Bukan Sekadar Jumaat: 4 Rahsia Surah aL-Kahfi untuk Lulus Peperiksaan Kejuruteraan
Dalam dunia kejuruteraan yang penuh dengan eksperimen, rekabentuk, penyelesaian masalah dan tekanan untuk berfikir secara logik, pelajar sering mencari sumber kekuatan yang mampu membimbing mereka bertahan, berfikir secara lebih matang dan akhirnya menjadi jurutera yang bukan sahaja cekap tetapi juga beretika.
Menariknya, Surah al-Kahfi yang merupakan sebuah surah yang menampilkan empat kisah penting, ia memberikan pelbagai pengajaran yang secara tidak langsung sangat relevan dengan perjalanan seorang pelajar Kejuruteraan. Kisah-kisah ini bukan sekadar naratif sejarah atau peringatan spiritual, tetapi juga metafora mendalam mengenai daya tahan mental, kreativiti, tanggungjawab sosial, kecerdasan analitis, dan disiplin intelektual yang amat diperlukan dalam bidang teknikal. Apabila pelajar Kejuruteraan mendalami setiap kisah dalam surah ini, mereka dapat melihat bagaimana prinsip-prinsip agama dan nilai kehidupan boleh berpadu dengan pemikiran saintifik dan inovasi moden, bukan sebagai dua dunia yang bertentangan tetapi sebagai dua aliran yang saling melengkapi.
Kisah Ashabul Kahfi misalnya mempamerkan bagaimana sekelompok pemuda mempertahankan keyakinan walaupun berdepan ancaman besar, dan keadaan ini menyamai cabaran pelajar kejuruteraan yang sering diuji oleh tekanan akademik, kegagalan projek, tuntutan masa dan persaingan. Semangat ‘bertahan demi kebenaran’ dapat diterjemahkan kepada ketekunan dalam menyiapkan tugasan, tidak mudah mengalah apabila eksperimen tidak menjadi, serta berani mempertahankan integriti akademik walaupun godaan untuk memilih jalan pintas itu besar. Kejuruteraan memerlukan stamina intelektual, dan kisah pemuda gua mengingatkan bahawa keteguhan hati adalah asas daya tahan jangka panjang.
Seterusnya, kisah dua pemilik kebun di dalam surah ini sangat relevan dengan dunia Kejuruteraan masa kini, khususnya dari sudut etika profesional dan bahaya sikap terlalu yakin dengan teknologi atau kejayaan sendiri. Pelajar Kejuruteraan sering dididik dengan konsep rekabentuk yang sistematik, formula kejuruteraan, pemodelan dan simulasi yang boleh meramal banyak perkara. Namun, kisah lelaki yang mendabik dada dengan kebunnya mengingatkan bahawa kejayaan teknikal bukan semata-mata hasil kemampuan manusia tetapi juga bergantung kepada kerendahan hati, tanggungjawab sosial dan kesedaran bahawa setiap sistem boleh gagal jika prinsip asas termasuk nilai moral yang diabaikan. Seorang pelajar Kejuruteraan yang bijak bukan sahaja menumpukan kepada kepakaran teknikal tetapi juga memahami bahawa kejayaan boleh hilang sekelip mata jika dia tidak menguruskan risiko, tidak menghormati etika atau tidak merendah diri menerima nasihat. Dalam kehidupan kampus, perkara ini boleh dilihat apabila pelajar yang terlalu yakin dengan kebolehan diri akhirnya cuai dalam tugasan, melambatkan projek capstone, atau mengabaikan kerja kumpulan, lalu menanggung akibat di akhir semester. Kisah ini menjadi peringatan lembut agar pelajar berada dalam keseimbangan antara keyakinan diri dan sikap tawaduk.
