UMPSA perkasa pertanian mampan melalui Projek Ketum Ayam
SETIU, 18 Januari 2025 – Seramai 60 orang penduduk tempatan menghadiri program perasmian Projek Ketum Ayam termasuklah 20 orang petani yang telah berdaftar untuk mengikuti dan menjalankan program yang ditawarkan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) di Kampung Ulu Kekabu, Setiu.
Melalui pelaksanaan Projek Ketum Ayam, UMPSA terus memainkan peranan penting dalam memperkasakan sektor pertanian mampan.
Menurut Pengarah Urusan Pretech Global Sdn. Bhd., Dr. Noormazlinah Ahmad, projek ini bukan sahaja dapat meningkatkan kualiti makanan ternakan tempatan, tetapi juga membantu para usahatani mengurangkan kebergantungan kepada baja kimia dan makanan import.
“Ini adalah langkah penting untuk menjadikan pertanian lebih lestari dan ekonomi lebih kukuh.
“Dengan pelaksanaan projek ini, UMPSA sekali lagi membuktikan komitmennya dalam memindahkan teknologi dan pengetahuan kepada masyarakat.
“Usaha ini bukan sahaja menyokong agenda pembangunan negara, tetapi juga meletakkan UMPSA sebagai peneraju dalam menghubungkan inovasi akademik dengan kesejahteraan masyarakat secara holistik,” ujarnya.
Katanya, projek rintis ini juga membuktikan kesungguhan UMPSA untuk menjadi pemangkin kepada pembangunan komuniti luar bandar.
Pretech Global Sdn. Bhd. adalah syarikat pemula di bawah UMPSA yang menggerakkan inisiatif ini.
Program itu telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu di DUN Permaisuri, Yang Berhormat Haji Mohd Yusop Majid.
Dalam ucapan perasmiannya, beliau memuji usaha UMPSA ini sebagai contoh terbaik kerjasama antara universiti, sektor swasta dan masyarakat setempat dalam menangani isu sosial seperti kemiskinan dan keselamatan makanan.
“Walaupun masih pada peringkat projek rintis, inisiatif ini disambut baik sebagai satu langkah proaktif dalam melahirkan usahawan masyarakat berorientasikan pertanian moden.
“Selain memberikan tumpuan kepada tanaman ketum ayam untuk proses pengeluaran makanan ternakan berteknologi tinggi, inisiatif ini juga berfokus kepada usahatani dengan memberikan latihan mengenai teknik penanaman moden, pemprosesan lepas tuai, dan penghasilan makanan ternakan prebiotik.
“Penekanan juga diberikan kepada pengurangan penggunaan baja kimia dengan memperkenalkan sistem agroperhutanan, yang tidak hanya meningkatkan pengeluaran hasil tani tetapi juga membantu melestarikan alam sekitar,” katanya.
Semua inisiatif ini dijayakan melalui kerjasama strategik di antara PJIM, UMPSA, Lembaga Pertubuhan Peladang dan syarikat tempatan, De Nung Herb Sdn. Bhd., dengan matlamat untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat, menggalakkan amalan pertanian mampan, serta menyumbang kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).
Disediakan Oleh: Nur Ain Zakiah Mohd Yusof, Rozana Sahadan, Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat (PJIM) dan Jamilah Bebe Mohamad, Pusat Bahasa Moden (PBM)
Foto: Yusmin Jaffar, Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat (PJIM)
- 411 views