Nasiru Kamilah Oluwabusolami Adejumoke dari Nigeria raih Hadiah Kecemerlangan Akademik Graduan Antarabangsa (Kategori Prasiswazah)
GAMBANG 8 Oktober 2025 - Graduan antarabangsa Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Nasiru Kamilah Oluwabusolami Adejumoke, dari Kogi State, Nigeria, mencipta kejayaan membanggakan apabila dinobatkan sebagai Penerima Hadiah Kecemerlangan Akademik Graduan Antarabangsa (Kategori Prasiswazah) bersempena dengan Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-20.
Beliau yang menamatkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dengan Kepujian mencatatkan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.72, sekali gus membuktikan kecemerlangan akademik pelajar antarabangsa di UMPSA.
Sepanjang pengajian, beliau menerima Anugerah Dekan bagi setiap semester bermula dari semester kedua hingga tamat pengajian dalam tempoh tujuh semester.
Mengulas mengenai pencapaian tersebut, Nasiru Kamilah yang mesra disapa Jumoke menyifatkan kejayaan itu sebagai hasil usaha gigih dan doa ibu bapa, khususnya ibunya, Piponsuhu-Nasiru Rafiat, seorang Doktor Pergigian di Lagos, Nigeria.
“Mendapat kelas pertama adalah sesuatu yang saya sasarkan untuk membanggakan ibu bapa saya kerana mereka banyak berkorban untuk memastikan saya berjaya.
“Ia adalah cara saya menyatakan bahawa segala pengorbanan mereka tidak sia-sia,” katanya dengan penuh rasa syukur.
Sepanjang menimba ilmu di UMPSA, beliau turut aktif dalam pelbagai aktiviti kokurikulum termasuk Festival Antarabangsa 2023 dan 2024, Pesta KAKOM KK1, serta menyertai Larian SDG Pengakap Antarabangsa Pahang 2024.
Dalam masa senggang, beliau gemar bermain badminton, bermain catur dan mengait.
Malah, daripada minat tersebut beliau berjaya menubuhkan perniagaan kecil yang dinamakan Knots.nd.Hooks yang menghasilkan barangan kait seperti beg mini dan aksesori mewah.
Menurut beliau, pengalaman belajar di UMPSA amat berharga kerana universiti ini menawarkan suasana pembelajaran kondusif dan tenaga pengajar yang komited serta berkelayakan.
“Kelas di UMPSA sangat interaktif, perpustakaan lengkap dengan sumber, makmal berteknologi tinggi dan pensyarah bukan sahaja mengajar kandungan akademik tetapi juga memberi panduan tentang kehidupan dan kerjaya.
“Pendekatan kurikulum UMPSA yang relevan dan berorientasikan dunia sebenar, khususnya dalam bidang Kejuruteraan yang kini menekankan pelaksanaan teknologi Building Information Modelling (BIM) dan Kecerdasan Buatan (AI).
“Kurikulum UMPSA memberi kelebihan kepada graduan kerana kami sudah didedahkan kepada teknologi dan konsep semasa industri,” ujarnya.
Walaupun menghadapi cabaran awal menyesuaikan diri dengan bahasa pengantar tempatan, beliau menganggap pengalaman itu sebagai peluang pembelajaran yang mematangkan diri.
Katanya, pada mulanya beliau sukar memahami bahasa Melayu kerana ada kelas diajar dalam bahasa itu.
“Namun, lama-kelamaan saya belajar dan kini saya berbangga mampu memahami dan berkomunikasi dengan rakan-rakan Malaysia,” tambahnya sambil tersenyum.
Antara pengalaman yang paling tidak dapat dilupakan sepanjang pengajian ialah saat menyiapkan projek Steel and Timber Workbase serta Final Year Project secara maraton bersama rakan-rakan sehingga tidak tidur lebih 24 jam.
Jelasnya, walaupun penuh tekanan, kini ia menjadi kenangan manis apabila dikenang semula,” katanya.
Mengamalkan prinsip hidup yang diajar ibunya iaitu apa sahaja yang patut dilakukan, patut dilakukan dengan baik.
Malah, beliau juga percaya setiap perkara yang dilakukan perlu disertai dengan niat yang baik, usaha bersungguh-sungguh dan tawakal kepada Tuhan,” jelasnya lagi.
Melangkah ke hadapan, beliau berhasrat untuk menjadi pakar dalam bidang Kejuruteraan Struktur serta menubuhkan syarikat perunding kejuruteraan sendiri yang menekankan aspek kelestarian di Nigeria dan seterusnya mengembangkan ke seluruh Afrika.
“Saya mahu memberi sumbangan kepada pembangunan infrastruktur mampan di benua saya sambil meningkatkan pemerkasaan wanita dan generasi muda,” katanya.
Sebagai penutup, beliau menitipkan pesanan buat pelajar lain di UMPSA supaya tidak mudah berputus asa dan sentiasa berusaha menjadi versi terbaik diri sendiri.
“Jadikan diri anda pesaing terbesar anda.
“Lakukan yang terbaik dalam apa jua perkara, dan nikmatilah setiap detik kerana masa di universiti tidak akan berulang,” pesannya.
Disediakan Oleh: Wallid Wahidi Hamzah, Pusat Komunikasi Korporat
- 26 views