Skip to main content
Sikap Positif Yong Shi Yun terima Anugerah Srikandi Matahari

Sikap Positif Yong Shi Yun terima Anugerah Srikandi Matahari

Kuantan, 15 November- Sikap positif dan fokus menjadi kunci kejayaan Yong Shi Yun, 24 penerima Anugerah Srikandi Matahari pada Majlis Konvokesyen Ke-13 UMP. Beliau yang berasal dari Ipoh, Perak menganggap pelbagai rintangan yang dihadapinya sepanjang tempoh pembelajaran sebagai satu memori yang akan dikenang sepanjang hidupnya.

“Saya sentiasa positif dalam apa juga keadaan termasuk menghadapi cabaran dalam pembelajaran dan ianya membolehkan saya menyelesaikan permasalahan yang dihadapi dengan mudah. Bagi saya sikap positif itu penting dan harus menjadi amalan semua supaya segala yang dirancang dapat diselesaikan, walaupun cabarannya amat besar,” katanya. 

Shi Yun juga sempat berkongsikan pengalaman manisnya apabila berjaya menghasilkan projek terakhir menerusi penghasilan Aplikasi IOT Weighing Scaleuntuk  kegunaan menilai berat badan dan dapat memantau tahap kesihatan  seseorang.

“Inilah antara rintangan paling besar yang terpaksa saya lalui kerana ianya  juga melibatkan kemahiran dalam menggunakan  beberapa perisian program. Namun berkat kesabaran dan sokongan rakan-rakan mampu menyelesaikanya dan banyak perkara yang saya dapat belajar,” katanya.

Ujarnya semasa di kampus beliau juga menyandang beberapa jawatan iaitu  sebagai setiausaha bagi Mandarin Language Society (MLS) dan UNESCO Club UMP. Shi Yun yang  menamatkan pengajian Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik (Elektronik) di UMP itu  kini bertugas sebagai Jurutera di Intel Corporation.

Tambah anak pasangan Yong Siew Kee,57 dan Chan Yoke Fong,54 beliau sudah menetapkan sasaran untuk berjaya cemerlang dalam pelajaran dan amat gembira apabila  memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif  3.85 dan mengenggam segulung ijazah.

Katanya, sepanjang penganjuran pelbagai program di UMP, antara perkara yang amat mencabar adalah mendapatkan penyertaan semasa penganjuran program-program yang dianjurkan di UMP Pekan. Namun ianya mengajar erti kesabaran dan kreatif dalam memberikan komitmen terhadap tugasan yang diberikan dengan mempelbagaikan inisiatif dalam memastikan program berjalan lancar.

 

Disediakan oleh Nor Salwana Hj. Mohammad Idris dari Bahagian Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim