Skip to main content

Hadiah Kecemerlangan Akademik Presiden Lembaga Jurutera Malaysia milik Soh Jia Wen dan Chew Poh Yee

GAMBANG, 9 November 2025 – Dua orang graduan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) membuktikan keunggulan akademik dan sahsiah luar biasa apabila masing-masing menerima Hadiah Kecemerlangan Akademik Presiden Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) bersempena dengan Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-20.

Penerima anugerah berprestij itu ialah Soh Jia Wen, graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dengan Kepujian dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE), dan Chew Poh Yee, graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dengan Kepujian dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA).

Hadiah Kecemerlangan Akademik Presiden Lembaga Jurutera Malaysia milik Soh Jia Wen dan Chew Poh Yee

Soh Jia Wen, anak kelahiran Melaka yang dibesarkan di Segamat, Johor berjaya menamatkan pengajian dengan PNGK 3.75 dan menerima Anugerah Dekan bagi setiap semester. 

Kini beliau berkhidmat sebagai Jurutera Aplikasi di sebuah syarikat automasi di Singapura yang terlibat dalam pembangunan sistem mesin berasaskan teknologi laser.

Sepanjang pengajian, beliau aktif dalam pelbagai pertandingan berimpak tinggi termasuk FiMiex East Coast Malaysia 2023 (Juara), EPIC 2024 Monsoonsim International Competition (Tempat Ketiga), dan CITREx 2023 (Pingat Perak).

Katanya, UMPSA banyak melatih dirinya untuk berfikir secara kritikal dan berpasukan. 

“Setiap cabaran menjadi peluang untuk berkembang,” ujar Soh Jia Wen yang menjadikan prinsip ‘hanya melalui jalan penuh cabaran, seseorang itu akan meninggalkan jejak kejayaan’ sebagai pegangan hidupnya.

Sementara itu, Chew Poh Yee dari Batu Pahat, Johor pula berjaya menamatkan pengajian dengan PNGK 3.77 dan kini berkhidmat sebagai Jurutera Awam dan Alam Sekitar di Surbana Jurong Consultants Pte Ltd, Singapura.

Hadiah Kecemerlangan Akademik Presiden Lembaga Jurutera Malaysia milik Soh Jia Wen dan Chew Poh Yee

Beliau aktif dalam kepimpinan pelajar menerusi IEM-UMPSA, Persatuan Seni Cina UMPSA serta pelbagai program pembangunan pelajar. 

Kejayaan terbesarnya ialah ketika projek tahun akhir bertajuk ‘Automated QLASSIC Assessment for Internal Wall Defects Using AI and Image Processing’, yang membawanya meraih Anugerah Khas NOVAL-T: Rising Talent di CITREx 2025.

Katanya, walaupun bidang Kecerdasan Buatan (AI) baharu bagi diriya, bimbingan pensyarah dan semangat untuk belajar sesuatu yang dari luar zon selesa menjadi kunci kejayaan. 

Kedua-dua penerima menzahirkan penghargaan kepada pensyarah dan ibu bapa yang menjadi tunjang kejayaan mereka. 

Malah, mereka turut menyifatkan UMPSA sebagai universiti yang menggabungkan teori dan aplikasi industri secara seimbang, sekali gus melahirkan graduan kompeten dan berdaya saing.

Kejayaan mereka menjadi bukti bahawa pendekatan pembelajaran berasaskan industri dan penekanan terhadap nilai profesionalisme serta inovasi menjadikan graduan UMPSA sentiasa relevan dengan keperluan semasa dunia kejuruteraan.

Disediakan oleh: Noraini Yusoff, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim