Mathivanan Loganathan buktikan jangan berputus asa kunci raih kejayaan Anugerah Pro-Canselor
GAMBANG, 8 November 2025 — “Jangan berputus asa dan sentiasa berusaha untuk mencapai impian”, itulah kata-kata yang menggambarkan perjalanan penuh inspirasi penerima Anugerah Pro-Canselor, Mathivanan Loganathan, 26, pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Ke-20.
Graduan Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI) ini meluahkan rasa terkejut dan terharu apabila namanya diumumkan sebagai penerima anugerah berprestij tersebut.
Mengimbas kembali perjalanan pendidikannya, Mathivanan berkata, beliau pernah melalui detik sukar apabila tidak ditawarkan tempat ke peringkat ijazah selepas menamatkan pengajian Diploma di Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail, Pagoh dengan keputusan cemerlang Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.73.
“Ketika itu saya sangat kecewa kerana permohonan untuk memasuki sebuah universiti ditolak, dan dalam masa sama saya kehilangan ayah akibat penyakit jantung.
“Saya akhirnya bekerja di sebuah farmasi untuk meneruskan kehidupan,” ujarnya.
Namun, impiannya untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Bioteknologi tidak pernah padam.
Harapan itu kembali bersinar apabila beliau mengetahui UMPSA menawarkan program tersebut.
Melalui satu panggilan telefon dengan seorang staf UMPSA iaitu Penolong Pegawai Tadbir, Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabanga (JHEAA), Mohd Narawi Hassan, beliau menerangkan mengenai proses permohonan dan meminta saya menghantar maklumat diri.
Katanya, tidak lama selepas itu, beliau ditawarkan tempat untuk menyambung pengajian di UMPSA.
“Saya sangat bersyukur kerana impian meraih segulung ijazah akhirnya menjadi kenyataan,” ujarnya.
Anak muda kelahiran Kedah dan dibesarkan di Pulau Pinang itu berjaya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Bioteknologi dengan Kepujian Kelas Pertama dengan PNGK 3.82 serta mengekalkan kecemerlangan akademik sepanjang pengajian.
Keterampilannya turut terserlah menerusi pembabitan aktif dalam kepimpinan mahasiswa, inovasi, kesukarelawanan dan program mobiliti antarabangsa.
Projek tahun akhir beliau yang berjudul ‘Diabetic Wound Healing Cream from Kyllinga Nemoralis Extracts’ menjadi pencapaian utama yang mencetus pengiktirafan anugerah tersebut.
Inovasi tersebut menuntut kemahiran teknikal tinggi, melibatkan proses pengekstrakan fitokimia, formulasi produk dan ujian keberkesanan menggunakan model haiwan.
Hasil penyelidikan ini mempunyai potensi besar membantu pesakit diabetes yang mengalami luka kronik.
Mathivanan turut menzahirkan penghargaan kepada Mohd Narawi serta penyelianya, Dr. Nor Adila Mhd Omar atas sokongan dan tunjuk ajar sepanjang pengajiannya.
Kejayaan ini tidak akan tercapai tanpa kepercayaan, bimbingan pensyarah serta sokongan semua pihak yang sentiasa menjadi pendorong saya, katanya penuh kesyukuran.
Beliau merupakan salah seorang daripada 4,259 graduan yang diraikan pada Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-20 bertempat di Dewan Kompleks Sukan UMPSA Kampus Gambang.
Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Pusat Komunikasi Korporat
- 171 views