Skip to main content

Belajar nombor 1, badminton nombor 2, urus masa dengan baik - Wan Ahmad Firdaus  

GAMBANG, 8 Oktober 2025 – Graduan Sarjana Muda Sains Komputer (Sistem Komputer dan Rangkaian) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Wan Ahmad Firdaus Wan Khairul Yusri, 24, membuktikan bahawa disiplin dan keutamaan yang betul adalah kunci utama kejayaan seorang pelajar-atlet.

Anak jadi kelahiran Kemaman, Terengganu itu merupakan anak bongsu daripada dua orang adik-beradik dan kini bekerja sebagai Business Development Executive di Salihin IT Curation, Batu Caves, Kuala Lumpur. 

Minatnya yang mendalam kepada sukan badminton bermula sejak umurnya sepuluh tahun oleh ayahnya yang juga merupakan seorang pemain badminton.

Jelas beliau, ayahnya juga merupakan pendorong utama penglibatannya dalam sukan badminton. 

“Ayahnya adalah penyokong, jurulatih, pengkritik dan rakan sparring terhebat. 

“Tanpa ayah, saya  takkan berada di tempatnya sekarang,” ujar anak kepada pasangan Wan Khairul Yusri Wan Kalab@Wan Khalid dan Maizah Mohd Pirus

Ketika ditanya mengenai cara beliau mengimbangkan masa antara pengajianya dan sukan semasa di UMPSA, beliau mengatakan bahawa pelajaran menjadi keutamaan berbanding sukan.

“Sejak kecil lagi ayah saya berpesan bahwa belajar nombor 1, badminton nombor 2. 

“Ya, dia nak saya pandai main badminton, dia bangga apabila saya wakil dalam pertandingan badminton tetapi dia tidak benarkan saya memberi fokus 100 peratus terhadap badminton, sekali pun saya ditawarkan menjadi pemain negeri. 

“Oleh itu, badminton saya jadikan sebagai hobi dan hanya meluangkan masa untuk bermain dan berlatih pada waktu lapang’

“Cabaran utama bagi saya adalah masa,” ujarnya. 

Katanya, sebagai pelajar dan juga atlet, perlu cekap mengurus masa dengan baik untuk belajar, berlatih dan bersukan walaupun dalam musim peperiksaan. 

“Antara kejayaan yang saya peroleh adalah telah beberapa kali berjaya mewakili daerah semasa di sekolah rendah dan menengah hingga ke peringkat akhir serta separuh akhir. 

“Sayangnya, saya tidak dapat mewakili negeri kerana tidak dibenarkan oleh ayah saya. 

“Malah, saya juga berjaya menjadi Top 8 ketika MASUM 2024 dalam acara beregu campuran”, katanya lagi.   

Wan Ahmad Firdaus turut menitipkan nasihat kepada pelajar-pelajar UMPSA agar sentiasa mengingati bahawa sehebat mana pun kita dalam bersukan, ingatlah tujuan kita masuk ke universiti dan ingatlah tujuan ibu bapa kita bersusah payah menghantar kita ke universiti. 

“Saya yakin 100 peratus tujuannya bukan kerana sukan. 

“Uruslah masa dengan baik. 

“Utamakan kerja dan pelajaran,” ujarnya sambil tersenyum. 

Disediakan Oleh: Ratna Wilis Haryati Mustapa, Perpustakaan UMPSA
 

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim