Skip to main content

Apabila isteri bertanya, "Saya cantik tak?" Awas, itu perangkap!

Memikul tanggungjawab sebagai suami ataupun ketua keluarga bukanlah satu tugas yang mudah lebih-lebih lagi apabila suri dalam rumah sering menduga akal dan tentu saja menguji sabar. Berbicara bahasa sama tetapi berbeza sekali pengertiannya. Paradoksikal? Ya, tentu sekali. Nonsensical? Jangan katakan itu, kerana kamu bakal mengundang petaka. Mengambil contoh satu pertanyaan mudah, ‘How was your day?’, jika ditanyakan pada suami pasti berikut adalah salah satu jawapan – “Okey je, bolehlah atau, not badlah. Dan, ‘How was your day?’ yang akan ditanya pada sang suri perlu ditentukan ukur intonasinya, nada tinggi rendahnya, lontaran suaranya, dan arah pandang matanya kerana semua perlu memenuhi piawaian yang tepat. Jawapannya, sang suri akan memperincikan harinya seperti betapa terperincinya skrin televisyen beresolusi 8K UHD.

Dalam melayari bahtera rumah tangga, pastinya sang nakhoda akan diuji oleh badai dan ombak soalan yang boleh sahaja menjadi perangkap dan menjerat tanpa sedar. Salah satu soalan klasik yang sering ditanyakan oleh isteri ialah, “Saya cantik tak?” Diulang, “Saya cantik tak?” Para suami pasti sering diajukan soalan ini. Soalan ini pula sering diajukan pada ketika dan masa yang selalu tidak menentu. Ibarat berjalan di atas tanah lapang yang penuh dengan jerangkap samar. Walaupun hanya tiga perkataan dan kedengaran seperti biasa, skema jawapan yang diberikan oleh suami boleh memberi kesan besar terhadap bancuhan air kopi minum petang hari itu dan hari-hari seterusnya. Awas, itu perangkap!

Mengapa soalan ini boleh menjadi perangkap?

1.    Harapan jawapan yang spesifik
Sang isteri bertanya bukan sekadar ingin mendengar jawapan ‘ya’ dan kita, para suami seharusnya tahu ‘tidak’ tiada dalam skema pilihan jawapan. Laksana Puspawangi dalam filem klasik Musang Berjanggut, geliga fikirnya berbeza dari pola simplistik para suami. Sang isteri inginkan bukan sekadar jawapan tapi penghargaan yang lebih mendalam. Susuli ‘ya’ itu dengan sedikit pujian seperti ‘Ya, awak. Awak janganlah senyum lebih sangat, nanti cair saya.’ (Gray, 2012).

2.    Ujian untuk mengukur perhatian suami
‘Perangkap’ ini juga boleh menjadi kayu ukur untuk melihat sejauh mana kepekaan sang suami dalam memberi perhatian kepada perubahan diri si isteri. Perhatikan dan amati jika isteri memakai pakaian baharu, menukar satu tona warna gincu ataupun baharu pulang daripada merapikan rambut 0.5cm lebih pendek daripada sebelumnya. Jawapan tidak tepat dan tidak disertakan pujian yang merujuk kepada perubahan itu pasti akan mengundang rajuk (Chapman, 2015). Ya, suami beli beras, tetapi isteri yang memasak nasi. 

3.    Perbandingan dengan orang lain
Sang suami, ketahuilah, jika menjawab secara tidak ikhlas atau terlalu bersahaja, sang isteri mungkin berfikir bahawa suami membandingkannya dengan orang lain. Curiga para isteri ini besar dan ini boleh menimbulkan rasa tidak puas hati dan menjejaskan keyakinan diri isteri (Hassan & Zainal, 2019). Adegan pujuk-memujuk yang bakal terjadi selepas itu pastinya memerlukan usaha dan masa yang lebih. Jimatkan masa dan tenaga kamu wahai suami sedari mula.  

Bagaimana menjawab soalan ini?

1.    Jangan teragak-agak
Jika suami mengambil masa terlalu lama untuk menjawab, isteri mungkin menganggap sebagai tanda kurang keikhlasan. Setiap hitungan detik keraguan suami untuk menjawab soalan ini akan menambah rasa kurang yakin si isteri. Jawablah dengan yakin dan penuh kasih sayang (Ismail, 2021; Tannen, 2001). Sekilas kilau pada matanya bersinar, luncurkan pujian bak kejora bersinar di balik bola mata itu. Ingat, jangan ragu-ragu. Jangan teragak-agak!

