memahami keperluan mereka.
“Ini adalah untuk memastikan bahawa inisiatif pembangunan yang akan datang dapat dirancang dengan teliti mengikut keperluan sebenar komuniti,” katanya.
Inisiatif Profesor Turun Padang ini dilihat dapat membawa perubahan positif kepada kaum asal Batik di Kampung Bengoi terutamanya dari segi meningkatkan kualiti hidup mereka dan menyediakan mereka untuk menghadapi arus pembangunan pada masa hadapan.
Dengan kejayaan program ini, diharapkan ia dapat menjadi model pembangunan berterusan bagi memenuhi tanggungjawab sosial kepada komuniti terpencil di seluruh Malaysia.
Disediakan oleh: Profesor Madya Ts. Dr. Amir Abdul Razak, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA)
- 103 views