Dalam kisah Nabi Musa AS dan Khidr pula, pelajar Kejuruteraan boleh melihat analogi paling dekat dengan proses pembelajaran teknikal. Kejuruteraan bukan bidang yang dapat difahami sepenuhnya hanya melalui teori di dalam kelas, ia memerlukan bimbingan, pengalaman praktikal, latihan makmal, dan pembelajaran daripada kegagalan. Nabi Musa AS melalui fasa ‘pembelajaran penuh misteri’, iaitu proses memahami hikmah di sebalik perkara yang pada awalnya kelihatan tidak masuk akal. Ini seakan-akan pelajar Kejuruteraan yang kadangkala mempersoalkan mengapa mereka perlu belajar integral berganda, transformasi laplace, stress-strain diagram, teori rangkaian, atau simulasi CFD walaupun ia kelihatan ‘tidak berguna’ pada awalnya. Namun, seperti perjalanan Nabi Musa AS, banyak perkara hanya difahami apabila sampai pada tahap aplikasi sebenar ketika mana mereka membina prototaip, menjalankan uji kaji, atau bekerja dalam industri. Kisah ini mengajar pelajar nilai sabar, reda melalui proses belajar, serta hormat kepada pensyarah dan mentor kerana mereka nampak gambaran lebih luas, sama seperti Khidr melihat dimensi hikmah yang Musa belum sampai. Dan paling penting, ia mendidik pelajar untuk tidak cepat membuat kesimpulan terhadap sesuatu yang mereka belum fahami sepenuhnya.
Kisah Dzulqarnain pula membawa pelajar kejuruteraan kepada dimensi kepimpinan, pengurusan teknologi dan tanggungjawab sosial. Dzulqarnain bukan sekadar seorang pemimpin namun beliau menggunakan ilmu, teknologi dan sumber yang ada untuk melindungi masyarakat daripada ancaman Yakjuj dan Makjuj. Proses pembinaan tembok besi yang kukuh dalam kisah itu boleh dijadikan metafora kepada jurutera moden yang membina jambatan, menara, sistem keselamatan awam, aplikasi digital dan infrastruktur penting negara. Kisah ini mengingatkan bahawa teknologi bukan semata-mata untuk keuntungan tetapi untuk melindungi dan memudahkan kehidupan masyarakat. Bagi pelajar kejuruteraan, ia menanam semangat bahawa ilmu mereka adalah amanah. Kejuruteraan bukan hanya tentang memaksimakan markah projek tetapi tentang memahami kesan jangka panjang kepada manusia dan alam sekitar. Ini juga mencerminkan prinsip ‘sustainability engineering’, konsep Kejuruteraan masa kini yang menuntut keseimbangan antara inovasi dan kelestarian.
Apabila keempat-empat kisah ini digabungkan, pelajar Kejuruteraan dapat melihat suatu rangka kerja nilai yang sangat lengkap: ketekunan melalui Ashabul Kahfi, etika dan kerendahan hati melalui kisah dua pemilik kebun, disiplin intelektual dan kerendahan diri dalam menuntut ilmu melalui Nabi Musa AS dan Khidr serta tanggungjawab sosial melalui Dzulqarnain. Surah al-Kahfi seolah-olah memberikan satu kompas moral dan intelektual agar pelajar bukan sahaja menjadi jurutera yang kompeten tetapi juga insan yang berprinsip, berfikir jauh dan bertanggungjawab. Dalam dunia teknologi yang bergerak pantas seperti AI, robotik, tenaga boleh diperbaharui, automasi dan rekaan pintar, pelajar kejuruteraan perlu memiliki panduan nilai yang kukuh supaya tidak terpesong oleh tekanan komersial atau kelalaian etika. Rencana surah ini menunjukkan bahawa ilmu teknikal dan ilmu kemanusiaan tidak boleh dipisahkan akan tetapi keduanya perlu bergabung untuk menghasilkan jurutera yang benar-benar bermanfaat kepada ummah dan negara.
Akhirnya, Surah al-Kahfi menjadi pengingat bahawa perjalanan menuntut ilmu adalah proses yang panjang dan memenatkan, tetapi ia membentuk karakter yang lebih kukuh. Seorang pelajar Kejuruteraan bukan hanya membina kerjaya tetapi membina jati diri. Surah ini memberikan inspirasi bahawa kekuatan sebenar bukan hanya pada kefahaman teori tetapi pada hikmah, kesedaran diri dan niat yang lurus. Dan apabila nilai-nilai ini berpadu dengan disiplin kejuruteraan, lahirlah generasi jurutera yang bukan sahaja cemerlang dalam inovasi tetapi juga berperanan membina dunia yang lebih aman, beretika dan berperi kemanusiaan.

Oleh: Mohammad Baihaqi Hasni
E-mel: baihaqi@umpsa.edu.my
Penulis adalah Guru Bahasa Kanan, Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Rencana ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
- 31 views
Reports by: