UMPSA perkasa hubungan dengan komuniti melalui program Belaian Kasih Ramadan 3.0
GAMBANG, 1 April 2024 - Program Belaian Kasih Ramadan 3.0 yang dianjurkan oleh Perwakilan Mahasiswa Residen Pelajar 2 (PEKA2), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), berlangsung dengan jayanya di Dewan Astaka, UMPSA, Kampus Gambang baru-baru ini.
Program itu merupakan kesinambungan daripada kejayaan Belaian Kasih Ramadan sebelumnya yang telah merangkumi tiga siri, iaitu Belaian Kasih Ramadan 1.0, 2.0, dan yang terkini, 3.0.
Seramai 260 jemputan hadir memeriahkan majlis iftar yang turut disertai oleh penghuni Rumah Anak Yatim Permata Al-Khautar, anak-anak mualaf di sekitar Kuantan, anak-anak masyarakat Kampung Orang Asli Batu 14 Jalan Gambang dan mahasiswa UMPSA dari golongan B40.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Naib Canselor, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, Timbalan Naib Canselor (Hal ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed, Ketua Pustakawan, Kamariah Gono dan Penasihat Undang-undang, Marlina Mamat,
Sumbangan kepada Anak-anak Masyarakat Orang Asli diterima dengan penuh rasa syukur oleh Tuan Rosdin Yaman dan Muhammad Syafid Mohd Norzaid yang mewakili Rumah Anak Yatim.
Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin turut menyampaikan duit raya kepada anak-anak yang hadir bagi mengukuhkan semangat kemanusiaan dan kepedulian yang menjadi teras program ini.
Katanya, pelaksanaan program ini adalah selaras dengan konsep Malaysia MADANI yang merangkumi nilai-nilai ihsan, peduli, dan belas kasihan.
“Pihak universiti turut melaksanakan beberapa inisiatif kebajikan dan pendidikan kepada komuniti setempat sebagai wujud tanggungjawab sosial mereka.
“Semoga program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang, kerana ia membawa impak yang positif terhadap penjenamaan UMPSA sebagai institusi yang berperanan dalam pembangunan masyarakat,” ujarnya.
Majlis ini turut mendapat sokongan dan sumbangan yang besar iaitu sebanyak RM64,000 sepanjang tiga siri program Belaian Kasih Ramadan yang ditaja oleh pelbagai pihak.
Menurut Pengerusi Institusi Kefeloan UMPSA, Nasrul Salim Pakheri, program Belaian Kasih Ramadan 3.0 merupakan contoh yang cemerlang bagi pelaksanaan tanggungjawab sosial universiti dalam menyokong masyarakat setempat.
“Kerjasama yang kukuh antara universiti dan komuniti setempat merupakan asas kejayaan pembangunan berterusan yang berkekalan.
“Dengan penyertaan aktif pelajar dan warga universiti dalam program ini, ia mencerminkan semangat gotong-royong serta kebersamaan yang perlu diteruskan sebagai satu keutamaan dalam pembangunan mahasiswa bersama komuniti,” katanya.
Majlis tersebut turut diserikan dengan persembahan nasyid dan taranum yang menambahkan lagi suasana keagamaan dan kebersamaan dalam majlis iftar.
Disediakan Oleh: Muhammad Zufar Kamarulzahirin, Perwakilan Mahasiswa Residen Pelajar 2 UMPSA
- 143 views