UMP hantar sukarelawan fokus operasi pembersihan dan agihan bantuan
MENTAKAB, 27 Disember 2021 - Dengan memfokuskan kepada operasi pembersihan dan pengagihan bantuan, seramai 100 sukarelawan Universiti Malaysia Pahang (UMP) berkampung selama dua hari bagi membantu membersihkan rumah pelajar dan kejiranan di Taman Mentakab Indah yang terjejas teruk akibat bencana banjir baru-baru ini.
Menyedari masalah gangguan air di lokasi yang terjejas banjir, UMP turut membawa bersama sebanyak tujuh tangki air milik universiti bagi menjalankan kerja-kerja pencucian.
Penduduk mendapatkan air yang dibekalkan pihak Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) melalui lori tangki yang ditempatkan di sini.
Menurut Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMP, sejak banjir melanda di negeri Pahang, Jawatankuasa Bertindak Bencana UMP telah menyelaras dan menggerakkan usaha misi kesukarelawanan dengan menyalurkan bantuan termasuk keperluan makanan dan kelengkapan buat staf dan pelajar yang terkesan akibat banjir.
Beliau yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Yayasan UMP berkata, pihaknya turut memperuntukkan sebanyak RM50 ribu sebagai persediaan membantu mangsa banjir menerusi bantuan kecemasan bagi keperluan asas, barang dapur, kelengkapan selimut dan kit kebersihan akibat bencana banjir kepada staf, pelajar UMP dan komuniti yang terkesan.
“Bilik gerakan UMP beroperasi di kedua-dua kampus bagi menyelaras pergerakan misi kesukarelawanan bukan sahaja melibatkan sukarelawan UMP malahan termasuk beberapa Institusi Pengajian Tinggi (IPT) lain dalam usaha mengkoordinasi bantuan pascabanjir sejak banjir melanda negeri ini,” katanya yang turut menyertai Program Misi Kemanusiaan Pasca Banjir di Mentakab.
Program turut dihadiri Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad yang menyertai gotong-royong membersihkan rumah pelajar di sini.
Beliau turut menyampaikan sumbangan Yayasan UMP buat pelajar dan keluarga.
Dalam pada itu, pelajar yang terjejas teruk akibat banjir bakal menerima RM1,000 dan barangan keperluan daripada Yayasan UMP.
Bagi pelajar UMP yang mengikuti pengajian di Fakulti Pengurusan Industri (FPI), Mohamad Hakimi Mohd Nor berkata, walaupun taman ini pernah beberapa kali dilanda banjir, namun bencana kali ini agak luar biasa.
“Paras air paling tinggi direkodkan pada Januari lepas kira-kira sejengkal daripada siling rumahnya, namun pada kali pada kali ini melebihi atap di rumahnya,” katanya.
Beliau amat berterima kasih atas bantuan UMP dalam meringankan beban mereka sekeluarga dengan membersihkan rumah mereka.
Sementara itu, bagi pelajar pascasiswazah dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM), Putri Nur Farhanah Mohd. Shamsuddin yang rumahnya turut terjejas teruk akibat banjir terharu dengan kehadiran sukarelawan UMP bagi membantu membersihkan rumahnya yang ditenggelami banjir.
Dengan bantuan rakan-rakan mahasiswa membantunya mempercepatkan pembersihan rumah.
Dalam masa yang sama, pihak Yayasan UMP dengan kerjasama Kumpulan UMP Holdings dan Persatuan Wanita UMP (Matahari) turut mengedarkan air minuman, keperluan asas, barang dapur, makanan, kit pembersihan serta kelengkapan selimut untuk masyarakat setempat.
Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)
- 131 views