Skip to main content

Sokongan isteri jadi kekuatan utama, graduan PJJ UMPSA buktikan tiada yang mustahil

GAMBANG, 9 November 2025 – “Kejayaan bukan hanya diukur melalui pointer, tetapi melalui ilmu, pengalaman dan nilai diri yang dibentuk sepanjang perjalanan pengajian.” 

Itulah pegangan hidup Muhamad Tajju Ariffin Muhamad Salim, 39, graduan Program Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), yang membuktikan bahawa tiada halangan yang mampu menundukkan semangat dan tekad untuk berjaya.

Anak kelahiran Kuantan, Pahang ini kini berkhidmat sebagai Pegawai Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Pulau Pinang. 

Sepanjang tempoh pengajian, beliau bekerja sepenuh masa di tapak projek di Perak dan pada masa sama perlu berulang-alik setiap minggu ke kampus UMPSA di Pahang bagi menghadiri kuliah bersemuka.

Ujarnya, perjalanan dari Perak ke Pahang setiap minggu bukan sesuatu yang mudah. 

“Ada masa saya terpaksa berkorban waktu bersama keluarga demi memenuhi tuntutan pengajian. 

“Namun, saya percaya setiap pengorbanan pasti ada ganjarannya,” katanya ketika ditemui sempena Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-20.

Graduan dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.56 ini mengakui bahawa kejayaannya tidak mungkin tercapai tanpa sokongan padu daripada isterinya yang sentiasa menjadi sumber kekuatan dan inspirasi ketika berdepan saat sukar.

Sokongan isteri jadi kekuatan utama, graduan PJJ UMPSA buktikan tiada yang mustahil

“Isteri saya adalah tulang belakang kejayaan ini. 

“Beliau sentiasa memberi semangat dan memahami kesibukan saya yang terpaksa membahagikan masa antara kerja, pengajian dan keluarga. 

“Tanpa dorongan beliau, mungkin saya tidak akan sampai ke tahap ini,” katanya penuh syukur.

Sebagai anak kelima daripada sepuluh orang adik-beradik, Muhamad Tajju Ariffin dibesarkan oleh Muhamad Salim Abdullah, 76, seorang pesara kerajaan, dan Maimon Berahim, 69, seorang suri rumah. 

Didikan ibu bapa yang menekankan nilai kerja keras dan kejujuran menjadi asas kepada kejayaan beliau hari ini.

Beliau turut menyifatkan pengalaman belajar di UMPSA sebagai satu perjalanan berharga yang memperkukuh ilmu dan kemahiran profesionalnya.

Katanya, UMPSA ialah universiti teknikal yang semakin maju dan sangat sesuai untuk pelajar yang ingin menguasai kemahiran teknikal, profesional serta industri masa depan. 

“Pendekatan pembelajaran berasaskan amali iaitu TVET dan hubungan rapat UMPSA dengan industri memberi nilai tambah kepada graduannya,” jelasnya lagi.

Selain itu, beliau turut menghargai dedikasi para pensyarah yang sentiasa membantu dan memahami cabaran yang dihadapi oleh pelajar PJJ.

Katanya, pensyarah di UMPSA bukan sahaja berpengalaman, malah sangat prihatin terhadap keadaan pelajar. 

“Ini menjadikan pengalaman belajar lebih bermakna dan menyeronokkan,” katanya.

Berpegang kepada prinsip hidup ‘berfikir positif kerana tiada masalah yang tiada penyelesaian’, Muhamad Tajju Ariffin kini berhasrat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat doktor falsafah (PhD) dalam bidang yang sama bagi memperkukuh kepakaran serta menyumbang lebih banyak kepada bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan di Malaysia.

Beliau turut menasihatkan pelajar lain agar tidak menjadikan komitmen kerja atau tanggungjawab keluarga sebagai penghalang untuk menimba ilmu.

Jelasnya, kejayaan tidak datang dengan mudah, tetapi ia pasti tiba kepada mereka yang berusaha dan ikhlas. 

“Jangan takut untuk bermula kerana setiap langkah kecil hari ini menentukan kejayaan besar esok hari,” katanya mengakhiri perbualan.

Kisah kejayaan Muhamad Tajju Ariffin menjadi bukti bahawa sokongan keluarga, ketabahan dan kecekalan diri mampu menjadikan segala yang mustahil satu kenyataan sekali gus menjulang semangat sebenar pelajar PJJ UMPSA.

Disediakan Oleh: Noraini Binti Yusoff, Pusat Komunikasi Korporat

 

Reports by:
AINIEY