Siswazah UMP berbakti hulur sumbangan buat anak yatim
Kuantan, 30 Mei- Institut Pengajian Siswazah (IPS) dengan kerjasama Postgraduate Association berpeluang mengadakan program khidmat masyarakat (CSR) bersama-sama dengan anak-anak di Pusat Jagaan Hembusan Kasih Sayang yang terletak di Taman Guru, Kuantan, Pahang baru-baru ini. Dalam program ini seramai 60 orang anak yatim dan kurang berkemampuan telah menerima sumbangan berupa barangan keperluan asas, makanan dan duit raya.
Menurut pengarah program, Helmi Mohamed Isa berkata, program tahunan ini memberi peluang pihaknya bersama siswazah turun padang bertemu dengan penghuni di sini dalam menyemarakkan sambutan Hari Raya Aidil Fitri.
“Program CSR ini dapat membentuk sifat kasih sayang dan menghargai golongan yang kurang bernasib baik. Pihak IPS juga berazam agar program-program seperti ini akan terus dilaksanakan pada masa hadapan,” katanya.
Manakala menurut Pengetua Pusat Jagaan Hembusan Kasih Sayang, Mohd Uqbah berkata, untuk menampung tempat tinggal anak-anak tersebut yang terdiri daripada 29 orang lelaki dan 31 perempuan, pihaknya perlu menyewa empat buah rumah.
Oleh itu ujarnya, sumbangan dan bantuan daripada semua pihak yang sudi adalah amat dialu-alukan bagi meringankan beban kewangan di samping dapat membantu para penghuni pusat jagaan tersebut menjalani kehidupan yang lebih selesa. Bagi yang mereka yang berhasrat untuk menghulurkan sumbangan boleh menghubungi pihak pengurusan Pusat Jagaan Hembusan Kasih Sayang iaitu Ustaz Uqbah (019-517 3072) atau Puan Nazihah (019-262 5313).
Disediakan oleh Helmi Mohamed Isa daripada Institut Pengajian Siswazah
- 101 views