Skip to main content

Bukan Sekadar Boleh Parkir! 5 Langkah Survival Automotif: Vroom Vroom atau Trauma?

Sejak dahulu lagi, hubungan antara wanita dan kereta sering menjadi subjek stereotaip dan jenaka, di mana kaum hawa digambarkan hanya peduli tentang warna cat dan tempat meletak beg tangan, manakala selok-belok enjin dianggap seperti bahasa kuno yang perlu diterjemahkan oleh ahli mekanik. Secara akademik, kecenderungan untuk meletakkan kemahiran teknikal automotif hanya pada bahu kaum lelaki boleh diklasifikasikan sebagai 'Defisit Perwakilan Kognitif Automotif Jantina' merupakan istilah yang sungguh panjang hanya untuk mengatakan, "Orang fikir wanita tak tahu pasal kereta." Namun, seperti pemanduan di lebuh raya yang memerlukan penyesuaian berterusan, naratif ini juga memerlukan pusingan U yang drastik. 

Wanita moden hari ini bukan sahaja mahir mengendalikan kenderaan mereka sebagai alat mobiliti dan kebebasan, tetapi juga semakin dilengkapi dengan pengetahuan yang berfungsi sebagai 'kit alat' intelektual untuk menghadapi bencana automotif yang tidak diundang, terutamanya kerosakan di tengah jalan. Memahami kereta bukan lagi pilihan, tetapi satu kehendak (Imperatif Automotif Diri) yang didorong oleh keperluan keselamatan peribadi dan kemandirian ekonomi.

Sebenarnya, pandangan bahawa wanita panik menghadapi kerosakan adalah satu bentuk Bias Konfirmasi yang hanya mencari bukti yang menyokong prasangka sedia ada. Realitinya, apabila kereta yang dijaga rapi (wanita moden mahir dalam penyelenggaraan prediktif, bukan lagi reaktif dan ini menunjukkan mereka tahu minyak hitam perlu ditukar sebelum ia bertukar menjadi jeli hitam yang mengerikan) tiba-tiba memutuskan untuk melancarkan 'mogok pekerja enjin', ia adalah satu cabaran keselamatan dan psikologi yang memerlukan aplikasi Protokol Keselamatan yang jelas. Apabila lampu amaran enjin menyala maka yang sering disalah anggap sebagai ikon hiasan Krismas kereta yang muncul tiba-tiba dan ini merupakan tindak balas pertama bukanlah 'Lawan atau Lari' (respons trauma), tetapi 'Tenang dan Fikir' (Respons Eksekutif Diri).

Langkah pertama dan paling kritikal adalah Parkir Keselamatan, di mana pemandu perlu segera menggerakkan kenderaan ke lorong paling kiri atau bahu jalan. Tindakan ini bukan sekadar tentang mengelakkan gangguan, tetapi ia adalah aplikasi prinsip kejuruteraan trafik, mencipta Zon Penimbal Kritikal untuk mengurangkan risiko dilanggar dari belakang oleh trafik berkelajuan tinggi. Anda tidak mahu kemalangan kedua berlaku kerana anda meletakkan kereta di zon kelajuan tinggi, walaupun anda terfikir mengapa lampu amaran minyak enjin itu berkelip-kelip sungguh comel sekali.

Setelah berada di posisi yang selamat, Protokol beralih kepada Peringatan (Perilaku Signalling). Ini melibatkan pengaktifan lampu amaran bahaya dan, yang paling penting, penggunaan segi tiga amaran. Secara humoris, ramai menganggap segi tiga ini sebagai objek misteri yang duduk di bawah karpet but, tetapi ia adalah alat keselamatan yang serius. Segi tiga ini perlu diletakkan sekurang-kurangnya 45 meter di belakang kereta, jarak yang dikira berdasarkan Jarak Brek Minimum pada kelajuan lebuh raya, memberi pemandu di belakang masa yang cukup untuk bertindak balas. Gagal berbuat demikian adalah menunjukkan ketidakpedulian terhadap prinsip fizikal dinamik dan hanya akan menambahkan bencana. Ini diikuti dengan Perlindungan Diri (Personal Security): Kunci semua pintu, kekal di dalam kereta (kecuali jika asap berkepul-kepul seperti persembahan pentas) dan hanya turunkan tingkap sekadar satu inci untuk berkomunikasi dengan sesiapa yang menawarkan bantuan; jangan mudah percaya kepada 'Mekanik Superman' yang muncul entah dari mana. Ini adalah amalan 'Shelter-in-Place' yang menggunakan kereta sebagai kubu sementara terhadap bahaya peribadi yang mungkin mengintai, kerana statistik jenayah opportunistik di tepi jalan adalah tinggi.

Apabila keselamatan diri terjamin, baharulah tiba masanya untuk Panggilan Bantuan (Proactive Assistance). Jangan panik, jangan post gambar kerosakan di media sosial (kerana anda mungkin menarik perhatian scammer), tetapi hubungi talian bantuan kecemasan atau insurans anda. Berikan lokasi yang tepat, menggunakan tanda kilometer atau mercu tanda, kerana bagi syarikat tunda,’di sebelah pokok yang besar’ bukanlah koordinat yang boleh diterima, mereka memerlukan Koordinat Georeferensi yang tepat. 

Akhir sekali, apabila berhadapan dengan mekanik di bengkel maka, proses yang menakutkan bagi sesiapa sahaja iaitu terapkan langkah Perwakilan di Bengkel (Proficiency/Presentation). Ini memerlukan anda untuk menunjukkan bahawa anda tidak buta sepenuhnya terhadap proses itu. Berikan penerangan yang jelas mengenai simptom kerosakan (contohnya, “kereta mengeluarkan bunyi 'tek tek tek' bila memecut”) dan bukannya ungkapan emosi (contohnya, “kereta saya rasa sedih sangat”). Dengan bertanya soalan berorientasikan teknikal yang asas, anda mengurangkan jurang Teori Maklumat Asimetri di mana mekanik (penjual) mempunyai lebih banyak pengetahuan daripada anda (pembeli), mengurangkan kemungkinan anda dicaj untuk menukar pam air yang sebenarnya berfungsi dengan baik. Ironinya, kemahiran ini lebih kepada kemahiran berunding, kemahiran yang dikuasai wanita moden dalam pelbagai bidang lain. 

Kesimpulannya, wanita hari ini memandu bukan sekadar dengan gaya, tetapi dengan waras dan persiapan yang rapi. Mereka adalah pemandu yang bertanggungjawab, tahu bagaimana untuk mengendalikan krisis kerosakan dengan tenang dan kecekapan, membuktikan bahawa stereotaip lama hanya layak menjadi kenangan berdebu di tepi jalan yang telah lama mereka tinggalkan.

Baihaqi

Oleh: Mohammad Baihaqi Hasni 
E-mel: baihaqi@umpsa.edu.my
Penulis adalah Guru Bahasa Kanan, Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Rencana ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri