Skip to main content

Akreditasi APACC di UMPSA: Kelebihan, Cabaran, dan Penambahbaikan

Asian Pacific Accreditation and Certification Commission (APACC) merupakan sebuah badan akreditasi serantau yang ditubuhkan untuk menilai dan meningkatkan kualiti institusi pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) di rantau Asia-Pasifik. Ia ditubuhkan pada tahun 2004 di bawah Colombo Plan Staff College (CPSC) di Manila, Filipina. 

APACC berperanan sebagai mekanisme penilaian yang memastikan institusi TVET memenuhi standard antarabangsa dalam pelbagai aspek seperti tadbir urus, pengurusan akademik, pembangunan sumber manusia, dan hubungan industri. Melalui proses akreditasi APACC, institusi dinilai berdasarkan kriteria ketat yang merangkumi keberkesanan pentadbiran, kualiti pendidikan dan latihan, pengurusan sumber, serta impak kepada komuniti. Pentauliahan ini bukan sahaja berfungsi sebagai pengiktirafan kecemerlangan, tetapi juga sebagai alat penambahbaikan berterusan untuk institusi yang ingin meningkatkan kecekapan operasi dan keberkesanan program pendidikan mereka.

Bagi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), penyertaan dalam proses akreditasi APACC merupakan satu langkah strategik untuk menilai tahap kesiapsiagaan institusi dalam mencapai standard global. Sebelum ini, UMPSA lebih kerap menjalani akreditasi yang berfokus kepada program akademik, namun akreditasi APACC membawa dimensi baharu dengan menilai keseluruhan institusi. Ini memberikan perspektif lebih menyeluruh tentang kekuatan dan aspek yang perlu diperbaiki untuk memastikan UMPSA terus relevan dan berdaya saing dalam landskap pendidikan tinggi.

Terdapat banyak manfaat yang akan diterima oleh UMPSA apabila memperoleh akreditasi APACC ini. Pertamanya, akreditasi APACC membuktikan bahawa UMPSA memenuhi standard antarabangsa dalam pendidikan TVET. Ini meningkatkan reputasi institusi di peringkat serantau dan global dan menjadikannya lebih kompetitif dalam menarik pelajar serta kerjasama industri. Keduanya, proses akreditasi ini bukan sekadar penilaian, tetapi juga memberi cadangan penambahbaikan untuk institusi. Ini turut membantu UMPSA mengenal pasti kelemahan dan memperbaikinya melalui pelan tindakan strategik. Selain itu, institusi yang diiktiraf oleh APACC lebih mudah menjalinkan kerjasama dengan universiti, institusi TVET, dan industri di rantau Asia-Pasifik. Ini akan membuka peluang kepada UMPSA dalam aspek penyelidikan, program pertukaran pelajar, serta latihan industri bertaraf antarabangsa. 

Mendapat akreditasi APACC juga selaras dengan usaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam memperkukuh kualiti institusi pendidikan tinggi, khususnya dalam bidang TVET. Sejajar dengan Pelan Tindakan TVET Negara 2030, KPT telah menekankan keperluan institusi TVET dan universiti teknikal untuk mencapai standard antarabangsa bagi meningkatkan daya saing graduan di pasaran kerja global. Akreditasi APACC memberi status pengiktirafan antarabangsa kepada UMPSA, menjadikannya lebih berdaya saing dalam menarik pelajar dan kerjasama dengan industri luar negara. Ini adalah sejajar dengan usaha KPT dalam menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan global yang dapat menarik pelajar antarabangsa dan menggalakkan pertukaran akademik.

Sebagai universiti awam (UA) pertama di Malaysia yang memohon pensijilan APACC, UMPSA turut berdepan dengan pelbagai cabaran yang unik. Tidak seperti politeknik atau Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) yang sememangnya merupakan institusi pendidikan berasaskan TVET sepenuhnya, UMPSA beroperasi sebagai sebuah universiti teknikal yang menawarkan pelbagai program akademik konvensional dan teknikal secara serentak. 

Selain itu, cabaran yang paling besar adalah kewujudan data yang bersifat silo, di mana data berkaitan pelajar, staf, pencapaian latihan, industri dan alumni berada di bawah jagaan pelbagai Pusat Tanggungjawab (PTJ) tanpa sistem penyimpanan yang setempat. Proses pengumpulan data ini menjadi sangat mencabar, memerlukan penyesuaian dan penyelarasan manual antara pelbagai pihak, termasuk fakulti, PTJ, dan pusat sokongan universiti. Cabaran ini ditambah lagi apabila sebahagian kriteria APACC tidak disertakan dengan takrifan operasi (operational definition) yang jelas, menyebabkan berlaku pelbagai tafsiran dalam kalangan jawatankuasa pelaksana dan PTJ terlibat. Malah, terdapat juga kriteria yang tidak menetapkan dengan spesifik bentuk dokumen sokongan yang diperlukan. Situasi ini menimbulkan kekeliruan bagi menentukan jenis eviden yang tepat bagi memenuhi keperluan kriteria tersebut.

UMPSA sudah biasa dengan akreditasi peringkat program akademik seperti Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Engineering Accreditation Council (EAC), Lembaga Jurutera Malaysia (BEM), dan sebagainya. Namun, proses akreditasi APACC menekankan pendekatan berasaskan institusi secara menyeluruh (whole-institution approach). Proses ini memerlukan komitmen daripada semua PTJ/fakulti termasuk pentadbiran, pengurusan kewangan, pembangunan staf, latihan, industri, kualiti, dan pelajar bergerak seiring untuk memenuhi semua kriteria yang telah ditetapkan. 

Proses mendapatkan pensijilan APACC ini telah membuka lembaran baharu bagi UMPSA dalam memperkukuhkan kedudukan sebagai universiti teknikal yang menyokong penuh agenda TVET negara. Walaupun pelbagai cabaran ditempuhi, usaha ini telah meningkatkan keupayaan UMPSA, bukan sahaja dalam aspek pengurusan program TVET, malah memperkasa aspek tadbir urus, dokumentasi dan penyediaan eviden yang berasaskan standard antarabangsa. 

Pusat TVET Termaju (PTVET) telah memainkan peranan penting sebagai urus setia sepanjang proses ini dengan bertindak sebagai pusat pengumpulan dan penyelarasan data-data berkaitan akreditasi. PTVET menjadi pemudah cara kepada fakulti, PTJ, dan pihak pengurusan dalam memastikan semua kriteria APACC dapat dipenuhi sebaik mungkin. Peranan ini sekaligus memperkukuhkan fungsi PTVET bukan sekadar sebagai pusat latihan kompetensi, tetapi sebagai pemacu utama agenda TVET di UMPSA.

UMPSA juga berhasrat untuk terus memperbaiki kelemahan yang telah dikenal pasti sepanjang proses akreditasi ini, khususnya dalam aspek penyelarasan data, dokumentasi, pembangunan sumber manusia dan pengukuhan program TVET sedia ada. Dalam jangka masa panjang, UMPSA komited untuk memperluaskan lagi bilangan program TVET, memperkukuh hubungan strategik bersama industri dan agensi, serta mempertingkatkan prasarana dan keupayaan latihan agar menjadi rujukan utama dalam bidang TVET di Malaysia dan serantau.

Muhammad Hafiz Aswad Ahmad Kamal
Muhammad Hafiz Aswad Ahmad Kamal

Penulis adalah Eksekutif Kanan di Pusat TVET Termaju, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). 

E-mel    : mhafizaswad@umpsa.edu.my

Reports by:
Admin UMP News