2.    Berikan pujian yang spesifik
Gunakan ayat yang menggambarkan perasaan sebenar anda. Ataupun yang lebih baik lagi, ayat yang anda yakin akan menggembirakan isteri. Contohnya, "Awak selalu cantik di mata saya, terutama bila senyum macam ni" (Latif, 2022). Peka dengan apa yang dipakai oleh sang isteri ketika itu, sama ada baju ataupun tudung, termasuklah solekan yang dikenakan. Berikan pujian yang berkait langsung dengan dirinya ketika itu kerana sebagai gambaran bahawa anda peka dengan segala perubahan.

3.    Elakkan jawapan klise
Jawapan seperti “Mestilah cantik, kan awak isteri saya!” mungkin terdengar baik, tetapi boleh kedengaran terlalu umum atau tidak serius. Cuba berikan komen yang lebih personal (Salleh, 2020). Perhatikan susuk tubuh di hadapan anda sambil akal ligat menyusun kata. Suami perlu lebih kreatif dengan kepelbagaian skema jawapan dan para suami juga harus lincah akalnya dalam mengolah jawapan yang enak pada halwa telinga sang isteri. 

4.    Tindakan sebagai bukti
Selain hanya berkata-kata, action speaks louder than words. Tindakan seperti memandang isteri dengan penuh kasih sayang, memuji pakaian yang dipakainya, atau memberikan kejutan kecil seperti hadiah atau pelukan (Yusof, 2017; Hendrix, 2008) pasti akan lebih meyakinkan sang isteri yang sang suami benar-benar ikhlas memuji. Kadang-kadang tu bukanlah nilai hadiah itu yang menjadi ukuran tetapi the thought that counts. 

Kesimpulan
Soalan "Saya cantik tak?" bukan sekadar soalan biasa, tetapi ia mencerminkan keperluan emosi isteri untuk dihargai dan disayangi. Mudah pada semantik, tetapi ternyata sulit pada pragmatik. Oleh itu, seorang suami perlu peka dalam menganalisis detik dan ketika soalan itu diacukan dan haruslah memberikan jawapan yang akan menyenangkan hati isteri. Biar jawapan yang lahir daripada mulut sang suami bisa mengukir senyum di balik rekah bibir sang suri mahupun menggetus gelak tawa. Puji dan hamburkan kata-kata indah buat suri hati anda. Gembirakan dan indahkan harinya. Buat sang isteri; balaslah pujian suami dengan ‘ya’ ketika dia mengajak anda untuk berhari raya di kampungnya lagi tahun ini. Ingat, komunikasi yang baik dalam rumah tangga adalah kunci kepada kebahagiaan bersama!

Rujukan:
Chapman, G. (2015). The 5 Love Languages: The Secret to Love That Lasts. Chicago: Northfield Publishing.
Gray, J. (2012). Men Are from Mars, Women Are from Venus. New York: HarperCollins.
Hassan, A. & Zainal, N. (2019). Emosi dan Kehidupan Berumah Tangga. Johor: Harmoni Publications.
Hendrix, H. (2008). Getting the Love You Want: A Guide for Couples. New York: St. Martin’s Griffin.
Ismail, R. (2021). Seni Berkomunikasi dengan Pasangan. Kuala Lumpur: Bestari Media.
Latif, H. (2022). Tips Perkahwinan Bahagia dan Harmoni. Pahang: Citra Books.
Salleh, F. (2020). Rahsia Suami Isteri Bahagia. Melaka: Maju Publications.
Tannen, D. (2001). You Just Don't Understand: Women and Men in Conversation. New York: HarperCollins.
Yusof, N. (2017). Kasih Sayang dalam Rumah Tangga: Perspektif Islam. Terengganu: Nur Ilmu.

Shamsul Harbi

SHAMSUL HARBI
Pusat Bahasa Moden (PBM)
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)

shamsulh@umpsa.edu.my

MOHD SHAFIQ AB JABAR

MOHD SHAFIQ AB. JABAR
Pusat Bahasa Moden (PBM)
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)
syafiqaj@umpsa.edu.my

 

Penulis adalah Guru Bahasa, Pusat Bahasa Moden, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). 

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim