Jika ibu masih ada, dialah insan paling gembira
Kuantan, 16 November – Hadir meraikan kejayaan tanpa insan tersayang pastinya mengundang perasaan sedih. Itulah rasa hati Nur Shairah Yahya, graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Farmaseutikal) Dengan Kepujian yang hadir menerima ijazah bersempena Majlis Konvokesyen UMP Kali Ke-14 baru-baru ini.
Nur Shairah, 23 tahun berkata arwah ibunya meninggal dunia Oktober tahun lalu disebabkan penyakit dalam perut yang dideritai selama beberapa tahun. Sejak itu, ayahlah tempat kami bergantung. Katanya, hadir menyaksikan hari yang penuh bermakna ini adalah ayahnya, Yahya Deraman, 54, yang datang bersama adik-beradik lain. Terasa sebak apabila mengenangkan arwah ibu yang sudah tiada.
“Saya tahu jika hari ini ibu ada, pasti dia insan paling gembira melihat kejayaan ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang (UMP) Kali Ke-14, di Dewan Kompleks Sukan UMP Gambang, di sini. Lebih manis lagi, Nur Shairah adalah Penerima Anugerah Kecemerlangan Teknologi Kejuruteraan Pembuatan (Farmaseutikal) Dato’ Majid Mohamad apabila mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.77.
"Ibu sangat berharap dapat melihat saya menerima anugerah, tapi beliau tak sempat melihat saya menyarung jubah konvokesyen. Namun, saya rasa seolah-olah ibu berada dekat dengan saya," katanya.
"Saya anggap kejayaan ini adalah berkat pengorbanan saya untuk ibu ketika hayatnya. Jangan sangka kita berjaya kerana usaha dan kepandaian kita sebaliknya kita lupa ada insan yang mengalirkan air mata mendoakan kejayaan kita,” ujarnya.
Nur Shairah yang kini tinggal bersama bapa dan adik- beradiknya, berhasrat menyambung pengajian di peringkat yang lebih tinggi selepas ini dalam bidang Farmaseutikal dan berhasrat untuk mengeluarkan produk sendiri satu hari nanti.
Disediakan oleh Siti Nur Azwin Zulkapri daripada Bahagian Komunikasi Korporat
- 138 views