Singgah Sahur UMPSA santuni anak yatim dan agensi keselamatan
KAJANG, 28 Mac 2023 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menyantuni dan menyampaikan sumbangan barangan keperluan serta duit raya kepada seramai 55 anak-anak yatim, miskin dan asnaf yang berumur 1 hingga 6 tahun di Pertubuhan Warisan Suci di Kajang.
Pertubuhan Warisan Suci, Kajang merupakan rumah kebajikan yang menyediakan tempat perlindungan kepada kanak-kanak yang memerlukan terutamanya anak yatim.
Dalam kunjungan itu, Pengerusi Pertubuhan, Rosparizal Ahmad turut hadir menerima sumbangan dan kit makanan keperluan daripada Yayasan UMPSA.
Program Singgah Sahur UMPSA turut berpeluang bertemu dengan seramai 27 anak-anak di Pusat Jagaan Kanak-kanak Yatim/Miskin Muhamad Al-Fateh di Bangi Aveneu, Kajang bagi mengedarkan sumbangan dan duit raya buat anak-anak di sini.
Pengerusi Pusat Jagaan, Mohd. Zaidi Zainal Abidin turut menyampaikan taklimat dan berkongsi mengenai operasi pusat jagaan tersebut.
Program turut bertemu barisan hadapan petugas keselamatan di Balai Bomba dan Penyelamat Putrajaya (Presint 7).
Hadir menerima juadah bersahur ialah Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Putrajaya), Penguasa Kanan Bomba 1, Ashari Johari.
Manakala hadir sama di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Putrajaya, Timbalan Ketua Polis Daerah Putrajaya, Superintenden Polis Mohd Hafiz Shamsudin, bagi menerima juadah bersahur buat anggota keselamatan.
Program itu turut melibatkan seramai 40 sukarelawan Kilau yang terdiri daripada barisan pengurusan UMPSA, Ahli Lembaga Pengarah UMPSA dan Lembaga Pemegang Amanah Yayasan UMPSA serta pelajar ke destinasi terpilih bagi menyantuni pengurusan rumah kebajikan dan asnaf.
Hadir dalam program, Pengerusi Lembaga Pengarah UMPSA, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar, Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, Ahli Lembaga Pemegang Amanah, Yayasan UMPSA, Dato' Ts. Izwan Hasli Mohd Ibrahim, Datin Nur Sharmila Shaheen dan Bendahari, Dato’ Zainuddin Othman.
Turut sama Timbalan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed dan Pendaftar, Dato’ Saiful Bahri Ahmad Bakarim.
Menurut Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie, selain beramah mesra, program ini bertujuan untuk berkongsi rezeki dengan menyampaikan juadah sahur.
“Program ini bukan sahaja dapat memberi peluang kepada warga UMPSA untuk beramah mesra dengan penghuni rumah pertubuhan dan malah juga dapat memupuk keinsafan serta kesyukuran dalam diri,” katanya.
Selain mengeratkan lagi silaturahim sesama agensi di negeri ini, kunjungan itu juga secara tidak langsung dapat menzahirkan penghargaan kepada petugas yang menyumbang kepada negara di samping meraikan bulan Ramadan.
Program Singgah Sahur ini dilaksanakan setiap saban tahun menjelangnya Ramadan bagi mendekatkan UMPSA bersama masyarakat seiring dengan slogan ‘Teknologi untuk Masyarakat’ dan mengangkat Agenda Kesukarelawan dalam kalangan warga.
Program yang bermula jam 10.30 malam itu berakhir pada jam 1.30 pagi.
Disediakan Oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat
- 65 views