Singgah Sahur UMPSA@Kuala Lumpur santuni pasukan keselamatan, anak yatim dan asnaf
KUALA LUMPUR, 14 Mac 2026 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menganjurkan Program Singgah Sahur@Kuala Lumpur 2026 bagi menyantuni komuniti setempat, anak yatim, golongan asnaf dan menghargai pengorbanan pasukan keselamatan serta petugas barisan hadapan yang bertugas pada waktu malam sepanjang Ramadan ini.
Empat lokasi persinggahan pada kali ini melibatkan Rumah Anak Yatim dan Asnaf Baitun Nurrawdhah, Pusat Jagaan Kasih Murni, Balai Polis Setiawangsa dan Balai Bomba dan Penyelamat Keramat.
Rumah Anak Yatim dan Asnaf Baitun Nurrawdhah iaitu rumah kebajikan yang diusahakan oleh Hafifah Ismail menempatkan seramai 39 penghuni yang berusia antara tujuh bulan hingga 17 tahun.

Manakala Pusat Jagaan Kasih Murni di Taman Keramat pula menempatkan 30 kanak-kanak terdiri daripada sepuluh orang lelaki dan 20 perempuan berusia antara enam hingga 15 tahun.
Pusat jagaan yang dikendalikan oleh Rohana Ali itu menempatkan kanak-kanak daripada golongan anak yatim dan asnaf yang memerlukan perhatian serta sokongan masyarakat.
Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah UMPSA, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar yang juga Pengerusi Yayasan UMPSA, program Singgah Sahur ini bertujuan mengeratkan hubungan antara Yayasan UMPSA dan masyarakat setempat di samping menyemarakkan semangat kebersamaan dan keprihatinan sepanjang bulan Ramadan.
“Selain berkongsi rezeki dengan golongan yang memerlukan, program ini juga memberi sokongan dan penghargaan buat petugas barisan hadapan yang sentiasa komited menjalankan tanggungjawab demi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat,” katanya yang hadir menyampaikan sumbangan bekalan makanan, bantuan tunai dan duit raya buat penghuni di sini.
Dalam pada itu, Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias berkata, program Singgah Sahur yang masuk kali kesepuluh penganjuran ini memberi peluang pelajar mendekati masyarakat setempat dengan aktiviti kesukarelawanan.
Pihaknya menghargai komitmen seramai 33 sukarelawan UMPSA Kilau dari Yayasan UMPSA yang turut turun padang menyantuni komuniti dengan menjalankan aktiviti yang bermanfaat bersama komuniti setempat.
Program Singgah Sahur turut menyantuni petugas barisan hadapan yang bertugas pada waktu malam di Balai Polis Setiawangsa bagi menyampaikan juadah sahur kepada 20 anggota polis yang sedang bertugas.
Manakala seramai 20 anggota bomba yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Keramat menerima juadah sahur.
Hadir menerima sumbangan mewakili Balai Polis Setiawangsa, Inspektor Shahrul Shahrom dan Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB), Mohd Fahmi Abd Rahim.
Mohd Fahmi turut menyampaikan pesanan untuk mengambil langkah mengutamakan keselamatan keluarga dan sentiasa berhati-hati di jalan raya semasa musim perayaan.
Hadir sama dalam program, Pendaftar UMPSA, Dato’ Saiful Bahri Ahmad Bakarim, Ketua Eksekutif Yayasan UMPSA, Mohd. Jamil Ja'afar, Pengarah Pusat Komuniti Korporat, Mimi Rabita Abdul Wahit dan Pengarah Program Singgah Sahur@Kuala Lumpur yang juga merupakan pelajar Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pembuatan (Farmaseutikal), Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), Nur Amalina Abd Malik.
Pada kali ini juga, para sukarelawan turut berpeluang membantu pihak Masjid Jamek Sultan Abdul Samad mengagihkan juadah berbuka puasa kepada kira-kira 2,000 jemaah dan komuniti yang hadir di sana.
Disediakan Oleh: Siti Nurfarmy Ibrahim, Pusat Komunikasi Korporat
- 9 views
Reports by: