Kecerdasan Buatan pacu kejayaan Khairul Imran Khalip, Penerima Anugerah Pelajaran Diraja UMPSA 2025
GAMBANG, 8 November 2025 – Ketekunan dan minat mendalam dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI) menjadikan Khairul Imran Khalip, graduan Sarjana Muda Sains Gunaan Analitik Data dengan Kepujian, Pusat Sains Matematik (PSM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), sebagai antara bintang cemerlang universiti apabila beliau dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat jaya Cemerlang) 2025.
Menurut Khairul, penglibatannya dalam bidang AI bermula daripada keinginan untuk memahami bagaimana mesin dapat meniru dan mentafsir cara manusia berfikir, berbahasa dan beremosi.
“Saya ingin membangunkan model yang bukan sahaja pintar dari segi teknikal, tetapi juga memahami konteks manusia.
“Dari situ saya sedar bahawa AI bukan sekadar teknologi, tetapi jambatan untuk memahami manusia dengan lebih baik,” ujarnya.
Di UMPSA, beliau menonjol sebagai pelajar yang menggabungkan kecemerlangan akademik dengan penyelidikan berimpak tinggi.
Dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.90, beliau berjaya menamatkan pengajian dengan rekod cemerlang dalam semua semester.
Namun pencapaian paling besar datang daripada projek tahun akhirnya bertajuk ‘Sentiment Analysis of Noisy Malay Text using A Large Language Model’.
Melalui projek ini, beliau membangunkan model kecerdasan buatan sumber terbuka (open-source LLM) yang mampu memahami dan menganalisis sentimen pengguna media sosial berbahasa Melayu termasuk gaya bahasa tidak formal yang sering mencabar pemprosesan komputer tradisional.
Menurut Khairul Imran, projek itu memberi peluang kepadanya meneroka bagaimana teknologi boleh disesuaikan dengan budaya dan bahasa tempatan.
“Saya mahu membuktikan bahawa AI tidak harus terhad kepada bahasa utama dunia.
“Bahasa Melayu juga layak diwakili dalam teknologi AI dan saya berbangga dapat menyumbang sedikit ke arah itu,” katanya.
Hasil penyelidikan tersebut telah diterbitkan dalam The 11th International Exchange and Innovation Conference on Engineering & Sciences (IEICES 2025) di Kyushu University, Jepun, sekali gus mengharumkan nama UMPSA pada peringkat antarabangsa.
Model yang dibangunkan beliau telah dimuat naik ke platform HuggingFace dan dimuat turun lebih 2,000 kali, membuktikan penerimaan meluas terhadap hasil inovasi dalam kalangan penyelidik global.
Beliau turut mengambil inisiatif membangunkan dataset baharu mengandungi lebih 33,000 ciapan bahasa Melayu yang dikategorikan kepada sentimen positif dan negatif bagi tujuan latihan model AI.
Semua proses pengumpulan, pembersihan dan penentuan label dilakukan sendiri oleh beliau, menonjolkan ketekunan dan disiplin penyelidikan yang tinggi.
Dataset ini kini digunakan oleh pelajar dan penyelidik lain dalam projek AI berasaskan bahasa tempatan.
Sepanjang pengajian di UMPSA, beliau juga turut aktif menghubungkan dunia akademia dan industri.
Beliau mencetuskan idea untuk membawa Ketua Pegawai Eksekutif, Mesolitica iaitu syarikat pertama di Malaysia yang membangunkan model bahasa besar (LLM) bahasa Melayu bagi menyampaikan syarahan industri bertajuk ‘Development of Malaysia AI: Generative AI, Nous & Malaysia Large Language Model’.
Usaha ini memperluas pendedahan pelajar UMPSA terhadap perkembangan semasa AI dan membuka peluang kolaborasi strategik dengan pemain industri tempatan.
Ketika menjalani latihan Work-Based Learning (2u2i) di syarikat teknologi Involve Asia, beliau terus menerapkan kemahiran AI dalam penyelesaian sebenar industri.
Beliau membangunkan skrip automasi menggunakan Google Apps Script dan Airflow, menulis algoritma pemprosesan data menggunakan Python serta mencipta dashboard analitik yang membantu pihak pengurusan membuat keputusan berpandukan data masa nyata.
Menurutnya, kejayaan yang dicapai bukan semata-mata hasil kecerdasan, tetapi juga hasil usaha berterusan dan prinsip hidup yang berpegang pada nilai-nilai Stoicism iaitu fokus kepada perkara yang boleh dikawal dan berusaha untuk memberi manfaat kepada orang lain.
“Bagi saya, AI bukan sekadar alat untuk mencipta sistem pintar, tetapi cara untuk memahami dunia dengan lebih baik dan mencari penyelesaian yang membawa nilai kepada manusia.
“Saya ingin melihat lebih ramai pelajar Malaysia berani meneroka bidang AI dalam bahasa dan konteks tempatan.
“Teknologi ini milik semua, dan kita bertanggungjawab memastikan ia berkembang seiring dengan nilai dan identiti kita sendiri,” katanya.
Dengan pencapaian akademik yang cemerlang, penyelidikan berimpak tinggi serta sumbangan besar dalam pembangunan ekosistem AI tempatan, Khairul Imran benar-benar melambangkan semangat inovasi dan kecemerlangan UMPSA, sekali gus menjadikannya penerima yang amat layak bagi Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang).
Disediakan Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat
- 78 views