Program Cintai Alam Sekitar Kolaborasi Sukarelawan ERAS bersama Komuniti
Chendor, 10 April – Seramai 80 orang yang terdiri daripada staf Pusat Kelestarian Sumber Bumi (ERAS) bersama mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan ahli Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) menjalankan program khidmat inovasi komuniti di Pusat Penetasan Penyu tersendiri iaitu Rimbun Dahan Turtle Hatchery baru-baru ini.
Menurut Pengarah ERAS, Prof. Madya Dr. Muzamir Hassan, program ini dapat memberi ruang khidmat pemeliharaan dan pemuliharan alam sekitar melalui sumbangan tenaga dan aktiviti kesukarelawan dengan penanaman anak pokok bakau di kawasan paya bakau berhampiran Pantai Chendor. Sukarelawan juga berpeluang melakukan aktiviti penanaman anak pokok bakau dengan dibantu oleh ahli MNS.
Ujarnya, program ini turut memberi pendedahan serta perkongsian ilmu berkaitan kesedaran mencintai alam sekitar di samping menyumbangkan tenaga bagi menjalankan program pembersihan Pantai Chendor dari sisa plastik dan bahan pencemar lain yang boleh menganggu terhadap penetasan telur penyu.
“Penganjuran program ini dilihat dapat menyumbang kepada penjenamaan semula ERAS dan UMP khususnya kepada komuniti setempat yang mana ERAS dilihat sebagai entiti mesra alam sekitar serta menyokong aktiviti penghijauan bumi,” ujarnya.
Program ini juga merupakan kesinambungan hasil penganjuran syarahan umum bertajuk Role Of The Academia In Environmental Conservation & Advocacy yang disampaikan oleh Dr. Maketab Mohamed pada 22 Januari yang lalu sebagai membuka ruang hubungan baik di antara MNS dan UMP ke arah domain pemeliharaan dan pemuliharan alam sekitar. Tidak ketinggalan, sukarelawan turut berpeluang melepaskan 40 ekor anak penyu yang telah menetas di bawah program pemuliharaan penyu ke laut.
Disediakan Siti Nurfarmy Ibrahim dari Bahagian Komunikasi Korporat
- 521 views