Skip to main content

Persijilan Tahfiz Ulul Albab UMPSA, pendidikan seimbang antara dunia dan ukhrawi – Muhammad Syamim

GAMBANG, 9 November 2025 - Muhammad Syamim Azemei, 25 yang berasal dari Kuala Nerus, Terengganu yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal (Automotif) dengan Kepujian dari fakulti mula terlibat dengan Tahfiz Ulul Albab sejak tahun 2019 sehingga 2025. 

Anak muda ini sentiasa mendapat sokongan daripada ibunya, Dr. Arnie A. Rahim, doktor perubatan yang bertugas di Pusat Kesihatan Universiti, Universiti Malaysia Terengganu (UMT). 

Dugaan semasa pengajian buat Muhammad Syamim, bapanya Azemei Ismail, Jurutera Telekom Malaysia meninggal dunia pada tahun 2022, semasa beliau masih mengikuti pengajiannya di UMPSA. 

Keistimewaan bagi Muhammad Syamin adalah, beliau merupakan graduan Kejuruteraan Huffaz yang berminat kepada persekitaran UMPSA secara holistik. 

Di UMPSA, beliau berjaya mengulang hafazan sehingga juzuk 6 setelah berjaya khatam 30 juzuk semasa di sekolah. 

Ujarnya, persekitaran UMPSA Pekan yang dikelilingi kawasan perkampungan, masyarakat kampung yang sentiasa berjemaah dalam program komuniti dan pensyarah yang aktif bersama masyarakat kampung memudahkan dirinya untuk terus mengikuti program Tahfiz Ulul Albab.  

“Tenaga pengajar di UMPSA terdiri daripada pensyarah yang berpengalaman, berdedikasi dan sentiasa bersedia membantu pelajar memahami sesuatu topik dengan lebih mendalam. 

“Mereka bukan sahaja mengajar berdasarkan teori, tetapi turut menekankan aspek praktikal yang sangat penting dalam bidang Kejuruteraan.

“Selain itu, suasana kampus yang tenang dan mendamaikan menjadikan UMPSA tempat yang ideal untuk menuntut ilmu,” kata bekas pelajar Sekolah Menengah Imtiyaz Yayasan Terengganu, Kuala Terengganu ini yang mula menghafal sejak beliau berumur 13 tahun lagi.

Tambah beliau lagi, hubungan antara pelajar dan pensyarah juga amat baik dan ini secara tidak langsung mewujudkan persekitaran yang positif serta saling hormat-menghormati. 

“UMPSA bagi saya bukan sekadar tempat belajar, tetapi juga tempat membentuk jati diri, kepimpinan, dan semangat untuk terus berjaya dalam kehidupan,” ujarnya yang sebelum ini menuntut di UiTM, Dengkil kerana di sana turut menawarkan program Tahfiz Ulul Albab. 

Minat beliau kepada isu-isu semasa, geopolitk, ekonomi dan dunia automotif menjadi topik untuk beliau menambahkan pengetahuan dan memahami perkembangan dunia semasa.

Kerana minatnya ini, beliau belajar untuk melihat sesuatu isu dari pelbagai sudut, berfikir secara kritikal dan memahami kaitan dan hubungan antara teknologi, ekonomi serta masyarakat.  

Mohamad Syamim berkata, berani kerana benar. 

“Kejujuran adalah asas kepada setiap perkara, tindakan dan keputusan, dan kita tidak perlu gentar untuk mempertahankan kebenaran, 

“Inilah prinsip yang menjadi panduan saya dalan pelajaran, persahabatan dan kehidupan seharian,

“Saya mengimpikan masa depan yang berjaya di dunia dan akhirat.

“Insya-Allah, bukan sahaja dalam kerjaya tetapi juga dapat memberi manfaat kepada masyarakat,” tambahnya. 

Malah, beliau juga ingin membahagiakan ibunya dan menjadi contoh terbaik kepada adik-adik dari segi ilmu, akhlak dan tanggungjawab. 

“Cabaran besar yang saya hadapi adalah belajar dalam tempoh Pandemic COVID-19.
 
“Apabila pengajian dilakukan secara dalam talian, peluang untuk berbincang  dan berhubung dengan pensyarah dan rakan pelajar amat terhad.

“Oleh itu, saya  perlu berdikari mengurus masa dengan baik, dan menyesuaikan diri dengan suasana pembelajaran baharu,” ujarnya. 

Menurut Muahammad Syamim, pengalaman paling manis di sepanjang pengajian adalah peluang untuk mengenali rakan-rakan antarabangsa.

“Ia adalah satu pengalaman yang berbeza kerana kita dapat memahami budaya dan melihat kehidupan dari perspektif yang berbeza,” jelasnya. 

Muhammad Syamim turut menasihati para pelajar agar jangan membandingkan kekayaan dan kejayaan sendiri dengan orang lain. 

“Hidup dan rezeki seseorang adalah berbeza.

“Oleh itu, fokuslah kepada usaha dan niat yang baik kerana kejayaan sebenar datang dari keikhlasan, kesabaran dan semangat yang tidak pernah luntur.

“Ingatlah bahawa hidup bukan tentang siapa yang paling cepat berjaya tetapi siapa yang mampu terus berjuang hingga ke akhirnya,” katanya ketika mengakhiri perbualan. 

Disediakan Oleh: Ratna Wilis Haryati Mustapa, Perpustakaan UMPSA 
 

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim